Lailahaillallahuwallahuakbar
Allahu akbar walillahilhamd.
Terdengar sorakan kegembiraan anak-anak dengan sibuk di pagi hari raya membuat persiapan juadah sebelum keluar dari rumah untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid dan surau. Suasana yang amat mengharukan apabila sanak saudara saling bersalaman dan bermaafan sebagaimana kebiasaannya adat kemelayuan dalam menyambut kemenangan peperangan melawan hawa nafsu di dalam diri setiap insan sepanjang Ramadhan. Takbir pun bergema disetiap corong pembesar suara masjid dan surau meraikan kemenangan yang indah sebagaimana kebahagiaan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. untuk umat Islam yang berpuasa. Ada juga dikalangan kita yang akan terkenang kepada sanak saudara yang sudah tidak dapat bersama kerana lebih dahulu dijemput Ilahi atas kasih dan sayang Nya. Berbondong-bondonglah umat pergi ke kuburan menziarahi sanak saudara yang hanya tinggal kenangan dan batu nisan. Al-Fatihah dan tahlil dibacakan dan mendoakan agar mereka sejahtera berada di sana.
Takbir bergema seronok tak terkata
Anak-anak riang gembira
Puasa sudah tiada
Ibu ayah ceria melihat anak-anak bersuka ria
Pakaian baru, rumah aturan baru
Azam baru baiki diri yang selalu keliru
Menandakan perjuangan melawan nafsu
Tidak terhenti hanya 4 minggu
Tapi itu cerita dulu-dulu
Berbeza amat sudahlah tentu
Takbir bergema tapi lebih syahdu
Ada yang menyambut tanpa ayah ibu
Tiada lagi ke masjid berpusu
Kuburan sunyi tiada yang menumpu
Rumah tiada lagi yang datang bertamu
Syawal Covid-19 yang mendapat tumpu
Tapi insan bukan ini yang kita sayu
Kerana Aidilfitri masih bertamu
Walau tersekat tiada tetamu
Doa insan tidak pernah tepu
Mohonlah keampunan atas dosa lalu
Penyebab Covid-19 datang meluru
Memberi ingat jangan tertipu
Ia peringatan buat insan beriman dan berilmu
Iya, kali ini tiada lagi kesesakan di jalan raya kerana insan yang saling kunjung-mengunjung kerana kita diarahkan untuk kekal merayakan aidilfitri hanya di rumah. Mungkin kita tidak dapat bersua muka dengan sanak saudara kita, tetapi bersamalah kita menilai semua ini dari sudut pandangan hikmah dan kebijaksanaan. Masa untuk kita muhasabah, apabila tiba syawal dahulu, mungkin syawal inilah titik noktah dari melakukan perkara yang mungkin penyebab kepada musibah ini. Duduklah di rumah, patuhilah arahan jika kita mahu meraikan Aidiladha seperti tahun-tahun sebelum ini. Jika tidak, kita akan terus berada di rumah sehingga tiada peluang mungkin untuk kita melakukan kerja-kerja korban apabila tiba waktunya. Janganlah sekali-kali kita mencabar tentera Allah ini kerana DIA sedang memberitahu kita, ikutlah arahan, taatilah perintah.
Hidupkanlah syawal sebagai bulan kemenangan melawan hawa nafsu dan harapnya tahun ini sambutan kita benar-benar berjaya kerana tiada rumah terbuka, tiada kenduri-kendara yang mengundang nafsu semula sehingga terlupa puasa enam di dalamnya. Pupuklah budaya berjimat cermat, tidak membazir, tidak menunjuk-nunjuk, tidak berbangga dengan keluarga sendiri, tidak mengata dan menghina sanak saudara yang kurang bernasib baik dan banyak lagi perkara tidak yang mungkin semua kita boleh fikirkan sendiri. Satu perkara yang paling kita perlu perhati dan awasi, adalah hiburan di kaca TV yang tentunya tidak henti-henti. Awasi anak kita dari gajet mereka dan berlebihan dalam hiburan ini. Lambat laun, kita akan menyesal nanti kerana, hawa nafsu pada makanan mungkin dapat diatasi, tetapi hawa nafsu kepada hiburan tidak dapat diawasi lagi.
Taqabbalallahuminna waminkum.

Comments