
Hari ini kita dapat melihat bagaimana keadaan diri masyarakat yang semakin menurun dari sudut keupayaan mengurus emosi mereka. Jika kita perhatikan, semakin banyak kes-kes pembunuhan sama ada membunuh anak, ahli keluarga atau jiran juga tidak kurang kes membunuh diri. Semua ini secara tidak langsung memberikan kita satu gambaran tahap pengurusan emosi masyarakat yang amat membimbangkan.
Apatah lagi apabila ia berkaitan dengan keremajaan dan tahap penguasaan emosi seorang remaja. Dalam usia muda yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran umur, mereka juga antara yang dinilai sebagai antara golongan yang menghadapi tekanan emosi yang amat teruk. Kita pasti boleh fikirkan secara logiknya mengapa. Kemiskinan, kurang perhatian, persaingan dan kurang keyakinan diri akan menjadi faktor asas utama yang ditambah dengan persediaan minda terhadap zaman mereka. Apabila kami memulakan Kem Remaja O.S.E.M pada tahun 2015, fokus utama kami adalah untuk menjadikan para peserta sebagai remaja yang mampu menguruskan emosi mereka dengan menjadi remaja yang 'SIMPLE'. Kami tidak maksudkan ia dengan mudah tetapi ia lebih dari sekadar mudah. Mudah itu hanya ungkapan adjektif yang memberikan kelengkapan kepada situasi emosi yang lain yang akhirnya ia menjelaskan betapa stabilnya emosi mereka.
Semua kita mengidamkan remaja yang mudah memaafkan, mudah menolong, mudah simpati, mudah berinteraksi, mudah berbincang, mudah berkawan dan segala macam mudah yang disusuli dengan tingkah laku positif yang lain. Mudah ini atau 'SIMPLE' dalam bahasa pasar kita memberikan gambaran betapa seseorang itu amat disenangi, mudah didekati dan orang yang merendah diri dan itu adalah sifat peribadi yang tidak mungkin dibuat-buat. Sifat sebegini hanya lahir dengan persekitaran yang jelas membentuk diri mereka itu. Pada masa yang sama, untuk berada pada keupayaan 'SIMPLE' ini juga, mereka seharusnya ada bersama mereka yang sebegitu dan mereka sendiri mampu mengawal emosi mereka apabila berhadapan dengan sesuatu khususnya apabila ia adalah diluar jangkaan. Apabila kami mengetengahkan pencirian ini, dapatlah kami kenalpasti terdapat perubahan ketara pada individu remaja itu apabila mereka tidak menjadikan sesuatu itu rumit. Sebagai contoh, dalam persahabatan, satu kesilapan kecil yang dilakukan oleh teman kita, sebagai remaja yang 'SIMPLE', maafkan sahaja dan minta mereka perbaiki selepas itu. Namun, ia akan merumitkan apabila tiada nilai memaafkan itu. Mungkin ukuran besar kecil itu berbeza pada setiap kita, tetapi yang kita bersama boleh persetujui, memaafkan itu adalah tanda jiwa kita mempunyai ketenangan dan kestabilan yang amat bernilai.
Kenapa remaja hari ini dilihat seperti tidak 'SIMPLE'? Jawapannya ada di hadapan mata kita semua. Remaja hari ini bebas untuk mencuba sehinggakan mereka terkeliru pada apa yang mereka cuba itu kerana kurangnya bimbingan dan janganlah kita harapkan sangat mereka tahu kerana pembacaan. Mereka lebih cenderung untuk mendengar pandangan viral berbanding pandangan dari sumber yang disahkan. Bahkan apabila mereka berinteraksi dengan rakan mereka di media sosial, mereka amat cepat tersinggung kepada perkataan yang diluahkan di dinding-dinding media sosial sedangkan ia belum tentu ditujukan untuknya. Mengapa jiwa mereka sangat sensitif sebegitu? Kehidupan normal manusia amat memerlukan kepada komunikasi dan interaksi tidak kira bersama keluarga mahupun bersama rakan-rakan baik di sekolah atau tempat-tempat lain. Bagi mereka yang tidak menjalankan aktiviti-aktiviti sebegini dianggap anti sosial. Duduk terperap dalam bilik, berkurung, tidak bercakap dengan orang walaupun bersebelahan dan berasa pelik apabila ditegur oleh orang yang tidak dikenali, ini semua adalah gejala-gejala anti sosial yang amat bahaya tetapi sudah menjadi barah dalam masyarakat.
Sebab itu kita dapat lihat bagaimana sekumpulan remaja, duduk di kedai mamak, tetapi tidak bercakap antara satu dengan yang lain hanya kerana sibuk dengan gajet mereka masing-masing. Siapa yang bersalah dalam hal ini, remaja atau gajet? Pada kami, ia berbalik kepada bagaimana persekitaran mereka yang dibentukkan kepada mereka dipelbagai peringkat, bukan hanya keluarga. Manusia yang tidak berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain akan hilang keyakinan diri mereka. Timbul rasa curiga dan sentiasa berasa dalam ancaman oleh orang yang ada disekitar mereka. Kemudian, sedikit demi sedikit hilang rasa percaya, kasih sayang dan akhirnya membarah sehingga wujud pula rasa benci, dendam dan sentiasa bersyak wasangka dalam segala hal. Mampukah remaja kita menjadi orang yang 'SIMPLE'? Jawapannya, memang tidaklah.
Buat anak remaja diluar sana. Lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sosial. Bergaullah dengan ibu dan ayah pada waktu-waktu utama seperti waktu makan, waktu berjalan atau bersia-siar. Letakkan gajet anda, tinggalkan keseronokan maya sebentar dan hargai keseronokan sebenar bersosial yang juga sebenarnya amat sebentar. Berkomunikasi secara fizikal dengan rakan-rakan, bersentuhan, ukirkan senyuman, ketawa dan lakukannya setiap hari. Semua ini adalah ubat yang mujarab untuk penyakit yang membekam di dalam hati sanubari kita. Sebagai ibu bapa juga perlu wujudkan suasana, ubah kebiasaan yang salah. Meja makan tempat berbicara dan makan serta membina kemesraan dan dan kasih sayang, bukan pemisah dan mewujudkan dinding atau longkang pemisah dalam kekeluargaan. Kesibukan tidak akan lari dari kita, kerana itu uruskanlah kehidupan termasuk waktu emas bersama mereka yang tersayang. Ingatlah, ubat mujarab dalam perhubungan adalah komunikasi yang berkesan serta interaksi yang menggembirakan.
Comments