Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

DAKWAH ITU APA?

"Umar, buang sampah dalam tong sampah, bukan buang merata-rata begitu," tegur ayah kepada anak kecilnya.

"Kenapa tak boleh, bukan dalam rumah kita pun, nanti adalah la tukang sapu tolong sapukan?" Soal Umar kepada ayahnya.

"Ya, tetapi Nabi ajarkan pada kita supaya jaga kebersihan, lagipun, kalau Umar tidak buang merata-rata, kan itu akan mudahkan kerja tukang sapu nanti?" Ayah cuba memberi rasional nasihatnya.

Umar bingkas bangun dan mengutip tin minuman yang dicampakkan tadi, sambil bercakap sendirian, "Senangla kerja tukang sapu nanti…"

Ayah cuma tersenyum mendengar. Tanpa sedar, seorang ayah telahpun berdakwah kepada anaknya sendiri. Persoalannya, bolehkah dakwah ini dilakukan kepada ahli keluarga sendiri yang sudah semestinya Islam? Tegur buang sampah itu dakwah? Senangnya dakwah kalau begitu?

Ya, dakwah memang mudah. Bahkan semua orang boleh melakukan dakwah tidak kira usia, kedudukan dan di mana sekalipun kita berada bahkan kepada siapa pun yang kita temui. Dakwah adalah ajakan, panggilan atau seruan. Setiap hari pasti kita ada melalui pengalaman mengajak sesiapa untuk melakukan sesuatu atau memanggil mereka atau mungkin dengan cara menyeru mereka. Bahasa mudah untuk kita adalah ajak. Dakwah ialah mengajak insan lain kepada kebaikan. Kebaikan yang bagaimana? Jangan kita silap. Kebaikan tidak akan boleh bercampur dengan hal-hal yang buruk, maka sekiranya berlaku percampuran maka salah satunya akan terpadam, kebaikan atau keburukan. Namun, lama kelamaan, keburukan itu juga akan terpadam kerana yang hak akan tetap timbul menenggelamkan yang batil. Maka dakwah ini kerja mengajak orang untuk berbuat perkara baik yang diredhai Allah s.w.t.. Apa sahaja perkara baik, maka disitu pasti ada nilai dakwahnya dan pastinya ada ganjaran kebaikan disebaliknya. Dakwah juga ada seninya. Dakwah bukanlah semata-mata perkataan tetapi yang lebih berkesan adalah perbuatan. 

Jika ditelusuri, terdapat pelbagai pentafsiran dakwah. Tetapi secara praktiknya, sekiranya kita punya niat melakukan sesuatu, pastikan ia diniatkan kerana Allah s.w.t. termasuklah apabila kita ingin mengajak orang lain melakukannya. Apabila niat itu untuk Allah, demi redha Allah, maka ajakan itu menjadi dakwah. Orang yang mengajak kerana Allah s.w.t. adalah disebabkan rasa kasih mereka kepada orang yang diajak itu, tentulah bukan atas dasar kebencian. Maka, ajak sebegini sepatutnya berlaku saban waktu oleh orang-orang yang benar-benar kasih kepada kita dan ingin melihat yang terbaik buat kita. Dakwah juga adalah ajakan kembali kepada jalan kebenaran. Sebab itu dakwah seharusnya tidak bercampur dengan sebarang perkara keburukan. Ketika berdakwah, jangan diadakan aktiviti maksiat. Ketika berdakwah usah disertakan umpat mengumpat. Ketika berdakwah, elakkan pembaziran dan ketika berdakwah, rendahkan diri jangan merasakan diri lebih baik dari orang lain. Niat orang yang berdakwah adalah untuk menjadikan orang lain lebih baik dari sebelumnya bahkan lebih baik dari diri kita sendiri. Jika dakwah itu ada seninya, berbuat apa yang kita dakwahkanlah yang paling berseni kerana itulah dikatakan akhlak Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam seperti Al-Quran. 

