Belajarlah memilih damai dalam dunia yang suka bertengkar tambahan pula dalam dunia media sosial hari ini, manusia semakin mudah bereaksi tetapi semakin sukar memahami. Sedikit perbezaan pendapat boleh bertukar menjadi permusuhan. Teguran berubah menjadi penghinaan. Perbincangan menjadi pertandingan ego.
Kita hidup dalam zaman di mana ramai orang mahu menang bercakap, tetapi sedikit yang mahu mencari kebenaran. Sedangkan Allah SWT telah lama memberikan panduan yang begitu tenang dan mendalam melalui firman-Nya, “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil.” (Surah Al-Qur'an, al-A’raf: 199)
Ayat ini bukan sekadar nasihat akhlak. Ia adalah formula kestabilan jiwa dan kematangan sosial. Allah mengajar manusia tiga perkara penting dalam menghadapi kehidupan iaitu pertama memilih untuk memaafkan, kedua terus mengajak kepada kebaikan dan ketiga tahu bila perlu menjauh daripada kebisingan orang jahil. Inilah seni kebijaksanaan yang semakin hilang dalam masyarakat moden.
Ingatlah, tidak semua orang perlu dilayan. Ada manusia yang bertanya untuk memahami. Ada manusia yang berbincang untuk mencari jalan keluar. Tetapi ada juga yang hanya mahu menang, memperlekeh dan menimbulkan kekecohan. Golongan seperti ini tidak mencari kebenaran. Mereka mencari perhatian. Oleh kerana itu, Islam tidak menyuruh kita melayan semua perdebatan tanpa batas. Kadang-kadang, meninggalkan pertengkaran adalah tanda kekuatan jiwa, bukan kelemahan.
Rasulullah SAW sendiri mengingatkan, “Orang yang paling Allah benci ialah yang suka bertengkar.” (HR Sahih al-Bukhari)
Hadis ini sangat relevan dengan budaya hari ini. Ramai terlalu ghairah mempertahankan ego sehingga lupa menjaga adab. Akhirnya, perbincangan yang sepatutnya membawa manfaat bertukar menjadi medan menghina dan membuka aib. Lebih menyedihkan apabila pertengkaran itu berlaku atas nama agama, dakwah dan perjuangan.
Diam bukan bererti kalah. Ada orang menyangka jika kita tidak membalas, kita lemah. Jika kita memilih diam, kita dianggap kalah. Hakikatnya, tidak semua kemenangan perlu dibuktikan dengan kata-kata. Kadang-kadang, diam adalah keputusan paling matang. Diam memberi ruang kepada emosi reda. Diam menyelamatkan hubungan. Diam menghalang dosa lidah dan jari dan dalam banyak keadaan, manusia bukan perlukan jawapan segera, tetapi perlukan ketenangan.
Imam Muhammad ibn Idris al-Shafi‘i pernah berkata, “Aku tidak pernah berdebat untuk menang, tetapi untuk mencari kebenaran.” Inilah beza antara manusia yang dipandu hikmah dengan manusia yang dipandu ego. Orang yang mencari kebenaran sanggup mendengar. Orang yang mencari kemenangan hanya mahu bercakap.
Sedar atau tidak, masyarakat hari ini sedang letih dengan kebisingan. Kita terlalu banyak bercakap tetapi semakin kurang mendengar. Terlalu cepat menghukum tetapi semakin malas memahami. Media sosial menjadikan manusia ketagih untuk memberi reaksi terhadap semua perkara. Semua isu mahu dikomen. Semua perkara mahu diperdebatkan. Akibatnya, masyarakat kehilangan ketenangan jiwa. Budaya ini sebenarnya bertentangan dengan semangat “al-mizan” atau keseimbangan yang sering ditegaskan dalam gerakan pembangunan umat. WADAH Selangor sendiri menekankan kepentingan membina masyarakat yang beradab, berhikmah dan mampu menimbang tindakan dengan neraca ilmu serta akhlak.
Perjuangan tidak boleh dipenuhi kemarahan semata-mata. Dakwah tanpa adab akan kehilangan rahmat. Ilmu tanpa hikmah akan melahirkan kesombongan dan kerana itu, memilih ketenangan bukan bererti menyerah. Ia adalah usaha menjaga maruah diri, memelihara hati dan mengelakkan masyarakat daripada terus tenggelam dalam budaya permusuhan.
Maka, pilihlah ketenangan daripada kemenangan ego. Tidak semua perkara perlu dijawab. Tidak semua serangan perlu dibalas. Tidak semua provokasi perlu dilayan. Ada waktunya kita perlu bercakap dengan tegas. Ada waktunya kita perlu menegur dengan hikmah dan ada waktunya kita hanya perlu tersenyum lalu berlalu pergi. Itulah kematangan yang diajar Islam. WADAH Selangor menyeru masyarakat agar memilih ketenangan daripada kemenangan ego. Khususnya dalam dunia yang semakin kasar dengan kata-kata dan semakin panas dengan perbalahan, umat memerlukan lebih banyak hikmah, lebih banyak kesabaran dan lebih banyak jiwa yang mampu menahan diri kerana manusia yang benar-benar kuat bukanlah yang paling lantang ketika marah, tetapi yang paling mampu mengawal dirinya ketika diuji.

No comments:
Post a Comment