Friday, April 10, 2026

Syukur dalam Krisis: Mengapa Rakyat Malaysia Masih Gagal Melihat Nikmat?


Ada sesuatu yang aneh dalam jiwa kita hari ini. Kita hidup dalam negara yang masih aman, masih boleh bekerja, masih boleh membina keluarga, masih boleh berbicara tentang agama tanpa takut ditangkap atau dibungkam, tetapi hati kita, semakin penuh dengan keluhan. Seolah-olah kita sedang hidup dalam kekurangan yang besar, padahal kita sebenarnya sedang berdiri di atas nikmat yang sangat luas dan di sinilah Al-Quran mengajar kita satu prinsip yang halus tetapi menentukan arah hidup, “Ingatlah Aku, nescaya Aku ingat kamu. Bersyukurlah kepada-Ku…” (Al-Baqarah: 152)

Satu lagi janji yang lebih menggetarkan “Jika kamu bersyukur, pasti Aku akan tambah…” (Ibrahim: 7)

Persoalannya bukan adakah kita diberi nikmat? Sebaliknya adakah kita benar-benar bersyukur? Syukur bukan sekadar rasa, tetapi tindak balas jiwa. Kita sering menyempitkan syukur kepada ucapan “Alhamdulillah.” Namun Al-Quran tidak pernah mendefinisikan syukur sesederhana itu. Syukur itu hidup dalam tiga lapisan bermula dari lapisan hati yang mengakui semua ini dari Allah, lisan yang memuji tanpa jemu serta amal yang menggunakan nikmat pada jalan yang benar dan di sinilah ramai antara kita sebenarnya gagal. Kita rasa cukup dengan menyebut, tetapi kita lupa untuk membuktikan.

Malaysia adalah negara nikmat yang tidak disedari. Cuba kita berhenti sejenak. Bukan untuk membaca berita. Tetapi untuk membaca realiti. Kita bukan negara perang. Kita tidak bangun pagi dengan bunyi letupan. Anak-anak kita masih boleh ke sekolah tanpa ketakutan. Masjid masih terbuka. Usrah masih berjalan. Dakwah masih bernafas. Ini bukan perkara kecil. Ini nikmat yang di banyak tempat di dunia tidak wujud langsung. Tetapi mengapa, dalam ruang yang penuh nikmat ini, kita masih membina budaya keluhan?

Budaya mengeluh dikatakan sebagai kufur nikmat yang halus. Kufur nikmat bukan semestinya menolak Tuhan. Kadang-kadang ia hadir dalam bentuk yang lebih “halus” seperti sentiasa nampak kekurangan, mudah menyalahkan, malas membina dan menggunakan nikmat untuk perkara sia-sia. Kita mengeluh tentang ekonomi, tetapi tidak memperbaiki disiplin diri. Kita mengeluh tentang masyarakat, tetapi tidak mendidik keluarga. Kita mengeluh tentang negara, tetapi tidak menyumbang apa-apa dan tanpa kita sedar, kita sedang menutup pintu kepada janji Allah, “Aku akan tambah…”

Kekhuatiran terbesar kita adalah apabila nikmat tidak disyukuri. Ini adalah satu ketakutan yang jarang kita fikirkan. Ketakutan itu bukanlah kehilangan nikmat secara tiba-tiba tetapi nikmat yang kekal, namun tidak lagi membawa keberkatan. Negara masih aman, tetapi jiwa rakyat resah. Rezeki masih ada, tetapi tidak cukup. Teknologi semakin maju, tetapi akhlak semakin runtuh. Ini bukan kekurangan nikmat. Ini tanda nikmat tidak disyukuri dengan benar.

Marilah kita bersama menjadikan syukur sebagai tanggungjawab, bukan pilihan. Syukur bukan sekadar perasaan peribadi. Jika kita diberi keamanan, maka kita wajib membina generasi. Jika kita diberi ilmu, maka kita wajib menyebarkannya. Jika kita diberi ruang, maka kita wajib berdakwah. Syukur itu bukan menikmati nikmat malah syukur itu adalah menggerakkan nikmat. Persoalan yang kita cuba nak elak mungkin bukan lagi kenapa negara ini begini? Sebaliknya soalannya akan berbunyi seperti apa yang aku sudah lakukan sebagai tanda syukur? Adakah aku menggunakan masa untuk membina atau sekadar melayan? Adakah aku mendidik atau hanya mengkritik? Adakah aku menjadi sebahagian penyelesaian atau sekadar penonton yang bising?

Kesyukuran yang seharusnya mengubah takdir kerana syukur bukan tentang melihat hidup sebagai sempurna. Syukur adalah kemampuan melihat nikmat walaupun dalam ketidaksempurnaan dan lebih dari itu, syukur adalah keputusan untuk menggunakan nikmat itu kepada sesuatu yang lebih besar daripada diri kita sendiri. Ia adalah kerana akhirnya, Allah tidak akan bertanya apa yang kamu tidak ada? Allah akan bertanya apa yang kamu lakukan dengan apa yang Aku beri?

No comments: