Sudah menjadi kemestian seseorang pemimpin menggunakan khidmat anak buahnya dalam melaksana atau menyelesaikan satu-satu misi atau tugas mereka. Tenaga ini bagi kebanyakan pemimpin adalah satu kemestian untuk digunakan bahkan adalah satu kerugian jika dibiarkan. Pemikiran ini tidak salah sama sekali bahkan ia amat digalakkan dalam hal dan keperluan pembelajaran dan pengalaman bagi seorang pekerja atau anak buah yang dibimbing. Kesediaan untuk dibimbing juga adalah kunci kepada kejayaan sesuatu tugasan yang diberikan kepada mereka dan kejayaan yang dikecapi tersebut tidak seharusnya diletakkan seluruhnya atas kapasiti seorang pemimpin sebaliknya ia adalah berpandukan kerja berpasukan yang diketuai oleh seseorang yang memiliki keupayaan yang terbaik dalam kepimpinannya. Namun, situasi ini amat jarang dapat kita lihat disebabkan oleh ketamakan seorang ketua untuk mengangkat namanya agar menjadi sebutan dan kenang-kenangan kepada orang lain dan generasi seterusnya. Harus diingat, keutaamaan seorang ketua adalah untuk menyelesaikan visi besar bersama misi-misi yang telah disenaraikan, bukan membina nama peribadi mereka. Pembinaan nama peribadi adalah visi dan misi peribadi yang sememangnya secara tidak langsung akan menjejaskan pembangunan keseluruhan organisasi tersebut.
Tambahan pula, apa yang berlaku kadangkala tidak seperti yang kita bersama bayangkan. Si ketua lebih gemar mengarah dan akhirnya mengambil 'credit'. Apa sahaja yang datang padanya, akan diseru nama pekerja atau orang bawahannya. Sehinggakan tindakannya itu adalah semata-mata untuk melepaskan dirinya sahaja. Apabila kerja itu tidak sempurna, dimakinya orang bawahannya sehingga hilang akhlak dan hormat kepada sesama manusia. Ini secara langsun tidak mencerminkan kepimpinan melalui teladan. Terdapat beberapa kisah yang pernah diceritakan tentang bagaimana Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam membuat keputusan untuk melakukan tugas bersama para sahabat, namun Baginda memilih untuk melakukan tugasan yang lebih berat dan susah untuknya berbanding orang lain. Ia bukan sesuatu yang mudah bagi seorang pemimpin, tetapi nilai hamba dalam diri pemimpin menjadikan diri mereka seperti itu. Mereka cenderung untuk membantu berbanding mencari salah orang bawahan mereka. Sebab itulah, kepimpinan adalah terkait rapat dengan bimbingan dan pembangunan insan lain di dalam sesebuah organisasi. Pastinya semua kita dapat merasai bagaimana jiwa seorang insan yang melakukan sesuatu kerana paksaan berbanding melakukan sesuatu atas dasar suka rela dan kerana mahu yang ada di dalam diri. Hasil kerja yang dilakukan pasti akan menjadi lebih baik dan ini akan menjadikan organisasi itu lebih cemerlang dan terkehadapan.
Sifat mengarah, mara-marah tanpa usul periksa adalah sifat yang keji apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepimpinan. Kehidupan di dalam organisasi tidak kira bentuk apa organisasi itu sekalipun, maka akan berlaku pergerakan politik di dalamnya kerana berpolitik itu adalah untuk membina pengaruh. Bagi seorang pemimpin, baik dalam organisasi kecil sekalipun, mereka perlu berpolitik. Bukan untuk membina pengaruh kuasa atau menanam kebencian serta persaingan kuasa, tetapi untuk mudah melaksana tugas dan mendapat kerjasama dari orang bawahan. Pemimpin yang baik, mempunyai kemahiran memerhati dan membimbing yang baik. Ia kami perkenalkan sebagai 'monitoring skill'. Pemimpin yang baik juga wajar membuka ruang perkembangan serta menerima dinamika kepelbagaian insan yang dipimpin mereka. Tidak ada cara lain untuk melahirkan pemimpin yang baik melainkan memberikan teladan yang baik sebagai pemimpin kepada orang yang sedang dipimpin. Benarlah syair arab yang pernah dinukilkan, 'untuk melahirkan pemimpin seperti mengembala unta' kerana dari puluhan ekor itu, kita tidak akan pernah tahu, yang mana satu akan dapat kita tungganginya.
Pemimpin juga harus mudah membantu agar mudah mendapat bantuan. Bukan hanya kita sebagai pemimpin yang perlukan 'assistant', bahkan kita sendiri harus sedia untuk 'assist' orang bawahan mereka mencapai sasaran yang telah ditetapkan untuk mereka dan untuk organisasi kita. Membiarkan mereka begitu sahaja adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan seharusnya dipikulkan segala sebab kesalahan itu atas kegagalan kepimpinan itu sendiri, bukan semata-mata mereka yang diamanahkan melakukan kerja-kerja tersebut. Oleh yang demikian, untuk membolehkan diri membantu orang lain, seorang pemimpin perlu pula memiliki maklumat sehingga orang bawahan ini dapat menjadikan pemimpin mereka sebagai sumber rujukan utama. Ini memerlukan kemahiran yang bersesuaian dari aspek penyampaian maklumat dari atas ke bawah dan mengumpulkan maklumat pula dari bawah ke atas. Akhir sekali, seorang pemimpin perlu bersikap neutral, tidak berat sebelah atau memenangkan mana-mana pihak tanpa menilai kebenarannya. Bahkan pemimpin juga perlu merasakan dan meletakkan dirinya sebanding dengan orang bawahan dalam beberapa isu dan keadaan. Ini menjadikan seorang pemimpin itu mudah memulakan, mudah membantu, meringankan beban dan berada dalam kasut mereka yang kesusahan. Inilah dia memimpin melalui teladan dan bukan melalui tekanan. Tolak ansur yang tinggi ini akan menjadikan setiap tugasan yang diterima oleh pekerja kita itu lebih mudah, ringan dan bukan dalam keadaan keterpaksaan. Berikanlah teladan yang terbaik buat mereka contohi dan hindarilah dari melakukan penindasan terhadap orang yang berada di bawah kita. Ingat, kita tidak akan selamanya berada di atas dan mereka tidak akan selamanya berada di bawah.

Comments