Suasana kerja terbentuk berdasarkan peranan yang dimainkan oleh beberapa pihak yang melengkapkan organisasi itu sendiri. Peranan mereka ini membentuk nilai-nilai positif yang memberikan tambahan kepada penyeri suasana di dalam pejabat. Antara pihak yang berperanan adalah ketua di pejabat, kakitangan pejabat serta lingkungan dan persekitaran pejabat itu sendiri. Secara mudah difahami terdapat tiga faktor penting dalam merangsang pekerja kita untuk menjalankan tanggung jawab dengan berkesan serta memenuhi kehendak pekerjaan yang ditetapkan. Tiga faktor ini kadangkala dipandang remeh oleh banyak pihak sehingga menyebabkan gangguan dalam penghasilan kerja terbaik untuk organisasi itu sendiri. Pada dasarnya, semua yang bekerja harus mempunyai tahap kesedaran yang sama mengenai tugasan di pejabat itu adalah amanah. Amanah yang bukan hanya datang dari seorang ketua atau bos, tetapi amanah itu sampai kepada kita melalui ketua dari TUHAN untuk menguji nilai ketakwaan kita di sisi Nya. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa' ayat 58 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.
Keselesaan di dalam pejabat adalah disebabkan oleh, suasana yang harmoni diwujudkan oleh kakitangan dan ketua pejabat itu sendiri. Ia sudah tentulah berteraskan kepada bentuk komunikasi yang baik, berkesan yang mementingkan hubungan insan serta ihsan. Hubungan insan merupakan hubungan yang penuh kemesraan, merendah diri, memberi pujian yang ikhlas, menegur untuk menambahbaik bukan menjatuhkan, sentiasa memuliakan, menutup aib orang lain, tidak berlebih-lebihan dalam perselisihan, memaafkan kesalahan, sentiasa memohon maaf serta tidak lekang menyebut terima kasih atas setiap bantuan yang diberikan. Nilai ini semestinya diwujudkan oleh pembudayaan yang didahului oleh ketua di dalam pejabat kita. Kepimpinan melalui teladan. Sebab itu, faktor utama yang penting di antara tiga faktor yang disenaraikan adalah ketua di pejabat. Amanah ketua mestilah ditekuni bukan untuk menunjukkan kuasa sebaliknya dengan kuasa itu memudahkan segala tugasan yang diberikan untuk diselesaikan. Kuasa ketua itu berperanan untuk menjadi pelincir dalam memastikan apa sahaja yang dirancangkan dapat dilaksana dengan sebaik mungkin. Penyalahgunaan kuasa amat berpotensi berlaku kepada ketua di pejabat yang mempunyai kepentingan peribadi yang lebih berbesar berbanding kepentingan amanah dalam kelompok yang diketuainya. Ketua begini bukan sahaja akan menghilangkan kehormatan dirinya bahkan akan menyebabkan kegagalan kepada organisasinya untuk berfungsi secara maksimum.
Apabila dirujuk kepada hubungan ihsan pula dalam perbincangan di atas adalah apabila wujudnya rasa belas kasihan, perikemanusiaan, kejujuran di kala tidak berada di hadapan mata, tidak mengata atau mengumpat, tidak menjadi pengadu domba, bahkan memelihara amanah dalam setiap perkara. Ringkasnya, hubungan ihsan adalah hubungan kepercayaan, hubungan yang mana Allah menjadi saksi perbuatan kita. Inilah kakitangan pejabat yang diidamkan oleh semua ketua mereka. Kakitangan sebegini akan membantu banyak urusan yang diputuskan oleh organisasi. Walaupun, ada kepentingan tertentu kepada seorang ketua dalam organisasi, bagi ketua, kepentingan pekerja di bawahnya tidak kurang penting seperti dirinya di dalam sesebuah organisasi. Maka, dalam mewujudkan suasana kerja yang boleh merangsang setiap pekerja, ia perlu membentuk komunikasi insan dan ihsan ini. Komunikasi yang kuat antara ketua dan pekerja itu sendiri. Cuba kita bayangkan bersama, bagaimana agaknya jika kita dapat bekerja dengan suasana seperti yang disenaraikan tadi? Pastinya keadaan begitu aman, suasana tenang dan sentiasa mendatangkan semangat untuk bekerja bukan?
Suasana pekerjaan adalah natijah kejayaan dari komunikasi yang sihat antara yang bekerja. Suasana pekerjaan adalah elemen atau faktor ketiga yang akan melengkapkan putaran kerja positif di pejabat. Masa digunakan secara berkesan dan berkualiti, tiada isu pertelingkahan untuk meraih kedudukan serta tidak wujud persaingan saling memburukkan melainkan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan dan kebajikan di kalangan kelompok pekerja yang ada. Secara kesimpulannya, komunikasilah yang menjadi asas pertama dan komunikasi itu harus bersifat insan bukan haiwan, dan di dalamnya perlu ada ihsan agar ia penuh kejujuran dan ketelusan hati dan budi bagi menghasilkan keharmonian suasana tempat bekerja.

Comments