
Kepimpinan bukan kesenangan apatah lagi kemewahan. Namun, dalam suasana politik tanah air saat ini, kepimpinan adalah amat sinonim dengan kuasa dan pemilikan. Kuasa itu lambang kehidupan serba ada dalam kemewahan dan kesenangan. Mana tidaknya, apabila kepimpinan itu terkait dengan pendapat yang tinggi serta peluang untuk memiliki pelbagai perkara yang mungkin tidak pernah terfikir dalam akal kita sebagai manusia yang hidup biasa-biasa. Gambaran ini jelas merosakkan imej kepimpinan. Jika dinukilkan sejarah mereka yang terdahulu walau dimanapun mereka berada, kepimpinan pasti akan terkait dengan kesukaran, kebimbangan, ancaman serta keperitan hidup. Rupa-rupanya hari ini, segala tekanan itu dijadikan alasan untuk mereka berpayung kononnya kehidupan mereka dan perjuangan mereka adalah untuk rakyat dan yang seangkatan dengannya. Usahlah kita terpedaya dengan idea tin kosong ini. Bunyinya nyaring tetapi tiada apa pun yang boleh diharapkan darinya hanya semata-mata angin sahaja. Sebab itu, kepimpinan sebenarnya lebih mudah untuk kita fahami dengan perkataan payah dan penuh dengan onak dan dugaan. Kepimpinan begini hanya punya satu landasan, berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua mereka yang dipimpinnya.
Landasan ini pasti akan menjanjikan kepimpinan itu melalui jalan yang sukar dan tidak pernah mudah. Mereka bukan hanya merasai kepahitan, bahkan, tawar, kelat bahkan masam juga masin adalah rasa yang sentiasa perlu ditelan hanya untuk berpegang kepada prinsip yang asas itu tadi. Mereka akan sentiasa berada di atas persimpangan antara kepentingan diri dan kepentingan orang yang dipimpinnya. Kepentingan kelompok sendiri atau masyarakat yang ramainya. Keutamaan berkata benar walaupun pahit itu pasti akan dilaluinya. Pepatah ditelan mati emak diluah mati bapa itu akan terasa hakikatnya namun, kerana telah memilih untuk memimpin, ketegasan dan keteguhan prinsip yang bakal menjadi taruhan. Sebab itu pemimpin perlu hilangkan ketakutan. Bukan takut kepada seteru jawatan atau bimbang ada orang baru yang lebih berbakat seperti kisah Hang Nadim dalam Singapura Dilanggar Todak, sebaliknya takutlah kepada sifat yang tidak amanah serta meletakkan kepentingan peribadi lebih dari kepentingan masyarakat. Takutlah kepada hal yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan tuhan.
Oleh sebab itulah, hanya pemimpin yang bersedia jiwa dan raganya yang akan mampu membentuk kepimpinan yang memenuhi tuntutan pengorbanan serta sentiasa berada dihadapan memulakan langkah. Tiada keraguan pada diri mereka kerana yang dicari adalah solusi kepada kepemimpinan yang terbaik bukan soal siapa yang terbaik. Mereka sentiasa mencari jalan yang termudah untuk orang lain bukan jalan yang memudahkan mereka. Keputusan mereka sentiasa untuk kebaikan orang lain dan amat sedikit atau mungkin tidak adapun yang tinggal untuk dirinya. Persoalannya, wujudkan pemimpin seumpama ini pada hari ini? Cabaran kepada siapapun yang mempunyai kuasa kepimpinan adalah untuk mempertahankan maruah diri mereka terhadap amanah yang mereka pegang. Lazimnya, kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa akan berlaku apabila tiada pihak yang boleh menjadi penimbang tara dalam banyak keputusannya. Sama ada mereka tidak wujud kerana telah termakan budi atau wujud tetapi diikat rapat serta disekat ruang kebebasan untuk bersuara.
Kepimpinan yang sebegini mungkin amat disenangi oleh masyarakat awam kerana petah dan baik budi bahasanya serta lambakan pelbagai kebaikan darinya, namun, dari satu sudut jangka masa panjang, kepimpinan sebegini akan melebarkan lagi sayap mereka yang ingin mengambil kesempatan untuk terbang lebih tinggi bebas tanpa sebarang sekatan. Puncanya hanya satu, kepimpinan yang tidak mahu berkorban sebaliknya mendesak orang lain berkorban atas nama apapun kebaikan sama ada kebebasan, hak majoriti, hak minoriti mahupun kepentingan tertentu yang boleh dijadikan propaganda perjuangan hanya untuk mempertahankan dirinya sahaja. Kita seharusnya menjauhkan diri dari membina tabiat kepimpinan yang songsang ini. Malulah kita jika pemimpin itu diberikan dengan gelaran khalifah, apatah lagi apabila disandarkan kepada Allah (Khalifatullah) tetapi melakukan kerosakan demi kerosakan hanya kerana tamak dan takut direndahkan. Inilah yang dilalui Iblis laknatullah apabila hadir pencabarnya Nabi Adam 'alaihissalam. Maka bermulalah siri hasut-menghasut bagi memastikan kegagalan untuk manusia pertama itu. Namun, takdir Allah mengatasi segalanya.
Sebab itulah dapat kita simpulkan bahawa, kepimpinan ini adalah tugas merentas denai, membuka laluan untuk mereka yang dibelakang. Memenuhkan ketamakan kita hari ini hanya akan menarik seluruh anak bangsa kita berada dalam seksaan yang amat pedih. Tidak perlu kita nantikan siksaan neraka kerana telah dapat kita lihat dan nilai sendiri ketika berada di alam hayat ini lagi. Apatah lagi, sekiranya di bawa menghadap Allah 'Azza waJalla. Tugas merentas ini berhadapan dengan bahaya yang terlihat dan yang tidak terduga. Namun yang wajib ada bagi seorang pemimpin itu adalah sifat sabarnya mendengar teriakan orang di belakang yang menyuruh agar cepat. Pada masa yang sama, harus berhati-hati mendengar teriakan itu kerana adakalanya ia sebenarnya sedang meminta tolong. Ketika kita risau melihat jalan dihadapan, mungkin sahaja ada musuh yang datang menerkam kita atau mereka yang kita pimpin. Sekali lagi ditegaskan. Ia bukan kerja mudah. Kepimpinan yang merentas denai adalah kepimpinan yang sedia menghadapi sebarang risiko bagi memastikan orang yang dibelakangnya sampai ke destinasi yang dituju mereka.
Comments