Sunday, June 28, 2020

TERAPLAH DISIPLIN ANAK-ANAK DENGAN KEBERSAMAAN

Kegagalan ibu bapa dalam membentuk disiplin anak-anak apabila kurangya kebersamaan dalam pembentukan itu sendiri. Ada peraturan tetapi tiada bimbingan untuk bagaimana ia dipenuhi maka, dikhuatiri peraturan itu hanya dilaksana akibat dari perasaan takut anak-anak kepada pendiri peraturan itu iaitu ibu bapa atau penjaga mereka sendiri. Oleh sebab yang demikian, bagi memastikan disiplin itu dihormati bukan ditakuti, maka amalan melakukannya bersama-sama termasuk yang mendirikan peraturan itu adalah suatu yang penting dan sekaligus dapat memberikan galakan dan rangsangan kepada anak-anak untuk meneruskan kelangsungan disiplin itu walaupun ibu bapa mereka sudah tidak ada lagi. Fokus ibu bapa dalam menetapkan disiplin adalah tergantung juga kepada keupayaan ibu bapa untuk melakukannya bersama atau dalam erti kata lain, ibu bapa juga harus bersedia untuk mendisiplinkan diri sendiri dengan peraturan yang ditetapkan untuk anak-anak.

Pendidikan melalui contoh dan teladan merupakan teknik utama didikan ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak khususnya di rumah. Penilaian anak-anak juga insan biasa termasuk diri ibu bapa adalah pada apa yang dilihat oleh mata kepala kita. Akal kita akan menafsirkan apa yang dilihat, cuma bagi mereka yang dewasa, pada mereka telah ada keupayaan untuk menentukan mana baik dan mana buruk, mana patut dan mana tidak patut. Pertimbangan itu berkembang bergantung kepada faktor usia dan pengalaman kehidupan. Tetapi di mata anak-anak khususnya anak kecil, pertimbangan baik buruk tidak wujud melainkan dengan bimbingan ibu ayah dan guru mereka. Mereka hanya akan meniru sesuatu perbuatan akibat dari pada yang mereka lihat itu akibat dari usia yang terlalu muda dan di dalam keadaan yang asyik ingin mencuba sesuatu yang baharu bagi mereka.

Namun pada penilaian keibubapaan pada hari ini, penerapan disiplin ini hanyalah dinilai dari sudut pandangan kepentingannya kepada anak-anak. Tidak dapat bersama kita nafikan itu benar, ia penting untuk anak-anak. Tetapi, untuk menanam rasa penting itu, ia harus ada pemahaman yang kuat terhadap kepentingan tersebut. Pemahaman itu tidak akan mampu kita tanamkan jika, ibu bapa sendiri tidak benar-benar memahaminya. Kebersamaan dalam menerapkan disiplin anak-anak membawa ibu bapa bukan sekadar percaya bahawa sesuatu peraturan itu dibuat disebabkan kepentingannya, bahkan memahami bagaimana disiplin itu akan mampu mengubah keadaan diri terutama perubahan diri pada ibu bapa. Maka, ibu bapa juga harus memperakui secara umumnya, perubahan akan terus berlaku pada diri dan begitulah juga yang akan dipegang oleh anak-anak kesan dari yang dicontohkan oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa yang menekankan disiplin tetapi tidak bersama dengan anak-anak akan menimbulkan persepsi bahawa yang didisiplinkan itu tidaklah penting sangat. Itulah yang digambarkan. Maka, perilaku yang didisplinkan itu dilakukan hanyalah untuk memuaskan hati ibu bapa mereka dan tidak akan lebih dari itu. Kenyataan ini, bukanlah bermakna sebaliknya, tetapi bersama kita bayangkan, lihat dan dengarkan maklum balas anak-anak walaupun dalam keadaan kita lakukannya bersama-sama, masih juga mengambil masa yang panjang untuk mereka fahami apakah kebaikan sebenar disebalik disiplin tersebu, inikan pula juga penerapan itu hanya dengan jeritan, tengkingan dan bebelan. Sudah pasti ia akan mewujudkan satu perasaan menyampah, membosankan dan lebih parah jika timbul perasaan menyampah.

Wahai ibu bapa. Setiap disiplin yang hendak diterapkan kepada anak-anak, hendaklah diketahui sebab dan alasan yang kukuh pada pandangan diri kita untuk kebaikan semua. Disiplinkan sesuatu yang akan menjadi manfaat untuk anak-anak. Bimbing mereka untuk memahami kepentingannya dan pada masa yang sama, sebagai ibu bapa juga hendaklah sentiasa berusaha untuk menambah keyakinan terhadap apa yang didisiplinkan itu. Langkah itu akan disusuli dengan melakukannya bersama-sama dan sekaligus memberikan disiplin kepada diri kita sendiri untuk melakukannya. Anak kita adalah mesin fotostat yang akan menghasilkan apa yang dilihat oleh mereka dari diri kita.

No comments: