Saturday, March 7, 2026

Memberi Ruang, Menjaga Niat, Mempertahankan Prinsip


Perbincangan kami dalam rutin tadarus dan tadabbur AYG membawa kami ke surah Al-Mujadalah. Ia bukan surah yang panjang. Tetapi di hujungnya, Allah menutup dengan satu pakej pendidikan jiwa yang sangat dalam tentang adab, niat, integriti dan kesetiaan aqidah. Ayat 11 hingga 22 ini seolah-olah menyusun semula struktur dalaman seorang mukmin sebelum dia bergerak ke medan masyarakat.

Adab itu permulaan kenaikan darjat (ayat 11).  Allah memulakan dengan arahan yang kelihatan kecil, “Berilah ruang dalam majlis. Bangunlah apabila diminta.”

Arahan ini nampak sederhana tetapi di sinilah bermulanya latihan jiwa. Memberi ruang bukan soal fizikal semata-mata. Ia latihan melapangkan hati. Orang yang susah beri ruang selalunya susah berkongsi pengaruh. Orang yang tidak mahu berganjak tempat biasanya tidak mahu berganjak ego. Kemudian Allah menyebut satu janji, “Allah mengangkat darjat orang-orang beriman dan orang-orang yang berilmu.”

Kenaikan darjat dalam Islam tidak bermula dengan mikrofon, tetapi dengan adab. Ilmu tanpa iman berbahaya. Iman tanpa ilmu pula mudah goyah. Gabungan keduanya itulah yang Allah angkat. Apabila dalam dunia organisasi dan pendidikan, kadangkala kita terlalu fokus kepada kemahiran bercakap, kepetahan berhujah, atau keupayaan memimpin. Tetapi Surah ini mengingatkan, sebelum memimpin manusia, belajar dahulu memberi ruang kepada manusia.

Tapislah niat sebelum mendekati pemimpin (ayat 12–13). Ayat berikutnya menyentuh satu peraturan yang unik iaitu bersedekah sebelum berbicara secara khusus dengan Nabi SAW (yang kemudian diringankan). Mengapa Allah meletakkan syarat seperti itu? Kerana Allah mahu mendidik niat. Tidak semua orang yang mahu bertemu pemimpin benar-benar mahu membina. Ada yang mahu perhatian. Ada yang mahu dilihat dekat. Ada yang mahu akses. Sedekah menjadi penapis. Jika sanggup berkorban sebelum berbicara, mungkin niatnya lebih tulus.

Hari ini, kita tidak lagi diwajibkan bersedekah sebelum bertemu pemimpin. Tetapi ayat ini tetap hidup. Ia bertanya kepada kita, apabila kita mendekati orang berpengaruh, adakah kerana kebenaran atau kerana kepentingan?

Bahaya apabila berpolitik dua muka (ayat 14–16). Allah kemudian mendedahkan penyakit yang lebih dalam yakni golongan yang berpihak kepada mereka yang dimurkai Allah, bersumpah palsu dan menjadikan sumpah sebagai perisai. Perisai sepatutnya melindungi kebenaran. Tetapi di sini, sumpah dijadikan perisai untuk melindungi kepentingan.

Inilah hipokrasi sosial. Bercakap lain di depan, lain di belakang. Bermain di dua kolam demi keselamatan diri. Penyakit ini bukan sekadar isu zaman Nabi SAW. Ia penyakit organisasi sepanjang zaman. Apabila integriti runtuh, kepercayaan mati. Apabila kepercayaan mati, struktur runtuh walaupun program masih berjalan. Surah ini mengingatkan, jangan jadikan agama sebagai kosmetik reputasi.

Amaran tentang harta, anak dan kelalaian (ayat 17–19). Allah menegaskan bahawa harta dan anak-anak tidak akan menyelamatkan seseorang daripada azab-Nya. Kedua-duanya bukan salah. Tetapi apabila ia menjadi pusat hidup, kita mula lupa pusat sebenar. Ayat ini menyebut satu ayat yang sangat halus, “Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah.”

Lupa bukan kerana tidak tahu. Lupa kerana terlalu sibuk. Sibuk mengurus. Sibuk membina. Sibuk memperbaiki dunia sehingga hati kosong daripada zikir. Aktivisme tanpa ruh akan menjadi keletihan. Program tanpa hubungan dengan Allah akan menjadi rutin mekanikal. Surah ini seperti menarik kita berhenti seketika dan bertanya, apakah semua kesibukan ini mendekatkan aku kepada Allah atau sekadar mengisi jadual?

Ingatlah prinsip mengatasi sentimen (ayat 20–22). Penghujung surah, Allah mengangkat isu yang paling berat berkenaan kesetiaan aqidah. Orang beriman sejati tidak akan menjadikan mereka yang memusuhi Allah dan Rasul sebagai teman setia, walaupun mereka ayah, anak atau saudara. Ini bukan ayat memutuskan silaturrahim. Ini ayat tentang garis prinsip.

Kasih sayang ada tempatnya. Tetapi aqidah ada sempadannya dan dalam dunia moden yang sangat menekan dengan norma sosial dan budaya penerimaan, ayat ini mengingatkan, jangan cair kerana mahu diterima. Jangan longgar prinsip kerana takut kehilangan sokongan. Allah menutup dengan satu pengiktirafan yang sangat indah, “Mereka itulah golongan Allah (Hizbullah). Ketahuilah, golongan Allah itulah yang berjaya.”

Berjaya bukan sekadar kerana menang di mata manusia. Berjaya kerana hati teguh bersama Allah. Maka pada saya, surah Al-Mujadalah ayat 11–22 membentuk struktur dalaman seorang mukmin berpegang kepada adab sebelum darjat, niat sebelum akses, integriti sebelum pengaruh dan prinsip sebelum sentiment. Jika kita ingin membina masyarakat yang kuat, bina dahulu jiwa yang lurus kerana kemenangan bukan bermula di medan luar. Ia bermula di dalam hati ketika kita belajar memberi ruang, menjaga niat, menolak hipokrasi dan mempertahankan prinsip walaupun sunyi bahkan mungkin di situlah makna sebenar “golongan yang berjaya”.


Catatan: Tulisan ini adalah berdasarkan kefahaman penulis dan bacaan peribadi berkenaan surah Al-Mujadalah ayat 11 hingga 22.

No comments: