Wednesday, April 1, 2026

Dari Reaktif ke Berfikrah: Membina Umat yang Tidak Mudah Hanyut


Hakikatnya, dunia tidak pernah sunyi, tetapi kita selalu terkejut. Setiap kali dunia bergolak, kita seolah-olah terjaga dari lena. Hari ini konflik, esok krisis ekonomi, lusa isu yang lain pula. Nama berubah tetapi coraknya sama dan setiap kali itu juga, kita melihat fenomena yang berulang. Emosi meluap, pandangan bercampur kemudian masyarakat berpecah. Seolah-olah kita tidak pernah benar-benar bersedia menghadapi dunia yang tidak stabil ini.

Masalahnya ini sebenarnya bukan masalah dunia, tetapi masalah pada cara kita memberi reaksi. Kita sering menyangka, “Masalahnya ialah apa yang berlaku di luar sana.” Tetapi jika diperhatikan dengan jujur, masalah yang lebih besar adalah apa yang berlaku di dalam diri kita ketika menghadapi isu tersebut. Umat yang reaktif akan cepat menyala dan cepat juga padam nyalaannya. Ada satu pola yang semakin jelas dalam masyarakat hari ini. Kita bukan kekurangan maklumat bahkan kita dibanjiri maklumat. Namun kita menjadi umat yang reaktif. Hanya ambil tahu bila isu menjadi viral, marah sebelum memahami sesuatu isu, sebar maklumat sebelum menyemak kesahihannya, memilih pihak tanpa memahami keseluruhan dan yang paling menyedihkan, kita lebih cepat menghukum sesama sendiri daripada memahami bersama.

Inilah yang menjadi kerisauan apabila emosi menggantikan fikrah. Kebenaran akan menjadi kabur, naratif mula menjadi keliru dan musuh tidak perlu menyerang kerana kita sudah melemahkan diri sendiri maka dalam keadaan ini umat tidak lagi dipandu oleh prinsip, tetapi oleh gelombang perasaan.

Inilah bahaya yang tidak kita sedari. Masalah ini bukan kecil. Ia membawa kesan yang besar, seperti mudah dimanipulasi. Apa sahaja boleh dipercayai jika ia selari dengan emosi kita. Umat akan mula berpecah dan menyebabkan perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan. Kita akan mula hilang peranan sebenar kerana sibuk berbincang tetapi langsung tidak membina dan akhirnya umat hanya menjadi pengguna isu, bukan pembina peradaban.

Ingatlah, Islam membina umat berfikir, bukan sekadar memberikan maklum balas. Allah mengingatkan dalam Al-Quran, “Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah…” (Surah Al-Hujurat: 6)

Allah turut berfirman yang bermaksud, “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dan berilmu beberapa darjat…” (Surah Al-Mujadalah: 11)

Ayat-ayat ini bukan sekadar nasihat tetapi asas pembinaan umat. Umat yang yang terbina perlu menyemak sebelum percaya, memahami sebelum menghukum dan berfikir sebelum bertindak.

Jom kita hijrahkan diri dari reaktif ke berfikrah. Perubahan yang kita perlukan bukan sekadar pada isu tetapi pada cara kita berinteraksi dengan isu. Maka bagaimanakan umat itu perlu berfikrah? Umat berfikrah seharusnya Berprinsip, bukan beremosi. Keadilan tidak berubah walaupun situasi berubah. Mereka harus Memahami konteks, bukan sekadar teks dan Tidak melihat satu maklumat secara terpisah. Tenang dalam perbezaan kerana tidak semua perbezaan perlu dimenangi dan fokuslah kepada peranan, bukan sekadar bertanya “siapa salah” sebaliknya “apa yang boleh aku sumbang”.

Sama seperti sebelumnya, saya sarankan untuk kita mengambil langkah kecil yang boleh memberikan kesan yang besar. Perubahan besar bermula dari amalan kecil seperti menahan diri dari reaksi segera, menyemak sebelum berkongsi, membaca lebih dari satu sumber, menjaga adab dalam perbezaan dan membina diri sebelum membetulkan orang lain. Ia kelihatan kecil, tetapi di sinilah sebenarnya bermula satu kebangkitan umat.

Persoalannya, kita ini sedang dibentuk atau dihanyutkan? Mungkin soalan paling penting hari ini bukan “Apa pendirian aku terhadap isu ini?” tetapi “Adakah cara aku berfikir hari ini mendekatkan aku kepada kebenaran atau sekadar mengikut arus?” Hari ini dunia semakin bising dan hiruk pikuk cacian dan makian tanpa ada hala tuju jelas dan kita sangat memerlukan umat yang tenang dan berfikir.

Dunia hari ini tidak kekurangan suara. Semua orang bercakap. Semua orang memberi pandangan cuma yang kurang adalah manusia yang benar-benar berfikir. Jika kita terus menjadi reaktif, kita akan sentiasa penat mengejar isu. Tetapi jika kita menjadi berfikrah, kita akan mampu berdiri teguh walau apa pun isu yang datang. Maka mungkin hari ini di sebalik semua konflik, krisis dan kekeliruan Allah sedang mengajar kita satu perkara, Untuk tidak hanya menjadi umat yang cepat bereaksi, tetapi umat yang tenang, memahami dan memimpin dengan hikmah.

No comments: