Ada saat dalam Surah An-Nisa’ di mana suasananya berubah. Selepas Allah memperincikan hukum pusaka dengan begitu tegas, ayat 15 hingga 19 membawa kita masuk ke ruang yang lebih halus iaitu ruang maruah, dosa dan taubat. Seolah-olah selepas Allah membina sistem keadilan harta, Allah mahu memastikan jiwa manusia juga dibina.
Dosa bukan untuk dinormalisasi. Ayat 15 dan 16 menyebut tentang perbuatan keji (fahisyah) dan bagaimana masyarakat perlu bertindak terhadapnya. Para mufassir seperti Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini turun sebelum perincian hukuman zina dalam Surah An-Nur. Ia adalah fasa awal dalam pembinaan disiplin moral umat.
Saya belajar sesuatu di sini. Islam tidak pernah memandang ringan dosa yang merosakkan kehormatan dan nasab. Tetapi Islam juga tidak membiarkan manusia dihukum tanpa ruang kembali. Ada tindakan disiplin. Ada proses sosial. Tetapi ada juga pintu taubat. Allah tidak membina masyarakat dengan budaya “biar sahaja” dan Allah juga tidak membinanya dengan budaya “hukum tanpa harapan”.
Taubat ada waktunya. Ayat 17 dan 18 sangat menyentuh jiwa. Allah menerima taubat orang yang melakukan kejahatan kerana kelemahan diri lalu segera kembali kepada-Nya. Tetapi taubat yang ditangguhkan sehingga saat kematian tidak diterima. Saya merenung lama pada ayat ini. Berapa ramai yang berkata, “Nanti aku berubah.” Berapa ramai yang menangguhkan taubat kerana merasa masih ada masa. Hakikatnya, masa itu tidak pernah dijanjikan.
Al-Qur'an menjelaskan, konsep taubat sentiasa dikaitkan dengan segera, sebelum pintu ditutup, sebelum nyawa sampai ke kerongkong. Ayat ini mendidik saya supaya tidak bermain dengan dosa kerana dosa yang dibiarkan lama akan mengeras dalam jiwa dan taubat yang ditangguhkan boleh menjadi taubat yang terlewat.
Wanita bukan warisan dijelaskan dalam ayat 19. Ia datang dengan satu pembetulan sosial yang sangat besar, “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi wanita secara paksa…” Menurut riwayat yang dibawa oleh Ibn Kathir, pada zaman Jahiliah, wanita yang kematian suami boleh dianggap sebagai “warisan”. Mereka boleh dipaksa berkahwin dengan keluarga si mati atau dihalang berkahwin supaya harta tidak keluar dari kabilah.
Ayat ini memutuskan tradisi itu. Wanita bukan harta. Wanita bukan objek transaksi. Wanita bukan alat mempertahankan kepentingan keluarga. Kemudian Allah menyebut, “Dan bergaullah dengan mereka secara makruf.” Imam Al-Qurtubi menghuraikan bahawa makruf merangkumi akhlak yang baik, tutur kata yang lembut, nafkah yang adil dan kesabaran dalam kehidupan rumah tangga dan ayat itu diakhiri dengan kalimat yang sangat dalam, “Jika kamu tidak menyukai mereka, boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.”
Saya dapat rasakan pada ayat ini, Allah sedang mendidik hati. Perkahwinan bukan sekadar rasa suka atau tidak suka. Ia tentang kesabaran dan keyakinan bahawa Allah boleh meletakkan kebaikan di tempat yang kita tidak jangka.
Keseimbangan yang indah. Apabila saya melihat keseluruhan ayat 15 hingga 19, saya dapati satu keseimbangan yang sangat halus bermula dari dosa ditegur dengan tegas, taubat dibuka dengan luas, maruah wanita dipulihkan dan rumah tangga dibina atas makruf, bukan emosi semata-mata. Surah An-Nisa’ benar-benar membina masyarakat dari dalam. Bukan sekadar sistem undang-undang. Tetapi sistem jiwa.
Saya belajar bahawa masyarakat tidak akan stabil jika dosa dinormalisasi dan masyarakat juga tidak akan sihat jika pintu taubat ditutup. Allah mendidik kita supaya tegas pada prinsip, tetapi lembut pada manusia yang ingin Kembali dan dalam hubungan suami isteri pula, Allah mengajar supaya kita tidak membuat keputusan berdasarkan rasa sesaat. Mungkin pada sesuatu yang kita tidak suka itu, Allah sembunyikan kebaikan yang besar. Akhirnya saya bertanya kepada diri sendiri, adakah saya jenis yang cepat menghukum dan lambat memaafkan?
Atau saya jenis yang membuka ruang perubahan tetapi tetap menjaga batas? Kerana di antara dosa dan rahmat itu, sebenarnya Allah sedang membina satu masyarakat yang seimbang, masyarakat yang menjaga maruah, tetapi tidak memadam harapan.

No comments:
Post a Comment