Apabila bercakap tentang menjaga pandangan, ramai manusia terus membayangkan satu perkara sahaja iaitu lelaki melihat wanita atau wanita melihat lelaki. Seolah-olah menjaga pandangan hanya berkaitan dengan syahwat dan aurat semata-mata. Sedangkan apabila al-Quran memerintahkan orang beriman supaya menundukkan pandangan, maknanya jauh lebih luas dan lebih dalam daripada itu. Allah tidak menyuruh manusia menutup mata daripada dunia. Allah mengajar manusia supaya mengawal apa yang dibenarkan masuk ke dalam hati melalui mata.
Ini kerana mata bukan sekadar alat melihat. Mata adalah pintu yang sangat besar kepada jiwa manusia. Apa yang sering dilihat akan mula memenuhi fikiran. Apa yang memenuhi fikiran akan turun ke hati dan apa yang menetap di hati akhirnya akan membentuk tindakan, emosi dan cara hidup seseorang. Sebab itu para ulama sejak dahulu sangat menekankan penjagaan pandangan. Mereka memahami bahawa banyak kerosakan besar tidak bermula dengan tindakan, tetapi bermula dengan pandangan yang dibiarkan terlalu lama.
Menariknya, al-Quran menggunakan ungkapan menundukkan sebahagian pandangan. Ulama menjelaskan bahawa ini menunjukkan tidak semua pandangan perlu ditutup. Islam bukan agama yang memusuhi kehidupan atau keindahan dunia. Mata diciptakan untuk melihat, belajar, bekerja, menikmati keindahan ciptaan Allah dan menjalani kehidupan. Tetapi ada pandangan yang merosakkan hati. Itulah yang diperintahkan untuk dijaga dan yang paling jelas ialah melihat perkara yang diharamkan seperti aurat, perkara lucah atau sesuatu yang membangkitkan syahwat.
Islam memahami bahawa hati manusia sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihat secara berulang. Sebab itu Rasulullah SAW mengingatkan bahawa pandangan pertama mungkin tidak disengajakan, tetapi pandangan kedua adalah pilihan. Hari ini, peringatan ini menjadi jauh lebih relevan berbanding zaman dahulu. Jika dahulu manusia perlu keluar mencari fitnah mata, hari ini fitnah itu datang sendiri ke dalam telefon yang berada di tangan kita hampir sepanjang masa. Media sosial dibina untuk mengekalkan perhatian mata manusia selama mungkin. Algoritma mempelajari apa yang kita suka lihat, lalu menyuapkannya tanpa henti. Tanpa sedar, manusia bukan sahaja menjadi ketagih kepada hiburan, tetapi juga ketagih kepada pandangan dan kerosakan mata hari ini bukan hanya tentang syahwat. Ada pandangan yang tidak membangkitkan nafsu, tetapi tetap merosakkan hati dengan perlahan. Melihat kehidupan orang lain tanpa kawalan, terlalu banyak membandingkan rupa, tubuh badan, gaya hidup, hubungan dan kejayaan manusia lain. Semuanya ini boleh mencipta luka yang sangat dalam dalam jiwa.
Ramai manusia hari ini hidup dalam keletihan emosi bukan kerana mereka tidak memiliki apa-apa, tetapi kerana mereka terlalu banyak melihat apa yang dimiliki orang lain. Bagi wanita khususnya, tekanan visual dalam dunia moden sangat berat. Media sosial sentiasa mempamerkan standard kecantikan yang hampir mustahil dicapai. Kehidupan orang lain kelihatan sentiasa bahagia. Rumah tangga orang lain nampak sempurna. Tubuh badan orang lain nampak ideal. Akhirnya ramai wanita hidup dalam rasa tidak cukup, tidak cukup cantik, tidak cukup berjaya, tidak cukup dicintai. Semua itu bermula daripada apa yang masuk melalui mata.
Sebab itu menjaga pandangan hari ini bukan sekadar menundukkan mata ketika berjalan di tempat awam. Menjaga pandangan juga bermaksud menjaga apa yang kita scroll setiap hari. Menjaga siapa yang kita stalk. Menjaga video apa yang kita ulang tonton sebelum tidur. Menjaga apa yang memenuhi algoritma hidup kita kerana apa yang sering memenuhi mata akan perlahan-lahan memenuhi hati. Ada manusia yang sangat menjaga pakaian dan imej luarannya, tetapi membiarkan matanya bebas menikmati apa sahaja. Sedangkan hati jarang rosak secara tiba-tiba. Ia rosak sedikit demi sedikit melalui perkara yang dianggap kecil dan biasa. Mungkin sebab itu Islam mendahulukan perintah menjaga pandangan sebelum menjaga kemaluan kerana Allah tahu, jika mata dijaga, hati lebih mudah dijaga dan apabila hati dijaga, maruah dan kehidupan manusia juga lebih mudah dipelihara. Hakikatnya, mata tidak hanya melihat dunia. Mata sedang membentuk jiwa manusia setiap hari.
Ketika kita berada dalam dunia yang terlalu bebas dan terlalu bising ini, menjaga pandangan menjadi satu bentuk jihad yang sangat besar. Ia memerlukan kesedaran, kawalan dan keberanian untuk berkata cukup kepada perkara yang mungkin kelihatan kecil tetapi perlahan-lahan merosakkan hati. Ini kerana akhirnya, persoalannya bukan lagi apa yang kita lihat dengan mata, tetapi apa yang kita sedang benarkan hidup di dalam hati kita setiap hari.

No comments:
Post a Comment