Isu pesta air di Bukit Bintang baru-baru ini bukan sekadar perdebatan tentang sebuah acara hiburan. Ia sebenarnya membuka satu persoalan yang lebih besar. Sejauh mana keselarasan antara dasar yang dibawa oleh kepimpinan negara dengan realiti pelaksanaannya di lapangan khususnya dalam kerangka Malaysia Madani yang menekankan nilai, adab dan kesejahteraan sosial. Masyarakat secara semula jadi mengharapkan satu bentuk keseragaman antara naratif yang diangkat di peringkat nasional dengan apa yang berlaku di ruang awam. Namun, apabila muncul acara yang dianggap bertentangan dengan sensitiviti masyarakat, timbul kegelisahan, adakah ini cerminan arah negara atau sekadar kelompongan dalam pelaksanaan?
Hakikatnya, kita sedang berdepan dengan satu cabaran yang tidak mudah iaitu mengurus sebuah masyarakat yang pelbagai dari segi latar budaya, kepercayaan dan aspirasi gaya hidup dan dalam ruang yang sama, wujud kelompok yang melihat hiburan sebagai sebahagian daripada ekspresi moden dan ekonomi bandar, sementara kelompok lain menilai perkara tersebut dari sudut akhlak, adab dan kesan jangka panjang terhadap masyarakat. Inilah jurang antara dasar dan aplikasi.
Dasar boleh dirangka dengan idealisme dan nilai yang tinggi, tetapi pelaksanaannya bergantung kepada pelbagai pihak sama ada pihak berkuasa tempatan, penganjur, penguatkuasa, malah masyarakat sendiri. Tanpa keselarasan dan kefahaman bersama, jurang ini akan terus melebar, lalu mencetuskan polemik yang berulang. Lebih membimbangkan, apabila jurang ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap kesungguhan membawa nilai dalam pentadbiran. Bukan kerana dasar itu lemah, tetapi kerana pelaksanaannya dilihat tidak konsisten.
Namun, dalam menanggapi isu ini, kita perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam budaya menyalahkan secara simplistik atau membina naratif konspirasi tanpa asas yang kukuh. Pendekatan yang lebih matang adalah dengan melihat isu ini sebagai peluang untuk memperbaiki sistem, memperjelas prinsip dan memperkukuh kefahaman bersama.
Pertama, saranan tindakan bersama ke arah penyelesaian menuntut kepimpinan dan kerajaan memperjelaskan garis panduan berkaitan penganjuran acara awam, khususnya yang melibatkan sensitiviti agama dan budaya. Ini bukan soal menyekat, tetapi menetapkan sempadan yang jelas agar pembangunan tidak mengorbankan nilai. Naratif dasar juga perlu diterjemahkan kepada mekanisme pelaksanaan yang konkrit dan konsisten.
Kedua, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu memainkan peranan lebih tegas dan berprinsip dalam meluluskan serta memantau acara. Penilaian bukan hanya dari sudut keselamatan dan ekonomi, tetapi juga impak sosial dan nilai masyarakat setempat. Penguatkuasaan pula mesti konsisten, bukan bermusim.
Penganjur dan industri hiburan juga tidak terkecuali. Mereka perlulah lebih peka terhadap konteks tempatan. Kreativiti dan inovasi dalam hiburan tidak seharusnya mengabaikan sensitiviti masyarakat. Tanggungjawab sosial perlu menjadi sebahagian daripada pertimbangan utama, bukan sekadar keuntungan.
Keempat, masyarakat dan anak muda pula tidak boleh sekadar menjadi pemerhati atau pengkritik. Perlu ada kesedaran kolektif dalam memilih, menyokong dan membentuk budaya. Anak muda khususnya perlu dibimbing untuk memahami bahawa kebebasan bukan bermaksud tanpa batas, tetapi hadir bersama tanggungjawab.
Selaku penggerak ngo dan gerakan masyarakat sivil, seperti WADAH (yang saya wakili) berperanan penting sebagai suara pencerdasan. Pendekatan yang diambil perlu bersifat mendidik, membina wacana dan menawarkan penyelesaian, bukan sekadar reaktif atau bersifat kecaman. Inilah ruang untuk mengangkat perbincangan kepada tahap yang lebih beradab dan berilmiah.
Isu seperti ini akan terus berulang selagi kita belum mencapai kesepakatan tentang sempadan antara kebebasan dan nilai dalam masyarakat. Apa yang diperlukan bukan sekadar reaksi terhadap satu-satu acara, tetapi usaha berterusan untuk membina kefahaman bersama tentang arah yang ingin dituju sebagai sebuah negara.
Akhirnya, persoalan sebenar bukanlah “siapa yang salah”, tetapi “apakah prinsip yang kita mahu pertahankan bersama”. Jika jurang antara dasar dan pelaksanaan dapat dirapatkan, maka bukan sahaja polemik dapat dikurangkan, malah keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan hala tuju negara juga akan semakin kukuh.

No comments:
Post a Comment