Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

MUDAKAN MASA UNTUK ENJOY?

Muda ini masa yang sangat dimimpikan oleh ramai orang. Bagi anak muda, mereka tidak dapat membayangkannya kerana belum pun melaluinya tetapi untuk yang dewasa, situasinya amat berbeza kerana telah melaluinya. Maka ramailah yang dewasa ini mula berangan-angan semula, "kalaulah aku muda macam dulu," mahu dibuat semua perkara. Mahu dirasa semua perkara dan segala macam mahu datang kerana pada mereka segalanya mereka mampu lakukan walaupun pada dasarnya ia mustahil. Persoalannya, adakah sememangnya semua pengalaman muda begitu? Seronok benarkah muda ini dan bettulkah masa muda untuk 'enjoy' benar?

Perjalanan kehidupan memang tidak dapat kita lari dari melalui zaman kepemudaan. Zaman kita berada pada waktu dirasakan terbaik dan seolah-olah merasai pelbagai pengalaman yang mengujakan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sehinggakan ada sebahagian kita berasa, jika tidak melalui zaman muda ini dengan kegembiraan, hiburan, maka kita telah membazirkannya. Pemikiran begini adalah pemikiran yang menghampiri kepada kekalutan dan kegelapan. Pemikiran yang sebenarnya menilai dunia ini tempat kehidupan yang akan kekal buat kita. Anak muda begini merasakan kehidupan dunia ini ditentukan oleh tangan-tangan mereka sendiri. Ia merupakan satu bentuk perhambaan yang telah diwariskan oleh masyarakat terdahulu yang telah hilang punca berita gembira dan benar dari para rasul sehingga Allah s.w.t. mengutuskan kepada mereka rasul demi rasul untuk dikembalikan kepada kebenaran. Namun, yang banyaknya tercatat dalam sejarah adalah ramainya yang terus tersesat dan tersasar.

'Enjoy' adalah berbeza maknanya bagi setiap kita. Sekiranya pemikiran kita mengungkapkan perkataan ini dengan membawa maksud bersenang-lenang, berbuat apa sahaja tanpa mengira dosa, berhibur dan melakukan aktiviti yang hanya membesarkan nafsu dan kemahuan, maka benarlah kita berada di dalam kekalutan dan kegelapan. Maka pada suatu ketika dahulu telah diutuskan rasul buat mereka ini, namun hari ini, itu adalah mustahil berlaku. Sebab itu ditimbulkan persoalan, benarkah semua orang dewasa melalui zaman mudanya dengan 'enjoy'? Atau kitakah anak muda yang mula menyahut seruan berdakwah sebagai yang dicontohkan baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam? Sebenarnya, ada dikalangan kita yang menyesali kehidupan mudanya. Dibiarkan waktu dalam kondisi tubuh paling gagah, pemikiran cerdas dan keupayaan pergerakan yang tidak terbatas itu dengan perkara yang menyebabkan mereka menyesal sepanjang hayat hanya kerana termakan dengan kata-kata, 'enjoylah dulu'. Ia merupakan satu pembaziran waktu yang amat ketara. Kehidupan sememangnya adalah waktu untuk kita bersenang-lenang, namun harus diingat, kesenangan itu adalah modal untuk kita persembahkan keberuntungannya diakhirat kelak. Allah s.w.t. berikan kesenangan itu untuk kita semakin banyak mengingatinya bukan melupakannya. Oleh sebab yang demikian, bagi orang yang beriman, kesenangan itu juga adalah ujian bagi mereka. Apabila datang kesenangan bersamanya ujian untuk menilai rasa syukur kita manakala pada setiap kesusahan penilaiannya adalah kesabaran insan itu.

Anak muda seharusnya 'enjoy' dengan kehidupan yang dipinjamkan dengan visi kehidupan yang jelas dan pasti. Hayatilah nilai kepemudaan itu dengan perkara yang banyak membawa manfaat pada kehidupan yang seterusnya. Apa yang telah berlaku semalam hanya sejarah yang perlu dijadikan pengajaran dan diambil pelajaran. Apa yang akan berlaku esok adalah natijah dari usaha yang sebenarnya berlaku hari ini, pada saat dan tika ini. 'Enjoy'lah dalam kehidupan yang mencari nilai ketuhanan serta keseimbangan antara yang diciptakan dan yang Menciptakan. Usah kita 'enjoy' dengan hanya berat sebelah dengan meletakkan kepentingan kekitaan sahaja. Maka tidak hairanlah mengapa hari ini ada ramai juga dikalangan anak muda yang mula menunjukkan 'enjoy' mereka kepada perkara-perkara bersifat kemasyarakatan dan dakwah. Ini tidak bermakna mereka bersuka-ria, bergembira tidak tentu hala, tetapi pada mereka , senyuman orang lain, kemudahan untuk orang lain, melapangkan urusan orang lain, itulah erti 'enjoy' pada mereka. Senang hati dan lega rasanya buat mereka.

Anak muda yang memilih 'enjoy' sebegini tidak punya banyak masa untuk berpeleseran, melepak dan berehat sebaliknya sentiasa ada sahaja idea dan perancangan untuk mereka melakukan sesuatu. inilah dunia dakwah anak muda. Penat dan sedih itu sudah menjadi asam garam kehidupan bahkan pada usia muda mereka telah melaluinya, maka, pasti tidak sukar untuk mereka depani di waktu usia semakin senja. Anak muda ini telahpun bersiap bukanlah dari segi material, tetapi yang lebih utama adalah rohani dan intelek mereka dek kerana latihan yang begitu mengesankan. Anda bayangkan sahaja jika anak muda itu tidak pernah melalui pengalaman sukar, bagaimana reaksi mereka apabila berhadapan dengan keadaan itu? Lihat sahaja kita hari ini, yang tidak berhadapan kesusahan sebagaimana datuk dan nenek kita sebelum merdeka, bagaimana kehidupan kita? Bersahaja dan tidak bersungguh-sungguh kerana semua perkara telah tersedia dihadapan mata. Jika hari ini, anak muda kita malas berfikir, maka bersedialah untuk berhadapan dengan masyarakat yang tidak mahu berfikir. Jika anak muda kita cepat bosan dan berputus asa, maka bersedialah dengan masyarakat yang juga akan selalu mengubah budaya dan mengubah kemahuannya hanya kerana yang dilaluinya itu terlalu sukar. Itulah gambaran masa hadapan kita. Ayuh, bangkitlah anak muda! Kudratmu itu ada, maka manfaatkanlah. Jadikan masa mudamu untuk 'enjoy' kehidupan dunia yang dipersiapkan untuk akhiratmu.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...