Ada satu perkara yang sering kita terlupa dalam dunia pendidikan hari ini bahawa kita sebenarnya tidak bekerja sendirian. Ketika di dalam bilik darjah, mungkin seorang guru berdiri di hadapan pelajar. Namun di belakangnya, ada sistem yang hidup termasuk guru lain, staf sokongan, pentadbir, bahkan suasana yang dibina bersama. Pendidikan, hakikatnya, adalah kerja berjemaah dan di sinilah letaknya cabaran yang paling halus, bukan pada silibus, bukan pada jadual tetapi pada bagaimana manusia bekerjasama dengan manusia.
Kita semua sedang berjuang. Inilah realitinya. Bahkan menjadi pendidik hari ini bukan mudah. Ada tekanan akademik, ada tuntutan ibu bapa, ada keletihan emosi yang tidak selalu terlihat. Maka dalam keadaan itu, kita semua sedang berusaha menjadi guru yang baik, menjadi rakan sekerja yang baik dan dalam masa yang sama, menjadi manusia yang tetap kuat. Jika sesekali terasa berat, jika ada ketika komunikasi menjadi kurang sempurna, itu bukan tanda kegagalan. Itu tanda kita sedang menjadi manusia.
Firman Allah dalam surah al-maidah ayat 2 merupakan sebuah seruan yang halus, tetapi dalam. Allah SWT mengingatkan, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan dan ketakwaan…” (Surah al-Ma’idah: 2)
Menariknya, ayat ini tidak mensyaratkan kesempurnaan. Allah tidak menunggu kita menjadi sempurna dahulu baru kita boleh saling membantu. Sebaliknya, dalam keadaan kita masih belajar, masih ada kekurangan, kita tetap diseru untuk saling menguatkan. Mungkin di sinilah rahsia sebenar kekuatan sebuah organisasi, bukan pada kesempurnaan individu tetapi pada kesediaan untuk saling melengkapi. Oleh yang demikian kita bersama dapat fahami, dalam banyak perkara urusan organisasi jangan utamakan tentang siapa betul, tetapi utamakanlah siapa yang sentiasa sedia membantu.
Pengalaman saya sendiri, saya belajar satu perkara yang sangat penting, team yang kuat bukanlah team yang tiada masalah. Tetapi team yang tidak membiarkan masalah memisahkan mereka. Kadang-kadang, yang diperlukan bukan solusi besar tetapi tindakan kecil seperti membantu tanpa diminta, memahami tanpa perlu dijelaskan panjang, memaafkan tanpa menunggu diminta. Perkara-perkara ini nampak kecil tetapi ia membina sesuatu yang besar iaitu kepercayaan dan bila ada kepercayaan, kerja menjadi ringan dan hubungan menjadi kuat. Kepercayaan ini adalah sebahagian dari urusan menjaga hati kita dalam bekerja.
Ada satu dimensi yang jarang dibincangkan dalam teamwork iaitu hati. Kita boleh ada sistem yang baik, prosedur yang tersusun tetapi jika hati tidak dijaga, semuanya boleh runtuh secara perlahan. Jaga hati bukan bermaksud kita sentiasa bersetuju tetapi kita memilih untuk tidak memperbesarkan perkara kecil, tidak menyimpan sangka buruk dan tidak menyakiti dengan kata-kata kerana dalam kerja mendidik ini, apa yang kita bina bukan sekadar pelajar tetapi juga suasana. Jadi kalau kita refleksi diri kita, persoalannya, siapa saya dalam team ini?
Akhirnya, persoalan yang paling penting bukan tentang orang lain. Tetapi tentang diri kita sendiri. Adakah kehadiran saya memudahkan atau menambah beban? Adakah saya membawa ketenangan atau tekanan? Jika semua orang bekerja seperti saya, bagaimana keadaan team ini? Soalan ini bukan untuk menyalahkan tetapi untuk menyedarkan kerana perubahan dalam organisasi, selalunya bermula dari perubahan yang sangat kecil iaitu dalam diri seseorang. Oleh itu kita mesti akui kita mungkin belum sempurna, tetapi kita sedang menuju keadaan yang lebih baik.
Hakikatnya, tiada team yang sempurna. Tetapi ada team yang memilih untuk terus memperbaiki diri. Ada team yang memilih untuk saling memahami. Ada team yang tidak putus asa antara satu sama lain dan mungkin, itu sudah cukup untuk menjadi luar biasa. Akhirnya, kita kembali kepada satu niat yang sama bahawa kerja kita ini bukan sekadar tugas tetapi ibadah dan dalam ibadah itu, kita tidak berjalan sendirian. Mungkin kita tidak mampu mengubah seluruh sistem sekaligus tetapi kita mampu menjadi satu titik kebaikan dalam team kita kerana kadang-kadang, satu sikap yang Ikhlas boleh mengubah seluruh suasana dan mungkin, dari situlah lahirnya sebuah kebersamaan yang sebenar.

No comments:
Post a Comment