Saturday, April 25, 2026

Keadilan, Adab dan Ta’awun: Kupasan Surah Al-Ma’idah Ayat 2



Sepanjang perjalanan ini, kita telah bercakap tentang masa, tentang bulan-bulan yang Allah muliakan, tentang bagaimana manusia sepatutnya berhenti, bersedia dan berubah, tentang bagaimana Rejab membuka kesedaran, Syaaban membina konsistensi dan Ramadhan menjadi medan transformasi. Namun semua itu membawa kepada satu persoalan yang lebih besar. Jika individu sudah berubah, apakah yang berlaku kepada masyarakat? Adakah perubahan itu berhenti pada diri? Atau ia sepatutnya melahirkan sesuatu yang lebih luas? Maka di sinilah datangnya satu ayat yang sangat mendalam iaitu Surah Al-Ma’idah ayat 2. Ayat ini bukan sekadar menyebut hukum. Ia seolah-olah menyusun semula cara manusia hidup bersama.

Ayat ini bermula dengan satu arahan yang halus tetapi tegas iaitu jangan melanggar syiar-syiar Allah. Ini bukan sekadar larangan. Ini adalah pembinaan rasa. Rasa hormat terhadap apa yang Allah muliakan. Rasa berat apabila berhadapan dengan perkara agama. Rasa sedar bahawa ada perkara dalam hidup yang tidak boleh dipandang ringan. Masalah kita hari ini bukan kerana kita tidak tahu agama tetapi kerana kita tidak lagi merasakan beratnya agama. Solat dilakukan tetapi tanpa rasa. Halal dan haram diketahui tetapi mudah dirunding. Ibadah diamalkan tetapi tidak lagi dihormati. Apabila rasa ini hilang, agama tidak lagi menjadi sesuatu yang hidup dalam masyarakat. Ia hanya tinggal sebagai pengetahuan bukan sebagai panduan.

Ayat ini kemudian menyentuh tentang bulan haram, ibadah haji dan orang-orang yang menuju ke Baitullah. Semua ini mengajar satu perkara yang sangat penting tentang sensitiviti ruhani. Seorang mukmin bukan sekadar tahu apa yang betul dan salah tetapi dia tahu bila perlu lebih berhati-hati. Dia tahu bila perlu lebih beradab. Dia tahu bila perlu menahan diri walaupun dia mampu melakukan sesuatu. Namun dalam realiti hari ini, sensitiviti ini semakin pudar. Kita mudah mengkritik orang yang sedang berubah. Kita sinis terhadap mereka yang baru ingin mendekati agama. Kita melihat ibadah orang lain tanpa rasa hormat. Kita mungkin tidak melakukan dosa yang besar tetapi kita merosakkan perjalanan iman orang lain dan itu adalah sesuatu yang lebih halus, tetapi lebih dalam kesannya.

Amat berbahaya apabila emosi mengalahkan prinsip oleh itu datang satu peringatan yang sangat kuat dalam ayat ini. Jangan biarkan kebencian terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Ini adalah realiti yang sangat dekat dengan kehidupan kita. Kita ada konflik, perbezaan, luka dan tanpa sedar, semua itu membentuk cara kita melihat manusia. Kita menjadi adil kepada orang yang kita suka dan keras kepada orang yang kita tidak suka. Kita membenarkan diri kita melampaui batas kerana kita merasakan kita berhak. Namun, ayat ini datang memutuskan semua itu. Ia mengingatkan bahawa dalam Islam, keadilan bukan bergantung kepada emosi, ia berdiri di atas prinsip. Bahkan terhadap orang yang kita benci sekalipun, kita tetap tidak dibenarkan untuk berlaku zalim. Ini adalah standard yang tinggi dan mungkin kerana itulah ia jarang benar-benar dihidupkan.

Siapa pula yang kita pilih untuk bergandingan? Ayat ini diakhiri dengan satu prinsip yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat, tolong-menolonglah dalam kebaikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan. Pada zahirnya, ia kelihatan mudah tetapi dalam realiti, inilah antara ujian paling besar kerana hidup ini penuh dengan kerjasama sam ada dalam kerja, dalam organisasi, dalam gerakan, dalam masyarakat tetapi tidak semua kerjasama itu membawa kepada kebaikan. Ada kerjasama yang nampak hebat di luar tetapi menguatkan perkara yang salah di dalam. Ada juga kerjasama kecil tetapi membina sesuatu yang benar dan berkat. Ayat ini mengajar kita satu prinsip yang sangat penting, bukan siapa yang kita bekerjasama, tetapi apa yang kita kuatkan melalui kerjasama itu.

Jika kita melihat keseluruhan ayat ini dengan lebih mendalam, ia sebenarnya membina satu rangka yang sangat lengkap iaitu individu yang menghormati agama adalah individu yang mempunyai sensitiviti ruhani, mampu mengawal emosi dan memilih untuk menyokong kebaikan. Apabila individu seperti ini berkumpul, lahirlah masyarakat yang berprinsip. Masyarakat yang tidak mudah goyah dengan emosi, tidak mengorbankan nilai demi kepentingan. Masyarakat yang tahu apa yang perlu dipertahankan dan inilah sebenarnya tujuan tarbiah sepanjang perjalanan tadi. Bukan sekadar untuk membina individu yang baik tetapi untuk membina umat yang kuat.

Perbincangan kita dalam beberapa siri tulisan ini, maka timbullah persoalan yang paling jujur, adakah perubahan kita hanya berhenti pada diri atau sudah mula memberi kesan kepada orang lain? Adakah kita menjaga syiar Allah atau kita sendiri yang merendahkannya? Adakah kita berlaku adil atau kita masih dikawal oleh emosi? Paling penting, dalam hidup ini, kita sedang membantu kebaikan atau tanpa sedar, kita sedang menguatkan sesuatu yang salah?

Perjalanan ini bermula dengan masa, dengan bulan-bulan yang Allah muliakan, dengan peluang untuk berhenti, bersedia dan berubah lalu akhirnya, ia membawa kita ke satu hakikat, Islam bukan hanya tentang bagaimana kita hidup sebagai individu tetapi bagaimana kita membina dunia di sekeliling kita kerana pada akhirnya, iman yang sebenar bukan hanya dirasai dalam hati tetapi terlihat dalam cara kita memperlakukan manusia.

No comments: