Friday, March 27, 2026

Nilai Nyawa, Bahaya Menghukum Tanpa Ilmu dan Fitnah di Era Media Sosial


Ada satu perkara yang sering kita lupa dalam kehidupan moden. Kita mungkin tidak membunuh dengan tangan, tetapi kita boleh “membunuh” dengan kata-kata. Ayat 92 hingga 94 Surah An-Nisa’ membawa kita kepada satu asas yang sangat penting dalam Islam iaitu kesucian nyawa, keadilan dalam hukum dan disiplin dalam menilai manusia. Ini bukan sekadar hukum jenayah bahkan ini adalah pendidikan hati.

Nyawa bukanlah satu perkara kecil atau ringan yang tidak perlu kita ambil perhatian. Ayat 92 menyatakan bahawa seorang mukmin tidak sepatutnya membunuh mukmin yang lain, kecuali tersalah. Walaupun kesalahan itu tidak disengajakan, Islam tetap menetapkan tanggungjawab kepada si pelaku untuk membebaskan seorang hamba, membayar diyat kepada keluarga kecuali jika si pelaku tadi dimaafkan. Ini dijelaskan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir yang menunjukkan bahawa Islam sangat serius dalam menjaga nyawa manusia. Kesalahan tanpa niat pun ada tanggungjawab apatah lagi kesalahan yang disengajakan.

Sekiranya berlaku nyawa diragut dengan sengaja maka ayat 93 datang dengan amaran yang sangat keras. Si pelaku akan ke neraka, mendapat kemurkaan Allah, dilaknat serta dijanjikan azab yang besar. Ini menunjukkan bahawa pembunuhan bukan sekadar kesalahan sosial. Ia adalah jenayah terhadap kemanusiaan dan terhadap Tuhan dan dalam Al-Quran, jarang kita melihat hukuman yang disebut dengan begitu tegas. Secara langsung ini menjelaskan semakin besar kesan sesuatu dosa kepada manusia, semakin besar akibatnya di sisi Allah.

Asbabun nuzul ayat 94 mempunyai latar belakang yang sangat menyentuh. Jangan hukum hati manusia lain seperti yang dijelaskan dalam riwayat tafsir oleh ibn kathir dan al-tabari, disebut bahawa seorang sahabat telah membunuh seseorang yang telah mengucapkan syahadah dalam peperangan. Dia menyangka orang itu hanya berpura-pura untuk menyelamatkan diri. Namun Rasulullah SAW menegurnya dengan tegas, adakah kamu membelah hatinya? Soalan ini sangat dalam yang jelas memisahkan antara apa yang zahir dan apa yang tersembunyi malahan manusia tidak diberi hak untuk menilai yang tersembunyi.

Bahaya jika kita menghukum tanpa ilmu dan inilah diajar dalam ayat 94. Teliti dahulu sebelum membuat keputusan, jangan cepat menuduh, jangan menolak seseorang hanya kerana sangkaan dan satu peringatan penting, “kamu dahulu juga seperti mereka, lalu Allah memberi nikmat kepada kamu…”

Maksud ayat itu Allah tegaskan, jangan merasa diri lebih baik, jangan lupa kita juga pernah berada di tempat orang lain.

Era media sosial, “membunuh” mungkin tidaklah sehingga seseorang itu kehilangan nyawa. Hari ini, kita mungkin tidak terlibat dalam peperangan tetapi kita hidup dalam satu medan lain di mana, di sinilah berlaku perkara-perkara seperti pembunuhan karakter, fitnah, tuduhan tanpa bukti dan “trial by public opinion”. Hanya dengan satu komen boleh menjatuhkan seseorang. Hanya dengan satu perkongsian boleh merosakkan kehidupan. Ayat ini bukan hanya tentang pedang atau senjata lain tetapi ia juga tentang lidah dan jari kita.

Hari ini, kita hidup dalam budaya yang cepat menilai, cepat menghukum dan lambat memahami. Ramai orang lebih suka menjadi “hakim” daripada menjadi “pencari kebenaran”. Namun, Al-Quran mengajar kita sebaliknya iaitu berhenti, teliti, fahami kemudian barulah  membuat keputusan.

Kedatangan syawal tahun ini diharapkan kita kembali kepada hati yang bersih kerana dalam suasana syawal, kita sering bercakap tentang maaf, silaturahim bahkan tentang pembersihan hati. Tetapi ayat ini mengajak kita bertanya adakah kita benar-benar menjaga hati orang lain? Adakah kita berhati-hati dengan kata-kata kita? Persoalan ini timbul adalah kerana hati yang bersih bukan hanya memaafkan tetapi aa juga tidak mudah menghukum.

Oleh itu, marilah kita berusaha mengambil langkah-langkah perubahan yang praktikal dalam kehidupan kita sebagai muhasabah diri selepas ramadan. Berhentilah sebelum menghukum. Tanya duluu diri adakah aku tahu keseluruhan cerita? Selepas itu, mari kita kurangkan sangkaan sebab tidak semua yang kita nampak adalah realiti sebenar. Kemudian, jagalah lisan dan media sosial kita supaya jangan menjadi penyebab orang lain terluka. Akhir sekali, latihlah empati dalam diri kita. Cubalah kita letakkan diri kita di tempat orang lain.

Ayat 92 hingga 94 Surah An-Nisa’ mengajar satu perkara yang sangat mendalam. Islam bukan hanya melarang pembunuhan fizikal. Ia juga melatih kita untuk tidak “membunuh” manusia dengan penilaian yang zalim dan mungkin inilah muhasabah paling penting, berapa ramai yang pernah kita hukum tanpa kita benar-benar tahu? Berapa banyak kata-kata kita yang mungkin telah melukakan orang lain? Ini muhasabah yang penting kerana akhirnya, iman bukan hanya tentang apa yang kita lakukan, bahkan tentang bagaimana kita melihat manusia lain.

No comments: