Saturday, April 4, 2026

Qazaf: Dosa Lisan yang Menghancurkan Maruah



Saya ingin mengingatkan diri saya tentang bahayanya bila lisan menjadi senjata dalam kehidupan kita. Mungkin kita sangat berhati-hati daripada melakukan dosa besar seperti zina. Namun, dalam masa yang sama, tanpa sedar kita mungkin terjatuh dalam dosa yang lebih halus tetapi sangat merosakkan iaitu menuduh orang lain melakukan zina tanpa bukti atau qazaf. Allah SWT memberi amaran keras dalam Surah An-Nur yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan yang terpelihara kehormatannya… akan dilaknat di dunia dan di akhirat…”

Ayat ini bukan sekadar hukum. Ia adalah perisytiharan bahawa maruah seorang wanita dijaga oleh allah sendiri. Tajuk ini saya bincangkan dalam kelas muslimah saya di masjid nurul hasanah bukit belimbing melalui buku al-busyra; khabar gembir buat umat. 

Apa itu qazaf? Qazaf ialah tuduhan zina terhadap seseorang yang baik (muhsan) tanpa membawa empat saksi. Namun, yang sering kita terlepas pandang adalah qazaf bukan hanya tuduhan terang-terangan. Ia boleh juga berlaku melalui kiasan, sindiran dan “hint” yang difahami orang lain. Hari ini, ia muncul dalam bentuk status whatsapp, caption media sosial dan kebanyakannya adalah bermula dari cerita “dengar-dengar”. Kita berselindung disebalik kata-kata. Kita tidak sebut, tetapi orang faham.

Terdapat beberapa rukun penting dalam jenayah qazaf ini. Antara perkara yang sangat menarik dalam perbahasan ini ialah niat turut memainkan peranan besar dalam menentukan qazaf. Dua ayat yang sama boleh membawa hukum berbeza iaitu jika niat untuk menghina maka ia adalah qazaf namun jika niat profesional sebagai contohnya seorang doktor yang memberikan diagnosnya, maka itu bukan qazaf. Ini menunjukkan bahawa dalam islam, bukan hanya apa yang kita cakap, tetapi amat penting juga kenapa kita cakap, ia juga dihisab.

Beberapa syarat turut diperbincangkan mengenai si penuduh dan tidaklah semua dipersalahkan kepada si penuduh. Islam sangat adil dalam menetapkan hukum. Tidak semua tuduhan terus dihukum sebagai qazaf. Antara syarat penuduh adalah berakal, baligh, tidak dipaksa dan mengetahui pengharaman qazaf. Ini memberi kita satu mesej penting lagi bahawa sesungguhnya Islam tidak tergesa-gesa menghukum tetapi sangat tegas menjaga keadilan.

Siapa pula yang dilindungi? Bukan semua tuduhan dikira qazaf. Ia khusus kepada mereka yang muslim, berakal dan baligh, terpelihara maruah (al-‘iffah) serta tidak dikenali dengan kejahatan dan di sinilah kita melihat keindahan syariat bahawa semakin bersih seseorang, semakin kuat perlindungan allah terhadapnya.

Tuduhan tuduhan kiasan juga tidak kurang bahaya bahkan dalam masyarakat kita, ini yang paling banyak berlaku. Contohnya, “dia tu bukan perempuan baik sangat…” atau “kita tahulah dia macam mana…”. Para ulama berbeza pandangan, tetapi dalam mazhab Syafi’i jika niatnya adalah tuduhan akan tetap dikira qazaf. Ini sangat dekat dengan realiti kita hari ini. Kadang kita rasa, “saya tak sebut pun…” tetapi hakikatnya kitalah yang memberi orang lain ruang untuk berfikir buruk.

Kita dapat fahami bersama bahawa prinsip besarnya adalah islam mengelakkan kezaliman. Satu kaedah penting dalam hukum hudud adalah, “hudud ditolak dengan adanya syubhah (keraguan)”. Maknanya asalkan ada sahaja keraguan yang ditimbulkan, islam tidak akan terus menghukum. Ia adalah atas dasar prinsip lebih baik terselamat orang yang bersalah daripada menghukum orang yang tidak bersalah. Qazaf adalah gejala membunuh tanpa darah. Zina merosakkan diri tetapi qazaf merosakkan orang lain. Satu tuduhan sahaja boleh menghancurkan reputasi, memusnahkan keluarga dan akhirnya membekas seumur hidup. Tambah berat lagi apabila ia melibatkan hak manusia (haq al-‘ibad). Maknanya, tidak cukup sekadar taubat kepada allah tetapi perlu juga minta maaf kepada manusia.

Jom saya ajak untuk kita bermuhasabah. Persoalannya lisan kita di mana? Cuba kita tanya diri, pernah tak kita menyebarkan cerita tanpa pasti? Pernah tak kita “hint” sesuatu tentang orang? Pernah tak kita rasa seronok berkongsi aib? Jika ya, mungkin kita sedang berjalan di tepi jurang qazaf.

Seruan saya, jadilah penjaga maruah dan dalam dunia hari ini, semua orang boleh bercakap. Tetapi tidak semua orang memilih untuk menjaga. Maka jadilah kita penjaga maruah, bukan penyambung cerita, juga penyelamat nama baik, bukan penyebar fitnah kerana di sisi allah, setiap perkataan bukan sekadar bunyi tetapi bukti.

No comments: