Saya buat catatan ini apabila diminta Dr. Ahmad Zaki bin Abdul Latiff menelaah makalah beliau sebagai persiapan pengisian Tamrin Nahdah WAP Selangor yang akan berlangsung pada 12 hingga 14 Jun 2026 nanti. Ia sangat membuka mata dan semangat untuk memberi fokus kepada usaha dakwah tambahan apabila diperingatkan tadi dalam Usrah WADAH Pusat berkenaan Fiqh Keutamaan dalam dunia yang dipenuhi dengan pelbagai krisis yang saya lihat lebih kepada krisis makna, nilai dan kepimpinan. Firman Allah SWT, "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik." (Surah al-Nahl: 125)
Keberkesanan dakwah tidak hanya bergantung kepada kebenaran mesej yang disampaikan, tetapi juga kepada kebijaksanaan dalam menyampaikannya. Inilah prinsip yang digariskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 125, dan inilah juga antara asas penting yang membentuk pendekatan dakwah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sejak penubuhannya.
Sepanjang lebih lima dekad perjalanan perjuangannya, ABIM telah membuktikan bahawa dakwah bukan sekadar pidato, slogan atau retorik semata-mata. Dakwah adalah seni membina manusia, mengubah masyarakat dan membangunkan tamadun melalui pendekatan yang sesuai dengan realiti zaman dan masyarakat.
ABIM merupakan suatu usaha dari gerakan kebangkitan kepada gerakan pembinaan. Era 1970-an menyaksikan kebangkitan kesedaran Islam yang kuat dalam kalangan mahasiswa dan belia. ABIM muncul sebagai pelopor gerakan dakwah yang memperjuangkan keadilan sosial, pembelaan rakyat dan kesedaran Islam dalam kehidupan bernegara. Namun, kematangan sebenar gerakan ini terserlah apabila berdepan dengan pelbagai ujian besar, khususnya selepas penyertaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982. Krisis tersebut memaksa ABIM melakukan muhasabah mendalam terhadap halatuju perjuangannya.
Ketika di bawah kepimpinan Al-Marhum Dr. Siddiq Fadhil, ABIM memilih untuk terus berpegang kepada prinsip dakwah Islamiah sambil memperkukuhkan budaya ilmu, tarbiah, pembinaan kader dan penglibatan masyarakat yang asalnya daripada sebuah gerakan yang sering dikaitkan dengan kebangkitan idealisme Islam, ABIM berkembang menjadi sebuah gerakan yang memberi tumpuan kepada pembinaan institusi dan pembangunan ummah secara berterusan. Salah satu sumbangan besar ABIM ialah penegasan terhadap pendekatan Wasatiyyatul Islam atau kesederhanaan Islam. Allah SWT berfirman, "Dan demikianlah Kami jadikan kamu umat pertengahan." (Surah al-Baqarah: 143)
Menurut Imam al-Ghazali, sifat pertengahan merupakan keadaan yang paling seimbang antara dua bentuk ekstrem yang tercela dan dalam konteks dakwah, wasatiyyah bermaksud menolak sikap melampau dan menolak juga sikap terlalu longgar sehingga mengorbankan prinsip. ABIM memilih jalan tengah yang berasaskan ilmu, hikmah dan adab. Dakwah perlu tegas pada prinsip tetapi bijaksana dalam pendekatan. Ia bukan dakwah yang emosional dan menghukum, tetapi dakwah yang mendidik dan membimbing.
Antara prinsip penting yang sering ditekankan dalam tradisi dakwah ABIM ialah ungkapan masyhur Hasan al-Hudhaibi, "Nahnu du'atun la qudhat", "Kami adalah pendakwah, bukan hakim."
Prinsip ini sangat penting dalam masyarakat yang pelbagai latar belakang, tahap kefahaman dan pengalaman hidup. Tugas pendakwah ialah mengajak manusia kepada Allah dengan kasih sayang dan hikmah, bukan menghukum atau melabel mereka. Apatah lagi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, pendekatan ini menjadi semakin penting. Islam perlu tampil sebagai rahmat kepada seluruh manusia, menjunjung keadilan, menghormati kepelbagaian dan membina jambatan persefahaman antara masyarakat.
Satu lagi sumbangan pemikiran yang signifikan ialah gagasan Manhaj Malizie yang diperkenalkan oleh Al-Marhum Dr. Siddiq Fadhil. Pendekatan ini menegaskan bahawa gerakan Islam di Malaysia tidak boleh meniru bulat-bulat pengalaman gerakan Islam di Timur Tengah atau negara lain. Setiap masyarakat mempunyai sejarah, budaya, struktur sosial dan cabaran yang berbeza. ABIM mengambil iktibar daripada pengalaman gerakan Islam antarabangsa, namun pendekatan dakwah perlu disesuaikan dengan realiti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya. Prinsipnya mudah, pendekatan boleh berubah mengikut tempat dan zaman, tetapi prinsip Islam tetap kekal.
ABIM juga membuktikan bahawa dakwah bukan sekadar ceramah dan program. Dakwah yang berkesan memerlukan pembinaan institusi yang mampu memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat. Maka usaha itu dimulakan daripada TASKI, SERI dan SEMI dalam bidang pendidikan, kepada penglibatan dalam perkembangan perbankan Islam, takaful, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pelbagai program pembangunan masyarakat, semuanya membuktikan bahawa dakwah boleh diterjemahkan dalam bentuk sistem dan institusi, bahkan yang terkini dalam pendekatan masyarakat awam, Adab Youth Garage (AYG) diperkenalkan.
Inilah yang disebut oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Kamal Hassan sebagai perkembangan daripada era slogan kepada era penyelesaian masalah (problem solving). Hari ini, cabaran dakwah jauh lebih kompleks. Dunia digital, kecerdasan buatan, polarisasi politik, krisis identiti belia dan perubahan budaya memerlukan pendekatan dakwah yang lebih kreatif dan berstrategi. Namun prinsip asasnya tetap sama berhikmah dalam pendekatan, berwasatiyyah dalam tindakan, beradab dalam perbezaan, teguh dalam prinsip dan membina manusia sebelum membina sistem.
Seperti yang diingatkan oleh Al-Marhum Dr. Siddiq Fadhil, antara cabaran terbesar gerakan Islam ialah fanatisme kelompok dan kegagalan menghormati perbezaan pandangan. Sedangkan para ulama terdahulu sentiasa mengajar, "Pendapatku betul tetapi mungkin salah dan pendapat orang lain salah tetapi mungkin betul."
Sejarah ABIM bukan sekadar kisah sebuah organisasi. Ia adalah kisah tentang bagaimana dakwah boleh berkembang daripada idealisme kepada pembinaan tamadun. Generasi terdahulu telah membina institusi, menggerakkan pendidikan, memperjuangkan nilai dan membuka ruang kepada kebangkitan Islam di Malaysia. Tanggungjawab generasi hari ini pula ialah meneruskan perjuangan tersebut dengan pendekatan yang sesuai dengan cabaran semasa.
Akhirnya, dakwah bukan tentang siapa yang paling lantang bersuara. Dakwah adalah tentang siapa yang paling mampu membawa manusia kembali kepada Allah dengan hikmah, kasih sayang dan kebijaksanaan. Berhikmah dalam pendekatan, teguh dalam prinsip, istiqamah dalam perjuangan.

No comments:
Post a Comment