Friday, May 29, 2026

Mizan al-‘Amal: Apabila Allah Menimbang Nilai, Bukan Sekadar Bilangan



Hidup yang kita diami hari ini, kita dapat melihat ramai manusia sering menilai kejayaan melalui angka. Berapa banyak program yang dianjurkan, berapa ramai yang hadir, berapa besar sumbangan yang diberikan atau berapa banyak amal yang berjaya dilakukan. Namun, apabila kita meneliti petunjuk al-Quran, kita akan mendapati bahawa penilaian Allah tidak semestinya sama dengan penilaian manusia.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-A‘raf ayat 8 hingga 9, "Dan timbangan pada hari itu adalah benar. Maka sesiapa yang berat timbangan kebaikannya, mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami."

Ayat ini membawa kita kepada satu hakikat yang sangat penting. Pada Hari Akhirat nanti, bukan semua amal akan dinilai berdasarkan jumlahnya semata-mata. Sebaliknya, setiap amalan akan melalui proses penimbangan yang adil dan tepat oleh Allah SWT. Timbangan tersebut dikenali sebagai Mizan al-‘Amal atau neraca yang menimbang nilai sebenar amalan manusia.

Ramai yang mungkin menyangka bahawa kejayaan di sisi Allah hanya bergantung kepada banyaknya amal yang dilakukan. Namun, al-Quran mengajar bahawa yang menentukan berat atau ringannya timbangan bukan sekadar kuantiti amal, tetapi juga kualiti yang terkandung di dalamnya. Amal yang sedikit tetapi dilakukan dengan hati yang ikhlas boleh menjadi sangat berat di sisi Allah. Sebaliknya, amal yang besar, hebat dan dipuji manusia boleh menjadi ringan jika dicemari riya’, ujub atau keinginan untuk mendapatkan sanjungan.

Sebab itulah Rasulullah SAW mengingatkan umatnya melalui hadis yang sangat masyhur, "Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjadi asas kepada kefahaman bahawa nilai sesuatu amal tidak boleh dipisahkan daripada niat yang menggerakkannya. Niat adalah roh kepada setiap amalan. Tanpa niat yang benar, amal yang kelihatan besar mungkin kehilangan nilainya bahkan dengan niat yang ikhlas, amal yang kecil pula boleh menjadi sangat bernilai.

Kita telusuri sejarah pemikiran Islam, ramai ulama dan tokoh tasawuf menekankan perkara ini antaranya ialah Ibnu Ataillah al-Sakandari yang pernah mengungkapkan satu nasihat yang mendalam, "Mungkin amal yang kecil dibesarkan oleh niat dan mungkin amal yang besar dikecilkan oleh riya’."

Ungkapan ini mengajak kita melihat semula cara kita menilai diri sendiri. Kadangkala kita terlalu sibuk mengira jumlah amal sehingga terlupa untuk memeriksa keadaan hati. Kita berusaha memastikan amal kelihatan sempurna di mata manusia, tetapi kurang memberi perhatian kepada keikhlasan yang menjadi ukuran utama di sisi Allah.

Apatah lagi dalam dunia media sosial hari ini, cabaran menjaga keikhlasan menjadi semakin besar. Tidak salah berkongsi aktiviti kebajikan atau program yang dijalankan, namun setiap Muslim perlu sentiasa bermuhasabah. Adakah perkongsian itu bertujuan mengajak orang lain kepada kebaikan, atau secara tidak sedar kita sedang mencari penghargaan dan pujian? Adakah kita kecewa apabila usaha kita tidak dihargai manusia, sedangkan Allah mengetahui segala yang tersembunyi dalam hati?

Mizan al-‘Amal mengajar kita bahawa kejayaan sebenar bukanlah apabila nama kita disebut-sebut, tetapi apabila amalan kita diterima oleh Allah SWT. Kejayaan bukanlah apabila manusia memuji, tetapi apabila Allah meredai. Kejayaan bukanlah apabila kita kelihatan hebat di dunia, tetapi apabila timbangan kebaikan menjadi berat di akhirat.

Justeru, marilah kita sentiasa memperbaharui niat dalam setiap urusan. Sama ada dalam beribadah, bekerja, mendidik keluarga, berkhidmat kepada masyarakat atau memperjuangkan kebaikan, semuanya perlu dilakukan kerana Allah. Jangan biarkan pujian manusia menjadi matlamat, kerana pujian itu sementara. Sebaliknya, carilah keredaan Allah yang kekal selama-lamanya.

WADAH Selangor dengan penuh rendah diri ingin berpesan kepada diri sendiri dan seluruh masyarakat agar sentiasa menjaga keikhlasan lebih daripada menjaga pujian manusia kerana pada akhirnya, yang akan menentukan nasib kita bukanlah apa yang diperkatakan oleh manusia tentang kita, tetapi apa yang ditimbang oleh Allah SWT terhadap amalan dan hati kita. Semoga Allah mengurniakan kepada kita hati yang ikhlas, amalan yang diterima, dan timbangan kebaikan yang berat pada hari perhitungan kelak.

No comments: