Wednesday, September 9, 2026

Apabila Umat Kehilangan Mizan, Mereka Akan Kehilangan Arah


Pesanan Mizan 01 — Neraca Wasatiyah dalam Pembinaan Malaysia M.A.D.A.N.I.

Hidup memerlukan kita sentiasa membuat pilihan. Kita memilih apa yang mahu dipercayai, apa yang mahu dipelajari, apa yang mahu dilakukan, siapa yang mahu diikuti dan ke mana kita mahu membawa diri. Kehidupan bermasyarakat pula memerlukan kita membuat keputusan yang lebih besar. Ia berkaitan tentang pembangunan, pendidikan, ekonomi, teknologi, hubungan sesama manusia dan masa depan generasi.

Namun, satu persoalan sering terlepas daripada perhatian kita iaitu dengan neraca apakah kita membuat semua keputusan itu? Inilah antara persoalan penting yang diketengahkan dalam Ucapan Dasar Pengerusi WADAH Selangor, Ustaz Dr. Ahmad Zaki Abdul Latiff melalui gagasan Mizan al-‘Amal. Mizan bukanlah sekadar timbangan. Mizan secara asasnya membawa makna neraca atau timbangan.

Al-Quran sendiri mengangkat konsep mizan sebagai prinsip kehidupan. Surah al-Rahman ayat 7–9, Allah SWT menyebut tentang neraca dan menegaskan supaya manusia tidak melampaui batas dalam neraca serta menegakkan timbangan dengan adil. Maka, mizan bukan sekadar gambaran tentang sebuah alat untuk menimbang sesuatu secara fizikal. Ia membawa makna yang lebih luas seperti ketertiban, keadilan dan keseimbangan.

Penilaian dalam konteks kehidupan manusia, Ucapan Dasar ini mengembangkan Mizan al-‘Amal sebagai satu kerangka untuk menilai sama ada sesuatu pemikiran, keputusan dan tindakan berada pada tempatnya, menepati nilai yang benar serta membawa maslahat. Ia bukan hanya digunakan untuk menilai amal individu, tetapi turut menjadi neraca bagi arah perjuangan, gerak kerja organisasi dan pembinaan masyarakat maka, di sinilah pentingnya mizan kerana manusia bukan hanya memerlukan kebenaran, tetapi juga memerlukan kebijaksanaan untuk menentukan bagaimana kebenaran itu diterjemahkan dalam kehidupan.

Masalah utama kita bukanlah semata-mata tidak tahu. Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan maklumat. Kita boleh mendapatkan ilmu dalam beberapa saat. Kita boleh membaca pelbagai pandangan. Kita boleh mengikuti pelbagai tokoh. Kita boleh mengetahui apa yang berlaku di seluruh dunia hampir secara langsung. Tetapi banyak maklumat tidak semestinya menghasilkan pertimbangan yang baik.

Ucapan Dasar mengingatkan bahawa masyarakat hari ini berhadapan dengan perubahan nilai yang pantas akibat globalisasi, teknologi dan budaya digital. Ukuran kejayaan pula semakin mudah disempitkan kepada pencapaian material, status, populariti dan kedudukan, sedangkan amanah, akhlak, ilmu dan khidmat kepada masyarakat boleh terpinggir. Sebab itu kita perlu bertanya, apakah ukuran kejayaan kita? Adakah kita hanya melihat apa yang besar? Apa yang popular? Apa yang mendapat banyak perhatian? Apa yang menghasilkan keuntungan? Atau kita turut bertanya, Adakah ia benar? Adakah ia adil? Adakah ia membawa manfaat? Adakah ia membina manusia? Adakah ia mendapat keberkatan Allah? Inilah fungsi mizan.

Kehilangan mizan akan melahirkan ketidakseimbangan. Apabila neraca hilang, sesuatu yang berlebihan boleh dianggap baik. Sesuatu yang kurang boleh dianggap mencukupi. Sesuatu yang popular boleh dianggap benar. Sesuatu yang baharu boleh dianggap lebih baik. Sedangkan tidak semua yang baharu adalah kemajuan, tidak semua yang popular adalah benar dan tidak semua yang kelihatan berjaya membawa keberkatan. Ucapan Dasar secara jelas mengajak kita bertanya, dengan neraca apakah kita menentukan arah perubahan?

Inilah yang menjadikan gagasan mizan sangat relevan dalam kehidupan hari ini. Kita tidak menolak kemajuan, teknologi atau perubahan. Tetapi kita perlu bertanya, kemajuan ini membawa kita ke mana? Teknologi boleh menjadi alat ilmu, tetapi boleh juga menjadi alat kelalaian. Kebebasan boleh menjadi ruang kemuliaan manusia, tetapi tanpa tanggungjawab ia boleh membawa kerosakan. Pembangunan boleh meningkatkan kesejahteraan, tetapi tanpa keadilan ia boleh memperbesar jurang.

