Sunday, April 26, 2026

Saat Kebenaran Menelan Ilusi: Memahami Surah Taha Ayat 65–76



Ada masa dalam hidup di mana kita tahu apa yang benar, tetapi kita tetap rasa takut. Takut pada reaksi manusia, takut pada tekanan sekeliling, takut pada kemungkinan kehilangan sesuatu yang kita sayang. Ketika itu, kita mula bertanya dalam diam kalau ini benar, kenapa hati masih bergetar? Surah Taha ayat 65 hingga 76 membawa kita tepat ke detik itu. Detik di mana Nabi Musa berdiri berhadapan dengan ahli-ahli sihir terbaik Mesir, di hadapan kuasa besar bernama Firaun dan di hadapan manusia yang menyaksikan dengan mata yang mudah terpedaya.

Pertembungan itu bermula dengan satu pilihan yang kelihatan kecil iaitu siapa yang akan memulakan terlebih dahulu. Nabi Musa memberi ruang kepada mereka. Seolah-olah baginda tidak tergesa-gesa untuk membuktikan kebenaran. Seolah-olah baginda tahu, kebenaran tidak perlu berebut untuk tampil.

Lalu ahli-ahli sihir itu memulakan permainan mereka. Tali-tali dan tongkat dilemparkan, tiba-tiba ia kelihatan seperti ular yang bergerak. Ia bukan benar, tetapi cukup untuk membuatkan mata mempercayainya. Cukup untuk mencipta rasa kagum. Cukup untuk menggoyahkan keyakinan sesiapa yang melihat dan di situlah Al-Quran merakam sesuatu yang sangat jujur bahawa Nabi Musa sendiri berasa takut.

Ayat ini sangat penting. Ia memecahkan satu persepsi bahawa orang yang membawa kebenaran sentiasa tenang tanpa rasa gentar. Hakikatnya, rasa takut itu wujud, bahkan pada seorang nabi. Tetapi yang membezakannya bukan ketiadaan takut, melainkan kepada siapa hati itu kembali ketika takut hadir. Allah berfirman, “Jangan takut. Engkaulah yang lebih tinggi.”

Bukan kerana Nabi Musa lebih kuat secara zahir, bukan kerana Nabi Musa mempunyai lebih ramai penyokong tetapi kerana Nabi Musa berada di pihak kebenaran. Ini titik pembelajaran kita bahawa keyakinan bukan lahir daripada situasi tetapi daripada sandaran hati kepada Allah. Apabila Nabi Musa melemparkan tongkatnya, sesuatu yang luar biasa berlaku. Tongkat itu bukan sekadar menandingi ilusi, tetapi menelan semuanya. Semua tali, semua bayangan, semua tipuan hilang begitu sahaja. Seolah-olah Allah ingin menunjukkan bahawa kebenaran tidak perlu bersaing dengan kepalsuan. Ia hanya perlu muncul dan kepalsuan akan runtuh dengan sendirinya.

Dunia kita hari ini, sering terlihat sebaliknya. Ilusi kelihatan lebih dominan. Persepsi lebih kuat daripada reality sehinggakan yang palsu boleh disusun dengan begitu cantik bahkan ia kelihatan lebih meyakinkan daripada yang benar. Namun ayat ini mengingatkan kita bahawa kekuatan itu hanya sementara. Hakikatnya rapuh. Apa yang berlaku selepas itu lebih mengejutkan. Ahli-ahli sihir yang datang untuk menentang Nabi Musa, tiba-tiba sujud. Mereka bukan orang awam yang mudah terpengaruh. Mereka adalah pakar dalam bidang itu. Mereka tahu apa itu sihir dan mereka tahu apa yang Nabi Musa bawa bukan sihir.

Kebenaran itu, apabila benar-benar dilihat, tidak memerlukan masa yang panjang untuk diakui oleh hati yang jujur. Namun hidayah itu datang dengan harga. Firaun segera mengancam dengan hukuman yang kejam, potong anggota, salib di pohon kurma. Tekanan yang sangat nyata. Ancaman yang sangat duniawi. Tetapi jawapan ahli sihir itu mengubah keseluruhan suasana. Mereka berkata bahawa mereka tidak akan mengutamakan Firaun berbanding kebenaran yang telah jelas di hadapan mereka. Mereka memilih Allah, walaupun itu bermakna kehilangan dunia.

Ini adalah mesej utama yang wajib kita renungi. Berapa ramai antara kita yang tahu kebenaran, tetapi masih menangguh untuk memilihnya kerana takut kehilangan sesuatu? Takut pandangan manusia, takut peluang yang hilang, takut perubahan yang perlu dilakukan. Ahli sihir itu tidak menunggu keadaan menjadi selamat untuk beriman. Mereka beriman dalam keadaan paling berisiko.

Surah ini kemudian menutup dengan gambaran yang sangat jelas tentang dua jalan yang tidak akan bertemu. Satu jalan menuju kepada neraka, kehidupan yang tidak hidup dan tidak mati. Satu lagi menuju kepada syurga, tempat tinggal yang kekal bagi mereka yang membersihkan diri. Ia mengingatkan kita bahawa akhirnya, semua pilihan yang kita buat di dunia ini akan menuju ke salah satu daripada dua destinasi itu dan ukuran sebenar bukan apa yang kita nampak sekarang, tetapi ke mana arah akhir perjalanan itu.

Bicara saya bersama para Muslimah yang mendengar pesanan ini, hari ini, ayat-ayat ini berbicara dengan sangat dekat. Ketika kita berada di dalam dunia yang penuh dengan tekanan untuk menjadi seperti orang lain, untuk memenuhi standard yang sentiasa berubah, untuk kelihatan sempurna di mata manusia, memilih kebenaran kadang-kadang terasa seperti kehilangan. Tetapi Surah Taha mengajarkan bahawa kehilangan di jalan kebenaran bukanlah kerugian. Ia adalah pertukaran daripada sesuatu yang sementara kepada sesuatu yang kekal.

Nabi Musa berasa takut, tetapi tetap melangkah. Ahli sihir melihat kebenaran, lalu terus tunduk dan Allah menunjukkan bahawa kebenaran, walaupun kelihatan kecil di awalnya, mempunyai kekuatan untuk menelan segala ilusi. Mungkin dalam hidup kita hari ini, ilusi itu datang dalam bentuk yang lebih halus seperti perbandingan hidup, tekanan sosial, imej yang dipamerkan atau ketakutan untuk menjadi berbeza. Namun prinsipnya tetap sama. Kebenaran tidak perlu kelihatan meyakinkan untuk menjadi benar dan kepalsuan tidak akan menjadi benar walaupun ia kelihatan sangat meyakinkan. Akhirnya, persoalannya bukan lagi apa yang kita lihat dengan mata, tetapi apa yang kita pilih dengan hati.

No comments: