Wednesday, May 20, 2026

10 Hari Yang Allah Cintai



Hari ini hari ketiga dari 10 hari yang Allah cintai. Kita semua sedar, ada masa tertentu dalam hidup yang terasa biasa pada mata manusia, tetapi sebenarnya luar biasa di sisi Allah. Sebahagian manusia menyedari kedatangan Ramadan dengan penuh keterujaan. Masjid mula dipenuhi. Al-Quran mula dibaca. Media sosial mula dipenuhi peringatan dan motivasi ibadah. Ramadan mempunyai suasana yang kuat dalam jiwa umat Islam.

Tetapi Zulhijjah sering datang dalam keadaan yang jauh lebih sunyi. Padahal Nabi SAW menyebut bahawa tiada hari yang amal soleh padanya lebih dicintai Allah melainkan 10 hari pertama Zulhijjah. Bukan sekadar lebih baik tetapi lebih dicintai Allah. Betapa dalam bahasa itu. Kadang-kadang kita merasakan amal kita terlalu kecil. Solat kita masih penuh kekurangan. Zikir kita masih sedikit. Taubat kita masih turun naik. Tetapi Allah membuka musim tertentu yang menjadikan amal kecil manusia bertukar menjadi sangat besar kerana kemuliaan waktunya.

Seolah-olah Allah sedang membuka pintu yang luas, “Datanglah dekat kepada-Ku.” Menariknya, Al-Quran tidak menyebut Zulhijjah secara terang seperti Ramadan. Tetapi Allah memberi isyarat yang sangat besar. Allah berfirman, “Demi waktu fajar dan demi malam yang sepuluh.” (Surah al-Fajr: 1–2)

Majoriti ulama tafsir menjelaskan bahawa malam yang sepuluh itu ialah 10 awal Zulhijjah. Mengapa Allah bersumpah dengan masa? Ini kerana manusia sering lalai terhadap sesuatu yang sangat bernilai. Kita sibuk mengejar dunia, sedangkan Allah sedang menawarkan musim yang dipenuhi cinta-Nya. Zulhijjah sebenarnya bukan sekadar musim korban. Ia adalah musim penghambaan. Musim untuk manusia kembali membesarkan Allah.

Sebab itu dalam ayat-ayat berkaitan Zulhijjah, Allah banyak mengulang tentang zikir dan takbir. “Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang telah ditentukan.” (Surah al-Hajj: 28)

Ramadan mendidik manusia menahan diri tetapi Zulhijjah mendidik manusia menyerahkan diri. Apabila tibanya Ramadan, kita belajar lapar kerana Allah. Manakala dalam Zulhijjah, kita belajar melepaskan apa yang kita cinta kerana Allah kerana ruh sebenar Zulhijjah ialah Nabi Ibrahim AS. Seluruh musim ini sebenarnya dibina di atas kisah pengorbanan seorang hamba yang terlalu mencintai Allah.

Baginda meninggalkan kampung halaman. Baginda meninggalkan keluarganya di lembah tandus. Baginda membina Kaabah dan akhirnya baginda diuji dengan sesuatu yang paling dicintainya iaitu anaknya sendiri. Maka di situlah letaknya hakikat pengorbanan. Allah tidak menguji Ibrahim dengan sesuatu yang baginda tidak cinta. Allah menguji baginda dengan sesuatu yang sangat baginda sayang.

Bukankah itu juga kehidupan kita? Kadang-kadang Allah tidak meminta sesuatu yang besar daripada kita. Tetapi Allah meminta sesuatu yang terlalu melekat dalam hati kita seperti ego, kemalasan, cinta dunia, dosa yang dipertahankan atau sesuatu yang lebih kita cintai daripada Allah. Sebab itu soalan paling penting dalam Zulhijjah mungkin bukan “Apa haiwan yang ingin dikorbankan?” Tetapi “Apa Ismail dalam hidup aku?” Oleh kerana hakikat korban bukan pada darah yang mengalir. Allah sendiri menegaskan, “Daging dan darah itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah taqwa daripada kamu.” (Surah al-Hajj: 37)

Betapa ramai manusia melakukan ibadah, tetapi hati mereka tidak berubah dan betapa ramai pula yang amalnya kecil, tetapi hatinya benar-benar tunduk kepada Allah. Zulhijjah datang mengajar satu kalimah besar, “Allahu Akbar.” Bukan sekadar lafaz pada lidah. Tetapi satu pengisytiharan bahawa Allah lebih besar daripada hawa nafsu, ketakutan, cinta dunia dan segala sesuatu yang menguasai hati manusia.

Hari ini dunia terlalu sibuk membesarkan manusia. Kita membesarkan nama, kuasa, wang dan pengaruh. Tetapi Zulhijjah datang untuk mengembalikan manusia kepada pusat sebenar kehidupan iaitu Allah. Mungkin sebab itu musim ini dipenuhi takbir. Takbir di masjid. Takbir di rumah. Takbir di jalan. Takbir selepas solat. Seolah-olah langit sedang mengajar bumi, “Besarkan Allah semula.” Mungkin juga itulah tadabbur terbesar Zulhijjah. Bahawa kehidupan yang tenang bukanlah kehidupan yang memiliki semuanya. Tetapi kehidupan yang menjadikan Allah lebih besar daripada segala-galanya.

No comments: