Ramadan telah pun berlalu dan Syawal menjelma, suasana berubah. Masjid mungkin tidak lagi penuh seperti sebelumnya. Disiplin ibadah mula longgar dan kehidupan kembali kepada normal. Tetapi sebenarnya, di sinilah ujian sebenar bermula. Ayat 87 hingga 91 Surah An-Nisa’ datang seperti satu cermin yang sangat jujur, bukan tentang bagaimana kita beribadah ketika suasana baik, tetapi bagaimana kita mempertahankan iman dalam suasana yang mencabar.
Perbincangan kita dari ayat-ayat ini antaranya berkisar tentang keyakinan yang menjadi penentu arah hidup. Ayat 87 menegaskan satu asas besar bahawa, Allah pasti akan mengumpulkan manusia pada hari kiamat dan dalam tafsir klasik seperti yang dihuraikan oleh Ibn Kathir, ayat ini bukan sekadar maklumat tentang akhirat. Ia adalah asas kepada cara kita hidup. Jika akhirat benar-benar hidup dalam hati kita, keputusan kita akan berubah, keutamaan kita akan berubah dan keberanian kita juga akan berubah.
Seterusnya dalam ayat 88 menunjukkan bahawa orang beriman sendiri boleh berbeza pandangan dalam menilai golongan munafik. Ini adalah satu bentuk kekeliruan dalam menilai manusia. Ini sangat realistik. Hari ini di Malaysia, kita juga melihat, perbezaan pandangan dalam isu agama, kekeliruan dalam menilai siapa yang benar dan juga perdebatan yang kadang-kadang lebih emosional daripada berprinsip. Harus kita ingat, tidak semua kelembutan itu hikmah dan tidak semua ketegasan itu keras. Kita memerlukan kebijaksanaan, bukan sekadar reaksi.
Malahan hari ini, wujud pelbagai tekanan untuk menjadi “seperti mereka” atau bersama dalam kumpulan-kumpulan mereka. Ayat 89 sangat tajam apabila Allah berfirman dengan menekankan bahawa mereka mahu kita menjadi seperti mereka supaya kita sama. Inilah realiti tekanan sosial khususnya dalam konteks semasa di Malaysia. Contohnya, tekanan untuk “ikut trend”, tekanan untuk melonggarkan prinsip agama, tekanan untuk tidak kelihatan “terlalu alim” dan kadang-kadang, iman bukanlah diuji dengan kesusahan tetapi diuji dengan normalisasi perkara yang salah. Seba itu, menjadi berbeza itu tidak mudah, tetapi iman memang memerlukan keberanian untuk berbeza.
Maka, pentingkah bagi kita untuk berlaku adil dalam menghadapi perbezaan. Ayat 90 menunjukkan bahawa Islam tidak bersikap ekstrem. Tidak semua yang berbeza perlu dianggap musuh. Ada yang tidak memerangi dan cenderung kepada keamanan. Mereka perlu dilayan dengan adil. Ini sangat penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Islam sendiri mengajar keseimbangan. Tegas pada prinsip dan adil dalam tindakan.
Bahaya menjalani hidup tanpa pendirian. Perkara ini dijelaskan dalam ayat 91 yang menyebutkan tentang manusia yang mahu selamat dari semua pihak, tidak mahu bertanggungjawab kepada kebenaran dan hanya memilih apa yang menguntungkan sahaja. Ini adalah sikap opportunis dan dalam dunia hari ini, sikap ini sering kelihatan sebagai “bijak”. Tetapi dalam Al-Qur’an, ia adalah tanda kelemahan iman. Iman bukan tentang memilih yang selamat. Iman adalah tentang memilih yang benar.
Saya nak ajak kita membuat refleksi Syawal dan menilai ia sebagai ujian selepas Ramadan. Syawal bukan sekadar hari raya. Aadakah kita kekal dengan prinsip atau kembali hanyut dengan arus? Ketika suasana ziarah, pergaulan dan budaya raya adakah kita menjaga batas? Adakah kita menjaga percakapan? Adakah kita masih ingat Allah dalam kegembiraan? Kerana iman bukan hanya untuk masjid. Ia juga untuk ruang tamu, meja makan dan kehidupan sosial.
Kita hidup dalam dunia yang mengaburkan garis antara benar dan salah, mengangkat populariti lebih daripada prinsip serta menggalakkan kompromi tanpa nilai dan dalam keadaan ini, ayat 87–91 menjadi sangat relevan. Ia mengingatkan kita bahawa tidak semua yang popular itu benar dan tidak semua yang diterima ramai itu baik.
Oleh itu, saya terfikir beberapa langkah perubahan untuk diri sendiri khususnya wajar untuk diambil tindakan sebagai muhasabah syawal. Pertama, perkukuh keyakinan kepada akhirat supaya dunia tidak terlalu menguasai hati. Kedua, belajarlah untuk menilai dengan hikmah dan jangan terlalu cepat menghukum, tetapi jangan juga terlalu longgar. Tiga, berani berbeza jika itu yang diperlukan untuk menjaga iman. Keempat, elakkan sikap opportunis. Pilihlah kebenaran walaupun tidak popular.
Akhir sekali sebagai kesimpulan, ayat 87 hingga 91 Surah An-Nisa’ mengajar satu hakikat yang sangat penting, iman bukan hanya tentang apa yang kita percaya bahkan ia tentang siapa kita apabila kita ditekan dan mungkin inilah muhasabah paling jujur selepas Ramadan. Adakah kita masih sama seperti dalam Ramadan? Atau kita sudah kembali kepada arus tanpa arah? Kerana akhirnya, iman bukan diukur ketika suasana baik, sebaliknya ia diukur ketika kita berhadapan dengan pilihan yang sukar.

No comments:
Post a Comment