Friday, May 22, 2026

Mengapa Allah Dahulukan Menjaga Pandangan Sebelum Menjaga Kemaluan?



Mari kita bersama merujuk dan membaca Surah An-Nur. Allah telah memberikan satu susunan yang sangat menarik ketika memerintahkan orang beriman menjaga kehormatan diri. Allah tidak terus menyebut tentang menjaga kemaluan, tetapi terlebih dahulu memerintahkan lelaki dan wanita beriman supaya menundukkan pandangan. Susunan ini bukan kebetulan. Ia adalah satu bentuk tarbiah yang sangat halus tentang bagaimana dosa sebenarnya bermula.

Manusia sering melihat dosa hanya pada penghujungnya iaitu zina, kecurangan, ketagihan maksiat, keruntuhan rumah tangga atau hati yang semakin jauh daripada Allah. Tetapi Islam melihat lebih dalam daripada itu. Islam tidak hanya menjaga manusia daripada terjatuh, tetapi menjaga manusia daripada mendekati jurang yang boleh menjatuhkannya. Sebab itu Allah mendahulukan pandangan kerana hampir semua dosa besar bermula dengan sesuatu yang kelihatan kecil. Ia bermula dengan mata yang dibiarkan bebas melihat apa sahaja tanpa kawalan.

Mata bukan sekadar alat melihat. Apa yang dilihat akan masuk ke fikiran, turun ke hati, membangkitkan keinginan, lalu menggerakkan tindakan. Sebab itu para ulama sering menyebut bahawa pandangan ialah anak panah pertama syaitan. Ia mungkin nampak ringan, tetapi kesannya boleh sangat dalam. Hari ini, dalam kehidupan kita, hakikat ini menjadi semakin jelas. Jika dahulu manusia perlu keluar mencari fitnah mata, hari ini fitnah itu datang sendiri melalui skrin yang berada di tangan kita hampir sepanjang masa. Media sosial dibina untuk menarik perhatian mata. Semakin lama seseorang melihat, semakin banyak emosi dan keinginan yang dibangkitkan.

Kita hidup dalam budaya yang menormalisasikan segala-galanya. Melihat aurat dianggap biasa. Video yang membangkitkan syahwat dianggap hiburan. Hubungan yang melampaui batas dipersembahkan sebagai romantik. Bahkan ramai yang berkata, “Tengok sahaja, bukan buat apa-apa.”

Namun Islam memahami hati manusia lebih daripada manusia memahami dirinya sendiri. Apa yang dilihat berulang kali akan menjadi biasa. Apa yang biasa akan mula diterima dan apa yang diterima akan semakin sukar dirasakan sebagai dosa. Sebab itu Rasulullah SAW memberi peringatan yang sangat mendalam kepada Saidina Ali, “Pandangan pertama untukmu dan pandangan kedua bukan untukmu.”

Pandangan pertama mungkin berlaku tanpa sengaja. Tetapi pandangan kedua adalah pilihan. Maka, di situlah bermulanya ruang yang dibuka kepada syaitan. Syaitan jarang menjerumuskan manusia ke dalam dosa besar secara tiba-tiba. Ia berlaku sedikit demi sedikit. Ia bermula dengan melihat, kemudian menikmati, kemudian memikirkan, kemudian mencari lagi. Akhirnya hati menjadi letih dan semakin lemah untuk menolak. Apa yang lebih membimbangkan, kesan pandangan bukan hanya kepada syahwat. Mata juga boleh merosakkan hati melalui perbandingan hidup, iri hati dan rasa tidak cukup. Ramai manusia hari ini hidup dalam keresahan bukan kerana mereka kekurangan, tetapi kerana terlalu banyak melihat kehidupan orang lain.

Seseorang wanita khususnya, mata bukan sekadar membawa rasa tertarik, tetapi juga membawa tekanan emosi. Melihat wajah-wajah yang sempurna, kehidupan yang nampak bahagia, tubuh badan yang memenuhi standard media sosial, semuanya perlahan-lahan boleh merosakkan rasa syukur terhadap diri sendiri. Tanpa sedar, hati menjadi penat. Sebab itu menjaga pandangan dalam dunia hari ini bukan sekadar menundukkan mata ketika berjalan di luar rumah. Menjaga pandangan juga bermaksud menjaga apa yang kita tonton, apa yang kita ulang lihat, siapa yang kita stalk, dan apa yang kita biarkan memenuhi ruang fikiran kita setiap hari. Ada pandangan yang tidak meninggalkan kesan pada mata, tetapi meninggalkan luka panjang pada hati.

Islam memahami bahawa hati manusia sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihat secara berterusan. Sebab itu Allah tidak terus bercakap tentang menjaga kemaluan. Allah bermula dengan menjaga pintu masuknya terlebih dahulu. Jika mata dijaga, hati lebih mudah dijaga. Jika hati dijaga, maruah lebih mudah dipelihara. Hakikatnya, banyak kerosakan jiwa hari ini bukan bermula daripada perbuatan besar, tetapi daripada perkara kecil yang dibiarkan terlalu lama. Pandangan yang tidak dikawal akhirnya membentuk fikiran. Fikiran membentuk keinginan dan keinginan akhirnya membentuk tindakan.

Ketika berada dalam dunia yang terlalu bebas melihat segala-galanya, menjaga pandangan menjadi satu bentuk jihad yang sangat besar. Ia bukan mudah, tetapi ia adalah usaha untuk menyelamatkan hati daripada menjadi terlalu kotor untuk menikmati kemanisan iman. Mungkin sebab itu orang-orang soleh sangat menjaga apa yang mereka lihat. Mereka faham bahawa mata bukan sekadar jendela dunia, tetapi juga pintu kepada hati dan hati yang dipenuhi terlalu banyak perkara selain Allah, perlahan-lahan akan kehilangan ketenangannya. Akhirnya, persoalannya bukan lagi apa yang kita lihat dengan mata, tetapi apa yang sedang kita benarkan masuk ke dalam hati setiap hari.

No comments: