Ada satu perkara yang jarang kita akui secara jujur. Setiap tahun, kita masuk Ramadan dengan harapan yang sama, nak jadi lebih baik, lebih dekat dengan Allah, lebih kuat iman dan setiap tahun juga ramai yang keluar daripadanya sebagai orang yang sama. Bukan kerana kita tidak mahu berubah. Tetapi kerana kita tidak pernah benar-benar melalui proses untuk berubah. Kita mengharapkan Ramadan melakukan sesuatu kepada kita sedangkan kita sendiri tidak pernah bersedia untuk menerimanya. Hakikatnya, Ramadan bukan titik permulaan. Ia adalah titik kemuncaknya dan setiap kemuncak sentiasa didahului oleh perjalanan.
Perjalanan itu harus bermula lebih awal. Islam tidak membiarkan manusia terjun terus ke dalam Ramadan. Ia menyusun satu perjalanan yang sangat halus bermula Rejab, memasuki Syaaban dan kemudian Ramadan. Tetapi masalahnya bukan pada sistem itu, sebaliknya kita tidak berjalan. Kita melangkau Rejab. Kita abaikan Syaaban dan kita berharap Ramadan akan menyelamatkan kita.
Inilah realiti yang perlu kita terima. Perubahan tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia tidak berlaku hanya kerana suasana berubah. Ia tidak berlaku hanya kerana kalender bertukar bulan. Perubahan berlaku apabila hati mula sedar, dosa mula ditinggalkan, amal mula dibina dan semua itu tidak berlaku dalam sehari.
Fasa 1 dalam bulan rejab adalah bulan yang menuntut keberanian untuk berhenti. Segala perubahan bermula dengan satu perkara yang paling sukar iaitu berhenti. Berhenti daripada apa yang kita tahu salah. Berhenti daripada dosa yang kita ulang setiap hari. Berhenti daripada alasan yang kita simpan untuk tidak berubah. Tanpa langkah ini, tidak ada ruang untuk apa-apa yang baru. Ramai orang mahu tambah ibadah, tetapi tidak mahu buang dosa. Maka hidup mereka menjadi berat, bukan kerana ibadah itu susah, tetapi kerana hati mereka masih penuh. Rejab bukan tentang menjadi baik. Ia tentang berhenti menjadi versi lama diri kita.
Fasa 2 pula adalah bulan syaaban yang mendidik kita untuk istiqamah. Selepas berhenti barulah kita boleh mula membina dan di sinilah peranan Syaaban. Bulan ini bukan bulan yang dramatik. Ia tidak penuh dengan suasana besar. Tetapi ia adalah bulan latihan. Latihan untuk bangun walaupun sedikit, membaca walaupun tidak banyak dan beramal walaupun tidak sempurna kerana dalam Islam, yang mengubah manusia bukanlah amal yang besar tetapi amal yang berterusan. Ramai orang gagal di sini. Mereka mahu rasa luar biasa, tetapi tidak sabar melalui proses biasa. Mereka mahu perubahan besar, tetapi tidak sanggup membina disiplin kecil sedangkan iman tidak dibina dalam lonjakan. Ia dibina dalam ulang-ulang yang konsisten.
Fasa 3 adalah masa untuk menuai dan ianya adalah dalam bulan Ramadan. Apabila hati sudah ringan, dan amal sudah stabil, barulah Ramadan datang sebagai hadiah dan dalam bulan ini, segala yang kita latih sebelum ini akan hidup, Al-Quran tidak lagi terasa jauh, solat malam tidak lagi terasa berat dan doa tidak lagi terasa kosong kerana kita tidak datang sebagai orang yang sama. Kita datang sebagai seseorang yang sudah bersedia dan di sinilah bezanya. Ramadan bukan mengubah semua orang. Ramadan hanya mengubah mereka yang sudah bersedia untuk berubah.
Kegagalan yang berulang setiap tahun adalah kerana kita tidak jujur dan ia bukanlah misteri. Ia bukan kerana kita tidak cukup kuat. Ia bukan kerana kita tidak cukup masa. Ia kerana kita tidak pernah bermula sebelum ia bermula. Kita menunggu suasana untuk berubah sedangkan perubahan sebenar bermula dalam diri.
Soalan yang perlu ditanya hari ini bukan lagi apa target aku dalam Ramadan nanti? Tetapi, apa dosa yang aku boleh tinggalkan hari ini? Apa amalan kecil yang aku boleh mula sekarang? Apa perubahan yang aku sanggup komited walaupun tiada siapa melihat?
Perjalanan ke Ramadan bukan tentang menunggu bulan itu datang. Ia tentang siapa kita ketika ia tiba kerana Ramadan tidak mengubah semua orang tetapi ia pasti mengubah mereka yang memilih untuk bersedia dan mungkin hari ini bukan terlalu awal untuk berubah. Tetapi sudah terlalu lama untuk kita terus menangguh.

No comments:
Post a Comment