Ilmu boleh mencerdaskan manusia, tetapi tanpa amal ia tidak semestinya menghasilkan perubahan. Semuanya memerlukan mizan dan ia mesti bermula daripada diri sendiri. Menariknya, Mizan al-‘Amal tidak bermula dengan usaha mengubah orang lain. Ia bermula dengan membina manusia yang memiliki jiwa yang seimbang. Ucapan Dasar menjelaskan bahawa Mizan al-‘Amal bukan hanya neraca untuk menilai hasil kerja, tetapi juga neraca untuk menilai manusia yang melakukan kerja tersebut. Kebangkitan umat tidak boleh hanya dimulakan dengan menambah program, memperbesar organisasi atau memperbanyak aktiviti. 

Ia perlu bermula dengan manusia yang memiliki jiwa seimbang, akhlak luhur dan kemampuan menimbang setiap tindakan dengan neraca Allah SWT. Ini membawa satu teguran yang cukup besar kepada kita. Kadang-kadang kita terlalu sibuk bertanya, “Apa lagi yang perlu kita buat?” Sedangkan mungkin soalan yang lebih asas ialah, “Manusia seperti apakah yang sedang kita bina?” Ini adalah kerana program yang banyak belum tentu menghasilkan perubahan. Organisasi yang besar belum tentu menghasilkan masyarakat yang lebih baik. Aktiviti yang meriah belum tentu menghasilkan manusia yang lebih dekat kepada Allah. Bahkan yang lebih penting ialah apakah kesan amal itu terhadap manusia?

Inilah yang membawa kepada mizan bertemu dengan konsep wasatiyah. Wasatiyah bukan bermaksud mengambil jalan tengah secara mudah antara semua perkara. Ia adalah kemampuan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, memberikan hak kepada yang berhak dan menjaga keseimbangan antara tuntutan yang perlu diseimbangkan. Hidup kita perlu menyeimbangkan antara iman dan kehidupan, ilmu dan amal, kebebasan dan tanggungjawab, kemajuan dan nilai, kepelbagaian dan perpaduan.

Ucapan Dasar mengemukakan Fiqh al-Mizan sebagai pendekatan untuk membuat pertimbangan antara perkara-perkara tersebut. Daripada diagnosis masalah, kita perlu bergerak kepada agenda perubahan, mengubah prasangka kepada ta‘ayush, tindakan melulu kepada mizan dan pengetahuan pasif kepada amal yang nyata. Mizan akhirnya bukan sekadar cara berfikir. Ia mesti menjadi cara hidup.

Jadi, apakah neraca kita? Mungkin ini persoalan paling penting untuk kita bawa pulang daripada Pesanan Mizan yang pertama. Apabila kita membuat keputusan, apakah yang kita timbang? Apabila kita memilih pemimpin, apakah yang kita timbang? Apabila kita menggunakan teknologi, apakah yang kita timbang? Apabila kita mengkritik orang lain, apakah yang kita timbang? Apabila kita menjalankan program, apakah yang kita timbang? Apabila kita membina organisasi, apakah yang kita timbang? Dan apabila kita bercakap tentang Malaysia MADANI, apakah yang sebenarnya kita mahu bina?

Adakah sebuah negara yang maju? Jawapannya pasti ya. Tetapi bukan kemajuan yang kehilangan nilai. Sebuah masyarakat yang berilmu, tetapi bukan ilmu yang terpisah daripada amal. Sebuah masyarakat yang bebas, tetapi bukan kebebasan tanpa tanggungjawab. Sebuah masyarakat yang berdaya saing, tetapi bukan persaingan yang mengorbankan manusia. Kita mahu kemajuan yang mempunyai neraca, kebebasan yang mempunyai tanggungjawab, ilmu yang melahirkan amal, perubahan yang membawa maslahat dan akhirnya, kita mahu sebuah masyarakat yang mampu berdiri sebagai ummatan wasatan atau umat yang seimbang, adil dan menjadi saksi kepada manusia.

Pesanan Mizan 01, “Apabila umat kehilangan mizan, mereka akan kehilangan arah” menjelaskan bahawa mungkin kita tidak kekurangan kemampuan, tidak kekurangan ilmu, tidak kekurangan aktiviti, tetapi persoalan yang lebih besar ialah adakah kita masih mempunyai neraca untuk menentukan arah? Itu adalah Kerana perubahan tanpa neraca boleh menjadi kekeliruan, kemajuan tanpa neraca boleh menjadi kerakusan. Ilmu tanpa neraca boleh menjadi kesombongan. Kuasa tanpa neraca boleh menjadi kezaliman dan amal tanpa neraca boleh membawa kita jauh daripada tujuan sebenar perjuangan. Mizan mengajar kita untuk berhenti sejenak, menimbang dengan adil, melihat dengan hikmah dan kemudian bertindak dengan penuh tanggungjawab kerana pada akhirnya, bukan sekadar berapa banyak yang kita lakukan yang akan dinilai. Tetapi ke mana amal itu membawa kita, manusia dan masyarakat.

No comments: