Manusia yang berjaya adalah mereka yang mempunyai nilai 3D. Disiplin, dedikasi dan determinasi. Tidak mudah untuk kita melakukannya melainkan dengan bimbingan dan latihan yang berterusan dari guru atau pembimbing yang memahami kepentingan ketiga-tiga nilai ini. Usaha untuk melahirkan generasi yang terbaik haruslah meletakkan paksi dan keutamaan yang jelas dalam kehidupan mereka. Setiap kejayaan dan kecemerlangan bukan hanya datang bergolek, bahkan amat mustahil datang melayang. Ia harus bermula dari usaha yang tidak pernah kenal putus asa. Oleh kerana itulah, untuk mecapai kejayaan itu sendiri harus bermula dari kehidupan yang benar-benar terisi dan terlatih dengan budaya yang boleh membantu diri sendiri.
Disiplin kerap kali dikaitkan dengan aturan. Kita punya disiplin khusus dalam pendidikan sains, matematik, bahasa bahkan dalam matapelajaran agama sekalipun. Aturan itu perlu diikuti untuk mendapat hasil bersesuaian dengan apa yang diharapkan. Terdapat juga disiplin di dalam sosial manusia dan disiplin dalam kerohanian. Apabila kita berusaha untuk mencipta kejayaan, Jim Rohn berkata, kejayaan itu adalah hasil dari beberapa disiplin mudah yang dilakukan setiap hari. Disiplin adalah satu latihan untuk kita belajar untuk mengikut peraturan atau mengamalkan beberapa sikap menggunakan hukuman dan sebahagiannya tidak melupakan juga menggunakan dorongan dan hadiah. Manusia yang berdisiplin akan mampu mengawal dirinya yang sedar dari tergelincir atau larut ke dalam situasi yang tidak sepatutnya.
Disiplin menjadikan seseorang itu mudah untuk mengikuti aturan demi mencapai tujuan yang diinginkan. Tanpa disiplin, kita tidak akan mampu menguasai pemikiran kita sendiri. Kerap kali tewas dalam pertarungan dengan diri sendiri. Displinlah yang akan menjambatani kita ke arah kejayaan yang diimpikan kerana dengan disiplin kita akan melakukan sesuatu kerana ia perlu dilakukan walaupun kita tidak mahu melakukannya. Apabila kita tidak berdisiplin, ia ibarat menjai hamba kepada perasaan, hawa nafsu serta keseronokan dan harus kita ketahui, biarlah kita menderita kerana berdisiplin daripada menderita kerana penyesalan.
Berbeza dengan dedikasi. Jika disiplin adalah suatu aturan, dedikasi merupakan kualiti individu yang komited untuk melakukan sesuatu tugasan. Dedikasi adalah gambaran komitmen yang tinggi dalam menyelesaikan apa yang dinilai berkepentingan untuk diri atau apa sahaja di persekitaran kita. Sebab itu ada yang mengatakan bahawa, kurangnya dedikasi pada diri kita itu adalah perkara yang akan memalukan diri kita sendiri. Dedikasi sudah tentu sekali tidak bermusim kerana ia adalah kualiti dalam diri yang dikembangkan tidak kira dalam apa situasi sekalipun. Dedikasilah yang akan menjadikan sesuatu impian itu realiti kerana dedikasi itu adalah masa berjam-jam yang kita berikan untuk sesuatu perkara dalam keadaan tiada sesiapa yang melihatnya. Dedikasi boleh dikaitkan juga dengan istiqamah yang membawa maksud secara literalnya melakukan sesuatu secara berterusan walaupun hanya sedikit. Bak kata pepatah melayu, simpan sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Jelas sekali pepatah ini menggalakkan kita untuk melakukan sesuatu itu secara berterusan, jangan berhenti di tengah jalan.
Determinasi juga suatu kualiti diri yang memungkin seseorang itu tidak berganjak dari sebab yang dipercayai atau matlamat akhir yang ingin dicapai. Keberjayaan seseorang itu amat bergantung kepada berapa besar determinasinya terhadap perkara tersebut. Kualiti determinasi menjadikan seseorang itu tidak akan berhenti berjuang kepada apa yang mereka percaya kerana setiap kegagalan itu tidak sekali-kali dapat mengubah pendirian serta kepercayaannya. Ada pepatah mengatakan, motivasi menyebabkan anda bergerak, determinasi menyebabkan anda tidak akan berhenti bergerak. Maka dengan determinasi dalam diri akan memungkin seseorang itu berhadapan dengan apa sahaja rintangan yang mendatang.
Cuba kita bayangkan, kita berada di sebuah tanah lapang yang tandus. Kita kehausan dan terlihat jauh di hadapan mata kita terdapat sebuah telaga yang dalam fikiran kita tentu ada air di dalamnya. Apabila kita membuat keputusan untuk pergi ke telaga itu, air menjadi motivasi kerana kita sedang kehausan. Langkah penuh hati-hati kerana itulah aturannya, kerana kita sedang terdedah kepada bahaya binatang buas yang kelaparan. Maka, langkah diambil penuh kepekaan untuk mengelakkan dari gangguan. Sepanjang usaha untuk sampai ke telaga, walaupun apapun dugaan yang mendatang, hujan lebat, ribut taufan mahupun kegelapan malam, kita tempuh dengan penuh kesungguhan kerana kita telah tetapkan apa yang kita mahu dan percaya kerana kita sedar, hanya dengan kekal pada disiplin, berterusan dedikasi serta tetap determinasi, kita akan sampai kepada apa yang kita tujui.
Comments