Saat ini negara berhadapan dengan ujian getir berkenaan isu pandemik Covid-19. Keadaan yang permulaannya dilihat sedikit tenang kembali merisaukan dengan bacaan peningkatan kepada masyarakat mungkin akibat dari rasa selesa masyarakat kepada keadaan semakin baik negara. Bacaan peningkatan itu amat menggusarkan. Namun keadaan kita tidak sedar, pandemik ini juga secara langsung telah meninggalkan kesan besar kepada corak perkembangan generasi khususnya remaja di negara kita. Peningkatan masa mendadak kepada gejala di hadapan skrin gajet, laman sesawang lucah dan hobi-hobi rendah nilai moral menggunakan aplikasi tik tok, YouTube dan yang seangkatannya turut sama meningkat selari dengan pandemik yang kita depani kini. Segalanya ini adalah aktiviti yang melibatkan golongan remaja yang secara umumnya gagal memanfaatkan ruang masa lapang mereka untuk perkara yang lebih banyak mendatangkan faedah selain dari semata-mata keseronokan yang amat sementara. Permasalahan pengurusan dalaman diri remaja ini adalah bertolak dari faktor-faktor yang diundang oleh perubahan yang sedang dilalui mereka dalam usia ini. Pada ketika ini, remaja amat mahukan kebebasan tanpa kongkongan dari ibu bapa mereka walaupun pada hakikatnya itu boleh membahayakan mereka. Pada mereka kongkongan itu akan menghadkan daya ingin tahu mereka walaupun secara sedar tindakan mereka itu mengundang bahaya buat diri dan keluarga. Remaja beranggapan mereka sudah boleh berdikari dan perlu diberikan hak untuk membuat keputusan dan pilihan sendiri. Ini ditambah dengan kerungsingan apabila segelintir masyarakat kita mengambil ringan perkara-perkara kerohanian yang dapat membantu remaja untuk lebih bersedia menguruskan dalaman diri mereka.
Masyarakat terhampir dengan diri remaja adalah ibu bapa mereka sendiri. Situasi diri pada remaja yang tidak dapat difahami oleh ibu bapa menjadikan ibu bapa itu penyebab tekanan yang berlebihan untuk remaja. Situasi remaja yang kurang diberikan kepercayaan serta tindakan mudah menghukum akan mengheret rasa tidak suka kepada benci anak remaja terhadap ibu bapa mereka. Keupayaan ibu bapa untuk menyelami perasaan dan keadaan diri remaja amat ditagih. Bukan hanya untuk menyelesaikan permasalahan dirinya dan keluarga, bahkan berkait dengan kejiranan dan akhirnya negara kita. Konflik yang wujud di dalam perhubungan kekeluargaan perlu dileraikan dengan kebijksanaan, bagai menarik rambut di dalam tepung, tepungnya tidak berserak, rambut pula tidak putus. Kita khuatir, konflik kekeluargaan ini akan menyebabkan mereka berasa terpinggir dan mula mencari tempat kehidupan mereka dari kalangan rakan sebaya mereka. Rakan sebaya sudah tentu akan membina pengaruh besar untuk mereka. Apabila mereka sebaya, apa yang difikirkan dan yang dibincangkan lebih mudah difahami dan mereka mula beranggapan bahawa mereka ada hubungan kimia yang baik dalam persahabatan. Hakikatnya, ia hanyalah kerana situasi mereka yang serupa dan mempunyai frekuensi pemikiran yang seragam, namun mereka beranggapan rakan mereka itu sangat memahami. Situasi ini akan menambahkan kerumitan. Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggung jawab dalam kekeluargaan untuk memastikan hubungan baik keluarga dan sentiasa berdamping dengan anak remaja ini untuk menilai prestasi dan perkembangan kehidupan mereka termasuk ruang lingkup persekitaran rakan-rakan mereka.
