Tuesday, March 17, 2026

Rahsia Tarbiah Dalam Surah Al-Waqi'ah: Memahami Psikologi Tiga Golongan Manusia Dalam Dakwah


Banyak surah di dalam Al-Quran, Allah menggambarkan kehidupan akhirat sebagai satu peringatan kepada manusia. Namun dalam Al-Waqi'ah, terdapat satu dimensi yang sering kita terlepas pandang. Surah ini bukan sekadar menceritakan tentang hari kiamat. Ia sebenarnya menggambarkan psikologi manusia dalam perjalanan iman.

Allah membahagikan manusia kepada tiga golongan. Pertama, as-sabiqun. Iaitu golongan yang mendahului. Kedua, ashab al-Yamin atau golongan kanan dan ketiga ashab al-Shimal, golongan kiri. Pembahagian ini bukan hanya realiti di akhirat. Jika diperhatikan dengan teliti, ia juga menggambarkan dinamika manusia dalam dakwah, tarbiah dan gerakan Islam sepanjang zaman. Surah ini seolah-olah memberi kita satu peta psikologi manusia dalam perjuangan.

Golongan pertama yang digelar as-sabiqun adalah jiwa yang mendahului perubahan. Golongan ini sentiasa berada di hadapan dalam kebaikan. Mereka bukan sekadar orang yang baik. Mereka adalah manusia yang tidak menunggu orang lain untuk bergerak dan dalam psikologi tarbiah, golongan ini mempunyai beberapa ciri penting. Pertama, mereka cepat tersentuh dengan kebenaran. Kedua mereka memiliki kesedaran spiritual yang tinggi dan ketiga mereka sanggup berkorban lebih daripada orang lain. Golongan ini biasanya kecil jumlahnya.

Bahkan al-Qur’an sendiri memberi isyarat bahawa mereka lebih ramai dalam generasi terdahulu berbanding generasi kemudian seperti yang dikhabarkan dalam sejarah dakwah, golongan ini adalah mereka yang memulakan gerakan, menggerakkan perubahan dan memikul beban perjuangan yang berat. Tanpa golongan ini, kebangkitan umat tidak akan bermula. Namun cabarannya juga besar. Golongan ini sering berjalan lebih laju daripada masyarakat di sekeliling mereka.

Ashab al-yamin pula adalah golongan kedua yang majoritinya menyokong perubahan. Mereka juga berjaya dan mendapat nikmat syurga. Tetapi kedudukan mereka berbeza daripada golongan yang mendahului. Bahkan di dalam konteks dakwah dan gerakan, golongan ini biasanya merupakan majoriti masyarakat yang menerima kebaikan apabila ia sudah jelas. Mereka menyokong kebenaran, melakukan amal kebaikan dan hidup dengan nilai iman. Tetapi mereka tidak selalu menjadi yang pertama bergerak. Mereka memerlukan contoh, inspirasi dan kepimpinan.

Apabila golongan as-sabiqun memulakan perubahan, golongan ashab al-yamin akan menjadi kekuatan yang memperbesarkan gerakan tersebut. Jika kita lihat dalam mana-mana organisasi atau gerakan dakwah, golongan inilah yang sebenarnya membentuk kekuatan massa. Tanpa mereka, perubahan tidak akan meluas.

Golongan yang ketiga pula adalah ashab al-shimal yang mana mereka dinilai memiliki psikologi penolakan terhadap kebenaran. Mereka digambarkan dengan suasana yang penuh penderitaan di akhirat. Namun jika kita melihat lebih dalam, surah ini juga memberi gambaran tentang psikologi penolakan manusia terhadap kebenaran. Al-Quran menyebutkan bahawa mereka dahulu hidup dalam kemewahan, terus melakukan dosa besar lalu menolak idea kebangkitan selepas mati. Masalah mereka bukan kekurangan bukti. Masalah mereka ialah kesombongan hati dan dalam realiti dakwah, golongan ini sentiasa wujud. Mereka mungkin mengejek usaha perubahan, meremehkan nilai agama serta mempertahankan gaya hidup lama. Kehadiran mereka sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa. Ia adalah sebahagian daripada sunnatullah dalam perjalanan dakwah.

Inilah realiti gerakan. Tiga golongan ini sentiasa wujud. Apabila kita melihat sejarah para nabi, pola ini sentiasa berulang. Setiap kebangkitan dakwah biasanya bermula dengan sekumpulan kecil manusia yang mendahului (as-sabiqun), kemudian majoriti yang akhirnya menyokong (ashab al-yamin), serta golongan yang terus menolak (ashab al-shimal). Perkara ini berlaku dalam dakwah Nabi Muhammad SAW dan ia terus berlaku dalam sejarah umat Islam. Surah ini sebenarnya mengajar kita satu perkara penting iaitu gerakan perubahan tidak pernah bermula dengan majoriti. Ia selalu bermula dengan sekelompok kecil manusia yang berani mendahului.

Akhirnya, tadabbur surah ini membawa kita kepada satu persoalan yang sangat peribadi iaitu dalam perjalanan kehidupan ini, kita berada di golongan yang mana? Adakah kita termasuk dalam mereka yang, mendahului dalam kebaikan, menyokong apabila perubahan telah bermula atau masih ragu-ragu terhadap kebenaran?

Surah ini mengingatkan bahawa kehidupan bukan sekadar tentang menjadi orang baik. Ia juga tentang sejauh mana kita berani mendahului kebaikan kerana dalam pandangan Allah, ada perbezaan antara mereka yang sekadar mengikuti dan mereka yang membuka jalan. Mungkin itulah rahsia besar yang tersembunyi dalam Al-Waqi'ah. Bahawa sejarah perubahan dunia sering dimulakan oleh sebilangan kecil manusia yang memilih untuk menjadi as-sabiqun.

No comments: