Ada dosa yang berlaku secara tiba-tiba. Tetapi kebanyakan dosa tidak bermula dengan tindakan sebaliknya ia bermula dengan satu bisikan, mungkin satu perbualan atau satu justifikasi kecil dalam hati. Maka, ayat 114 hingga 121 Surah An-Nisa’ membuka satu lapisan yang sangat halus dalam kehidupan manusia tentang bagaimana dosa terbentuk dan ia bukan di tangan, sebaliknya di hati dan kata-kata.
Semua kita pada awalnya berasa bisikan yang ada dalam diri kita adalah biasa. Ayat 114 menyebutkan, “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka…”
Tidak ada kebaikan yang dijelaskan melalui firman ini kecuali mengajak bersedekah, mengajak buat baik dan berusaha mendamaikan perselisihan manusia dan dalam tafsir Ibn Kathir, najwa atau bisikan sering menjadi tempat lahirnya dosa seperti mengumpat, merancang sesuatu yang tidak baik atau menyebarkan persepsi negatif terhadap insan lain. Kita jarang merasa bersalah atas perbualan kita tetapi sedarlah, di situlah punca dosa bermula.
Ayat 115 pula membawa kita ke satu tahap yang lebih serius berkenaan keadaan apabila kebenaran telah nampak jelas, tetapi hati masih cuba menolak kebenaran itu. Ia termasuk menentang Rasul setelah jelas kebenarannya. Ini bukanlah tentang tidak tahu tetapi ini tentang manusia yang tahu tetapi tidak mahu ikut. Jika kita merujuk kepada tafsir Al-Tabari, ini adalah bentuk penyimpangan yang paling berbahaya kerana ia melibatkan kesedaran. Masalah terbesarnya bukanlah kejahilan tetapi keegoan yang menolak kebenaran.
Dosa adalah punca kepada terputusnya diri kita kepada segala sesuatu. Ini diingatkan dalam ayat 116 bahawasanya Allah tidak mengampuni syirik. Ini adalah asas penting berkenaan hubungan dengan Allah mestilah dijaga. Namun, pintu taubat sentiasa terbuka. Ini memberi keseimbangan antara takut dan harap.
Bagaimana syaitan bekerja? Ayat 117–119 membuka strategi syaitan secara jelas bermula dengan memberi janji, mencipta angan-angan dan kemudian mengubah fitrah manusia. Rujukan dari tafsir Al-Qurtubi menjelaskan, ini termasuk perubahan nilai dan cara manusia melihat perkara yang salah sebagai normal. Syaitan tidak memaksa sebaliknya dia meyakinkan. Dia tidak berkata: “buat dosa besar” tetapi dia akan kata: “tak apa…”, “sekali saja…” atau “semua orang buat…”
Apa yang berlaku sebenarnya, janji itu tidak pernah ditunaikan. Ini jelas melalui ayat 120 yang menyebutkan bahawa janji syaitan hanyalah tipu daya dan ini sangat dekat dengan kehidupan kita. Kita tangguh taubat kerana rasa sempat lagi. Kita ulang dosa kerana rasa nanti boleh berubah, betulkan? Syaitan tidak menjanjikan kebenaran. Dia hanya menjanjikan keselesaan sementara.
Apa yang kita khuatirkan adalah pengakhiran yang tidak diingini. Ayat 121 menutup dengan satu realiti yang tegas bahawa jalan yang salah akan membawa kepada akibat yang pasti dan tidak ada tempat lari daripadanya. Perkara ini adalah diakibatkan dari dosa yang tidak kita sedari. Ayat-ayat ini mengajak kita melihat satu sudut yang jarang kita lihat iaitu bukan dosa besar yang menghancurkan kita tetapi dosa kecil yang kita biasakan seperti perbualan yang kita anggap biasa, sangkaan yang kita simpan atau alasan yang kita ulang. Semua ini secara perlahan membentuk hati dan mengubah arah hidup kita.
Tanyalah diri kita dengan jujur, berapa banyak perbualan kita membawa kepada kebaikan? Berapa banyak pula yang hanya memenuhi masa atau lebih buruk, membawa dosa? Adakah kita menolak kebenaran kerana ia sukar atau kerana kita tidak mahu berubah? Berapa banyak “tak apa” yang kita ulang sehingga ia menjadi kebiasaan? Akhir sekali, satu soalan yang paling dalam, adakah kita sedar kita sedang berubah atau kita hanya hanyut tanpa sedar?
Saudaraku, sedarlah. Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan suara, penuh dengan perbualan dan penuh dengan pengaruh tetapi sangat kurang kesedaran, penapisan dan kejujuran. Media sosial pula menjadikan dosa lebih mudah, bisikan lebih kuat dan normalisasi lebih cepat. Ayat ini datang sebagai alarm, berhenti seketika, perhatikan hati kita dan nilailah semula arah tuju kita.
Kitalah sendiri yang paling wajar untuk memulakan perubahan. Tapislah perbualan yang tidak membawa manfaat. Sedar pada bisikan hati sendiri bahawa tidak semua yang kita fikir itu benar seperti yang pernah dialunkan oleh kumpulan nowseeheart dalam lagu bertajuk fatwa hati. Lawan penilaian-penilaian yang kecil kerana di situlah dosa bermula. Jom kita kembali kepada Allah segera. Jangan tunggu sempurna untuk berubah.
Kesimpulannya, ayat 114 hingga 121 surah an-nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat halus iaitu kita tidak jatuh secara tiba-tiba. Kita jatuh sedikit demi sedikit tanpa sedar dan mungkin inilah muhasabah yang paling penting untuk kita timbulkan, dosa apa yang sedang kita biasakan hari ini? Ke mana pula ia sedang membawa kita? Pada akhirnya, jalan yang kita pilih tidak bermula dengan langkah besar tetapi ia bermula dengan bisikan kecil yang kita benarkan.

No comments:
Post a Comment