Rakan-rakan mereka itu merupakan sebahagian dari masyarakat disekitar mereka juga dan memberikan pengaruh yang besar juga disebabkan lebih dari masa keremajaan mereka juga akan dihabiskan dibangku-bangku sekolah. Sebab itu, institusi persekolahan juga tidak boleh terlepas dari sudut penyertaan dalam menguruskan dalaman diri remaja ini. Maka, tidak hairanlah apabila pembukaan semula persekolahan mengundang keluhan di kalangan remaja kerana sebahagian mereka merasakan persekolahan ini adalah sesuatu yang membebankan malah mereka tidak malu menyatakan kebosanan mereka. Keluhan terbuka sebegini mengundang kejutan oleh masyarakat yang menilai kepentingan persekolahan buat mereka. Namun keluhan itu pasti ada punca yang datangnya dari institusi itu sendiri. Penilaian ini harus adil, bukan hanya mempersalahkan, tetapi kita perlu akui juga terdapat usaha-usaha yang sangat murni diusahakan oleh sekolah-sekolah di seluruh negara. Namun, disebalik perakuan itu, masih terdapat situasi di mana kaedah-kaedah pengajaran yang digunakan para pendidik di sekolah sudah tidak relevan atau mungkin kurang relevan.Bahkan mudah untuk kita dapati ada segelintir pendidik yang lebih cenderung melakukan kerja mengajar mereka yang bergantung kepada kebiasaan yang mereka lakukan untuk lebih dari 20 tahun diri mereka telah berkhidmat tanpa memberikan ruang perubahan pada dirinya demi kelangsungan pendidikan anak-anak remaja di sekolah. Kawalan disiplin sekolah yang bertukar corak dari mengutamakan pendidik kepada mengutamakan pelanggan sedikit sebanyak memberikan kesan langsung kepada tahap kemenjadian pelajar di pelbagai peringkat pendidikan. Pendidik lebih cenderung untuk tidak mengambil tindakan atau mendiamkan diri terhadap salah laku disiplin akibat dari tekanan masyarakat yang kononnya anak-anak mereka mempunyai hak jagaan tertentu yang tidak boleh dilanggar oleh sesiapapun. Akhirnya wujud golongan terpinggir di sekolah kerana para pendidik tidak mahu terlibat dengan permasalahan yang timbul atas sebab terlebih prihatin kepada anak murid remaja mereka kononnya. Bahkan menjadi lebih mendukacitakan apabila golongan terpinggir di sekolah ini di buat pula pembahagian khusus memisahkan mereka dari rakan-rakan mereka yang lain seolah-olah memberikan satu pandangan bahawa mereka perlukan rawatan khusus berbanding kelompok yang lain seperti yang semua kita maklum wujudnya kelas depan dan kelas belakang di sekolah.
Semua keadaan di atas sudah nampak kegagalannya, apatah lagi apabila ditambah pula dengan penglibatan media sosial sebagaimana yang telah dicatatkan pada awal tulisan ini tadi. Apabila media sosial menawarkan sesuatu yang terlalu luas dari segi kepuasan, maklumat, penglibatan, perhubungan dan pelbagai lagi maka ia hanya akan merumitkan proses pengukuhan sistem pengurusan dalaman diri seseorang remaja itu. Keluasan yang dimaksudkan sehinggakan, apa sahaja yang dihidangkan untuk mereka tiada sebarang penapisan dari sudut betul salah, benar bohong, baik buruk dan sebagainya. Bahkan media sosial juga seolahnya menawarkan keseronokan yang tidak ada tolok bandingnya dengan perkara-perkara lain yang pada hakikatnya itu adalah sesuatu tawaran yang merosakkan bukannya menguntungkan. Kerosakan akan datang itu bukan di bawah perhatian mereka kerana perhatian itu hanya akan wujud apabila ada kelompok yang memberikan peringatan dan amaran kepada mereka. Keutamaan mereka cuma kepuasan dan keseronokan sahaja. Semua kita maklum, segala yang seronok itu tidak menjanjikan kebahagiaan dipenghujungnya. Jika kegagalan menguruskan dalaman diri remaja ini dibiarkan berlarutan, kita tidak sepatutnya terkejut sekiranya kita mewariskan kepada cucu cicit kita sebuah bangsa yang amat memalukan, lemah dan tidak bertanggung jawab.
Akhir sekali, sebagai langkah untuk membina remaja yang lebih baik, maka, setiap dari kita seharusnya berdampingan dalam mengembeling usaha untuk mengelakkan kegagalan ini berlaku kepada remaja kita. Para ibu bapa termasuk pendidik harus berusaha untuk mewujudkan perhubungan yang sangat positif bersama mereka. Ibu bapa harus merencana masa berkualiti bersama remaja dalam pelbagai pendekatan kerana mereka perlu didengari bukan hanya disantuni keperluan harian semata-mata. Para pendidik disarankan untuk menutup jurang perbezaan kelompok diri remaja antara mereka yang lemah dan cemerlang. Menilai mereka dari sudut keupayaan umum bukan lagi berlandaskan kepada akademik serta pencapaian markah di dalam peperiksaan semata-mata. Perkembangan mereka amat luas dan pelbagai, maka ia tidak perlu disempitkan hanya untuk memenuhkan keperluan agenda khusus tertentu beberapa pihak yang dinilai mempunyai kepentingan. Masyarakat, khususnya ibu bapa dan pendidik harus memberikan bimbingan khusus dari sudut bagaimana pemilihan rakan-rakan untuk diri mereka. Usaha mengurangkan jurang perbezaan kelompok itu akan memudahkan urusan mereka untuk membuat pilihan serta memberikan ruang lebih luas untuk mereka berinteraksi dengan berkesan kepada kelompok rakan yang mempunyai kepelbagaian dan keunikan. Jadualkan kehidupan mereka secara wajib dengan jadual yang banyak memberikan manfaat kepada mereka. Ini termasuklah penjadualan penggunaan media sosial mereka. Pendidikan penggunaan media sosial harus diperkenalkan bagi membolehkan penularan maklumat yang tepat mengenai media sosial mereka membina keprihatinan diri mereka terhadap isu dan bahaya mengenainya.
Comments