Ada satu keadaan yang lebih menakutkan daripada melakukan dosa. Bukan dosa itu sendiri, tetapi apabila hati sudah tidak lagi terasa bersalah. Apabila kesalahan tidak lagi menggoncang jiwa. Apabila kebenaran yang dulunya jelas kni, mula terasa asing. Ayat 155 hingga 162 Surah An-Nisa’ membawa kita perlahan-lahan masuk ke dalam ruang ini. Ruang yang sunyi, tetapi sangat berbahaya, ruang di mana hati manusia berubah tanpa disedari.
Allah menyebut tentang satu kaum yang melanggar perjanjian, menolak ayat-ayat-Nya, bahkan membunuh para nabi. Namun di tengah semua kesalahan besar itu, ada satu ungkapan yang sangat halus tetapi sangat dalam. Mereka berkata, “hati kami tertutup.” Seolah-olah mereka tidak lagi mampu memahami. Seolah-olah mereka menjadi mangsa keadaan. Tetapi Allah membetulkan persepsi itu. Hati mereka bukan tertutup secara semula jadi. Ia dikunci dan kunci itu datang daripada pilihan mereka sendiri dek kerana penolakan yang berulang dan berpuncai dari kebenaran yang ditolak berkali-kali sehingga akhirnya hati itu tidak lagi mampu menerima.
Ayat ini sebenarnya sangat dekat dengan kita sebab hati tidak menjadi keras dalam sehari. Ia menjadi keras apabila kita mula mempertahankan kesalahan kecil. Apabila kita mula memberi alasan kepada dosa. Apabila kita mula menangguhkan taubat yang bukan sekali, tetapi berkali-kali. Sehinggalah satu hari, kita tidak lagi melihat kesalahan sebagai kesalahan. Kemudian ayat ini membawa kita kepada satu bentuk kezaliman yang sangat besar iaitu tuduhan terhadap Mariam dan dakwaan terhadap Nabi Isa. Namun yang lebih dalam daripada peristiwa itu ialah bagaimana Allah menggambarkan keadaan mereka yang hidup dalam sangkaan. Mereka tidak mempunyai pengetahuan yang pasti. Mereka tidak benar-benar yakin.
Ini satu gambaran yang sangat jujur tentang manusia. Ramai yang bercakap dengan penuh keyakinan, tetapi keyakinan itu tidak berpunca daripada ilmu. Ia lahir daripada apa yang didengar, apa yang diwarisi atau apa yang paling mudah untuk dipercayai dan tanpa sedar, sangkaan itu mula mengambil tempat kebenaran. Ayat ini seperti membisik kepada kita, bahawa tidak semua yang kita yakini itu benar. Kadang-kadang kita hanya yakin kerana kita tidak pernah berhenti untuk benar-benar mencari. Allah kemudian menegaskan bahawa Nabi Isa tidak dibunuh seperti yang mereka dakwa, bahkan diangkat oleh-Nya. Ini bukan sekadar pembetulan sejarah, tetapi satu peringatan bahawa kebenaran tidak berubah walaupun manusia sepakat dalam kesilapan. Kebenaran tidak ditentukan oleh jumlah suara, tetapi oleh wahyu yang datang daripada Allah.
Apabila ayat-ayat ini beralih kepada kisah riba dan memakan harta secara batil, kita mula melihat satu pola yang lebih besar. Hati yang rosak tidak berhenti pada tahap kepercayaan sahaja. Ia akan melahirkan kerosakan dalam kehidupan. Apabila manusia tidak lagi tunduk kepada kebenaran, mereka akan mula menzalimi. Mereka akan mengambil apa yang bukan hak mereka. Mereka akan membina sistem yang menguntungkan diri sendiri walaupun merugikan orang lain dan yang paling membimbangkan, semua itu boleh menjadi normal.
Ayat ini tidak hanya menceritakan tentang sejarah. Ia sedang menunjukkan bagaimana kerosakan hati akan menjalar ke dalam masyarakat. Bagaimana kezaliman bermula daripada sesuatu yang sangat kecil bermula dari penolakan terhadap kebenaran sehingga akhirnya membentuk sistem yang menindas. Namun di tengah semua teguran yang keras itu, Allah tidak menutup cerita dengan hanya berputus asa. Masih ada dalam kalangan mereka yang berilmu. Masih ada yang beriman. Masih ada yang jujur dalam mencari kebenaran dan mereka inilah yang dijanjikan pahala yang besar. Kita dapat belajar dari situasi ini satu perkara yang sangat penting. Allah tidak pernah menilai secara pukul rata. Walaupun dalam masyarakat yang rosak, akan sentiasa ada jiwa-jiwa yang tetap lurus. Oleh itu, ia memberi harapan bahawa kebenaran tidak pernah hilang sepenuhnya, walaupun ia mungkin kelihatan kecil.
Akhirnya, ayat-ayat ini membawa kita kembali kepada diri sendiri. Ia tidak sekadar menceritakan tentang mereka. Ia mengajak kita melihat ke dalam hati kita. Adakah hati kita masih lembut apabila mendengar kebenaran? Atau kita mula mencari alasan untuk menolaknya? Adakah kita benar-benar mencari ilmu atau kita hanya mencari apa yang menyokong apa yang kita sudah percaya? Adakah kita sedar bahawa setiap pilihan kecil yang kita buat hari ini sedang membentuk keadaan hati kita esok? Pada akhirnya, masalah terbesar bukanlah tidak tahu. Masalah terbesar adalah apabila hati tidak lagi mahu tunduk dan mungkin inilah muhasabah yang paling jujur, jika kebenaran datang kepada kita hari ini, dalam bentuk yang tidak kita suka, dalam bentuk yang mencabar ego kita, adakah kita akan menerimanya? Atau kita akan menolaknya, perlahan-lahan sehingga suatu hari nanti, kita sendiri tidak lagi mampu membezakan antara yang benar dan yang salah?

No comments:
Post a Comment