Kita sering mengaitkan syukur dengan kesenangan. Nikmat yang banyak barulah kita mudah bersyukur dan dengan hidup selesa mudahlah kita untuk berterima kasih. Tetapi generasi awal Islam mengajar sesuatu yang berbeza dan jauh lebih mencabar iaitu mereka bersyukur ketika nikmat kelihatan sangat sedikit. Syukur dalam kekurangan merupakan paradoks generasi awal. Bayangkan kehidupan mereka ditekan, diboikot, dihina dan dihalau dari tanah sendiri, namun dalam keadaan itu, mereka tidak membina budaya keluhan. Malah sebaliknya, mereka membina keyakinan, kesatuan serta kekuatan dalaman. Mengapa? Ia disebabkan kerana mereka melihat nikmat pada tempat yang kita hari ini sudah tidak lagi pandai melihatnya.
Pada pandangan mata mereka sesuatu itu adalah nikmat walaupun dunia tidak berkata sedemikian. Mereka menilai nikmat iman lebih besar dari nikmat dunia. Bagi mereka, dapat mengenal Allah lebih besar daripada kehilangan harta. Maka walaupun dunia diambil, mereka masih berasa cukup. Nikmat ujian juga dirasakan begitu kerana ia menjadi tanda perhatian Allah kepada kita. Mereka tidak melihat ujian sebagai hukuman semata-mata tetapi sebagai proses tarbiah, latihan jiwa serta bukti Allah sedang membentuk mereka lalu ini menjadikan mereka tidak rapuh dalam kesusahan. Tidak lupa juga kepada nikmatnya berjuang dan bukan sekadar menjalani hidup. Pandangan mereka, hidup bukan untuk selesa sebaliknya hidup adalah untuk membawa risalah, memperbaiki manusia dan menyambung dakwah maka, setiap kesukaran menjadi bermakna.
Mari kita telusuri contoh kehidupan yang menjadikan syukur sebagai alat membina kekuatan diri. Insan seperti Bilal bin Rabah yang disiksa di padang pasir dengan batu besar di atas dadanya. Namun lisannya tetap “Ahad… Ahad…”. Itu bukan sekadar sabar. Itu adalah syukur terhadap nikmat iman yang tidak boleh dirampas. Contoh lain seperti Abu Bakr as-Siddiq yang menginfakkan hampir seluruh hartanya dan apabila ditanya apa yang ditinggalkan untuk keluarganya, jawabnya, “Allah dan Rasul-Nya.”. Ini bukan pengorbanan kosong. Ini lahir dari jiwa yang yakin nikmat Allah tidak akan habis. Begitu juga dengan Umar ibn al-Khattab. Seorang pemimpin besar tetapi hidupnya amat sederhana. Mengapa? Baginya satu ketakutan kerana kemewahan akan mematikan rasa syukur.
Inilah rahsia besar yang kita terlepas pandang. Generasi awal tidak menunggu nikmat besar untuk bersyukur. Mereka bersyukur dengan apa yang ada dan kerana itu, Allah tambahkan kekuatan mereka. Inilah sunnatullah, syukur melahirkan kekuatan dan bukan sebaliknya. Kita pula hari ini, banyaknya nikmat, kurang kekuatan. Kita hari ini sumber banyak, teknologi canggih dan peluang luas tetapi mudah lemah, cepat putus asa dan kuat mengeluh. Mengapa? Ini sebabkan kita hari ini telah menterbalikkan formula. Kita tunggu, “Bila cukup, baru aku bersyukur” sedangkan generasi awal, “Aku bersyukur, maka Allah cukupkan”.
Jadikanlah syukur sebagai strategi gerakan. Jika kita serius mahu membina semula kekuatan ummah maka syukur bukan lagi sekadar akhlak individu. Ia mesti menjadi strategi gerakan. Bagaimana? Rasa syukur akan membina jiwa yang melihat peluang, bukan alasan. Setiap cabaran dilihat sebagai ruang dakwah dan peluang pembaikan. Syukur juga membuatkan kita menghargai sumber kecil. Walaupun kumpulan kecil tetap dibina dengan serius. Program kecil masih dilaksanakan dengan ihsan kerana gerakan besar bermula dari syukur terhadap yang kecil. Syukur juga mampu mengelakkan kita dari budaya merungut dalam organisasi. Kurang menyalahkan dan lebih membina. Syukur akan menghasilkan kepimpinan yang matang. Akhir sekali sudah tentu syukur akan menjadikan akhirat sebagai ukuran utama. Apabila akhirat menjadi focus, dunia tidak lagi membebankan dan pengorbanan menjadi ringan.
Marilah kita kembali kepada formula yang hilang itu. Kita telah melalui perbincangan mengenai syukur yang semakin hilang, nikmat yang ditarik secara senyap, membina budaya syukur serta syukur sebagai kekuatan generasi pejuang dan semuanya membawa kepada satu kesimpulan yang sama iaitu masalah kita bukan kekurangan nikmat tetapi masalah kita adalah kegagalan memahami syukur. Akhirnya, jika kita ingin melihat perubahan bukan bermula dengan sistem, polisi atau strategi besar tetapi bermula dengan sesuatu yang sangat asas iaitu bagaimana kita melihat nikmat yang Allah sudah beri kerana mungkin kekuatan yang kita cari selama ini tidak pernah hilang cuma ia menunggu untuk dihidupkan kembali melalui syukur.

No comments:
Post a Comment