Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

DISIPLIN DALAM MEMENUHI IMPIAN TERHADAP ANAK-ANAK

Bercerita tentang disiplin memang mudah seperti mana mudahnya kita memikirkan kepentingannya. Tetapi pernahkah kita menilai bagaimana sebenarnya disiplin itu diterapkan dan adakah kita benar-benar berdisiplin dalam kehidupan kita? Untuk kita memastikan impian yang kita idamkan pada anak-anak itu, perlulah ada disiplin yang kita sendiri terapkan. Apabila kita cuba untuk menerapkan sesuatu disiplin di dalam diri kita secara sedar atau tidak, sebenarnya kita sedang melepaskan sesuatu untuk melakukan sesuatu. Selalunya, yang perlu dilepaskan lebih banyak berbanding satu perkara yang hendak didisiplinkan. Kita perlu berhenti dari melakukan sesuatu yang biasa kita lakukan hanya untuk mendapatkan disiplin kepada sesuatu yang baru. Maka begitulah keadaannya yang akan berlaku kepada anak-anak kita apabila kita ingin menerapkan disiplin yang baik untuk mereka. Pada peringkat awal, proses itu perlu berlaku dengan tawar-menawar yang menarik sebelum mengubahnya secara total. Sebagaimana kita sendiri menghadapi kesukaran untuk mendisiplinkan diri, apatah lagi anak-anak kita yang mungkin tidak mempunyai keazaman yang kuat disebabkan ia datang bukan dari kemahuan diri mereka sendiri.
Maka ibu bapa harus menyedari bahawa, adalah membuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan secara tidak langsung ia merupakan suatu kembangan kemahiran menahan diri dari perasaan penat, bosan, mengalah, lelah, leka, lalai dan banyak lagi hanya dengan berpaksikan kepada dua pasak minda iaitu pengharapan kepada ganjaran yang akan datang serta pengukuhan azam dalam diri. Kedua-dua ini merupakan tanda aras kesihatan mental anak-anak yang dibentuk sejak mereka dilahirkan. Latihan kekuatan mental ini seharusnya dimulakan sejak kecil dan dibiasakan dengan perkara yang sesuai dengan peringkat umur awal mereka. Apabila menginjak kanak-kanak ke remaja, ia akan lebih mudah berbanding untuk kita baru mahu memulakannya kepada anak remaja kita. Namun, tidak pernah ada istilah terlewat dalam mendidik anak-anak. Apa yang penting adalah, keupayaan untuk kita sendiri menahan diri dari sebarang kesukaran yang bakal dihadapi dengan mereka.

Kajian yang pernah dilakukan oleh seorang ahli psikologi yang terkenal dengan 'The Marshmallow Test' melakukan kajian terhadap kanak-kanak pada tahun 1960-an. Mereka ditempatkan di dalam sebuah bilik bersama satu gula-gula marshmallow dan sekiranya mereka mampu menahan diri mereka sehingga 15 minit dari memakannya, mereka akan diberikan ganjaran dua kali marshmallow itu.Kajian mendapati, ramai dikalangan kanak-kanak yang berumur 4 tahun itu tewas dalam ujian itu, namun ada diantara mereka berjaya, dan mereka yang berjaya itu menyibukkan diri mereka dengan perkara lain untuk menghilangkan perhatian mereka terhadap marshmallow tersebut. Apa yang lebih menakjubkan, beberapa puluh tahun selepas itu, mereka yang berjaya mendapat dua kali lebih marshmallow lebih berjaya kehidupan mereka berbanding yang lainnya. Kajian ini menjelaskan mengenai keupayaan menahan diri yang sebenarnya mampu melahirkan individu yang lebih cemerlang pada masa akan datang apabila ia dilatih dan dibimbing lebih awal.

Keazaman menurut ahli psikologi, Roy Baumeister adalah sumber yang terhad. Ia tidak boleh didapatkan dari mana-mana sumber yang lain melainkan ia perlu dijana dan dibangunkan sendiri oleh pemiliknya. Keazaman diibaratkan seperti otot pada tubuh manusia yang sekiranya tidak digunakan, maka ia akan melemah dan akhirnya gagal berfungsi dan dimanfaatkan. Pada tahun 1992, seorang ahli psikolgi British melakukan kajian terhadap beberapa pesakit yang telah berjaya melalui pembedahan pinggul dan lutut mereka. Kajian tersebut mendapati, ada sekelompok pesakit yang berjaya pulih dari pembedahan mereka dua kali lebih cepat berbanding yang lainnya. Menurut mereka, perbezaannya hanya terletak pada sehelai kertas. Pesakit yang sembuh lebih cepat, mengikuti cadangan para ahli psikologi dengan menuliskan perancangan pemulihan mereka setiap hari dan berusaha untuk mencapainya sekuat mungkin. Catatan tersebut secara tidak langsung menjadi alat pemangkin kepada keazaman yang mereka bina untuk mencapai tahap kesihatan yang mereka harapkan.

Maka, para ibu bapa seharusnya memahami aspek latihan menahan diri pada diri anak-anak serta bagaimana untuk membina otot-otot keazaman dalam diri anak-anak kita. Jadual dan penetapan masa adalah antara cara yang terbaik untuk anak-anak kita menahan diri mereka peringkat demi peringkat. Kawalan masa penggunaan gajet mesti digantikan dengan perkara yang menggalakkan mereka dan jangan lupa, kaedah 'reward' yang juga perlu menjadi metodologi penggalak untuk anak-anak. Mulakanlah bersama anak-anak untuk merencana apa yang ingin mereka lakukan dan capai dalam kehidupan mereka dengan meminta mereka menulis apa yang mereka hajatkan dan bagaimana untuk kita bantu mereka merealisasikan apa yang mereka impikan. Kita berimpian, mereka juga pasti ada impian. Sebaiknya, selarikan impian kita dengan mereka, kerana apa yang kita mahu belum tentu boleh menjanjikan kejayaan untuk mereka sekiranya mereka tiada keazaman untuknya.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...