Panggilan seperti, 'jom solat', 'jom jadi baik', 'jom berdoa' juga adalah sebahagian dari dakwah. Kadangkala, panggilan itu tidak perlu keluar melalui lidah, tetapi cukup sekadar dengan perilaku yang menyebabkan orang terpanggil untuk melakukannya sebagaimana terpanggilnya orang lain untuk berbuat baik kepada haiwan, menolong orang susah, membantu fakir miskin bahkan mungkin mendengar nasihat secara tidak disengajakan apabila kita pasangkan doa-doa, bacaan Al-Quran, ceramah dan sebagainya sambil didengari oleh orang yang bersama kita. Maka, panggilan sebegini, amat mudah dilakukan dan kerap kali boleh kita lakukan bahkan juga ditempat-tempat awam dan terbuka. Ini sebahagiannya termasuk dalam akhlak mulia dan sekiranya ada yang mencontohinya, maka pahala akan dapat sama kepada orang yang memulakannya. Ini juga dakwah dan sekiranya kita suka melakukan kebaikan, tidak salah untuk ditunjukkan dengan syarat sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini, yang kita lakukan itu hanya untuk perhatian dan keredhaan Allah s.w.t.. Seni utama dan yang terpenting dalam dakwah itu adalah seni dalam hatinya, memilih masa, memilih perkataan, memilih siapa serta memilih situasi untuk melakukan panggilan itu. Seni ini hanya terdapat pada hati mereka yang sentiasa mendapat petunjuk dari Allah s.w.t..

Dakwah melalui seruan umpama, laungan azan. Kadangkala orang dengar dan bertindak, kadangkala tidak. Selalunya, diabaikan sahaja. Sebagai contoh poster-poster kutipan derma untuk bantuan kepada Palestin dan sebagainya. Ada dikalangan yang diseru segera berderma, ada yang bertangguh dan ada yang abaikan sahaja. Namun kerja seruan ini juga tidak susah. Selalunya, kita kongsikan dengan rakan kita walaupun kita sendiri tidak menderma, itu juga sebahagian dari dakwah. Cuma, perlulah dipastikan kebenarannya sebelum kita sebarkan apa-apa permohonan bantuan itu. Maka, pada hemat kita, benarlah kerja dakwah ini mudah. Banyak cara, boleh dibuat dimana-mana. Tetapi kenapa ramai yang tidak melakukannya? Atau sebenarnya, kita tidak tahu bahawa kita telahpun melakukannya? Dakwah itu memang mudah tetapi yang harus difahami, pengakhiran dakwah itu belum tentu mudah. Ini adalah janji Allah s.w.t. sebagaimana yang telah dikisahkan melalui kisah para Nabi dan Rasul terdahulu. Berbuat baik itu dakwah, dan berbuat baik itu mudah, tetapi apabila perbuatan baik kita itu berhadapan dengan pilihan benar atau salah, maka inilah cabaran sebenar dalam dakwah. Berkata benar itu memang pahit, bagi orang yang berdakwah, bukan kebenaran itu yang pahit, sebaliknya menerima maklum balas itu yang kadangkala ia menghilangkan pahala dakwah kita tadi dek kerana marah atau berasa tidak senang dengannya.

Begitulah, pusingannya. Dakwah bermula dengan berbuat kebaikan, sama seperti permulaan hidup Baginda Rasul sallallahu'alaihiwasallam, sehingga Baginda mendapat gelaran Al-Amin. Insan yang mendapat kepercayaan seluruh orang Mekah kerana akhlaknya yang amat mempersonakan. Namun, apabila sampai perintah menyatakan kebenaran, terlihatlah kesukaran sebenar dan bagaimana Baginda diuji untuk bersabar dengan maklum balas yang diterima selepas dakwah itu dilakukan. Ya, cabarannya disitu. Sebab itulah, pelbagai buku tatacara dakwah disusun dan dikarang melalui perkongsian pengalaman para pendakwah dalam mendepani karenah masyarakat yang pelbagai. Apabila kerja dakwah kita kecil, maka, cabarannya turut kecil. Namun, apabila kita mula usahakan kerja dakwah yang lebih besar, maka, nantikanlah ujiannya yang akan datang yang juga akan membesar. Ini bukanlah momokan yang akhirnya kita memilih untuk buat dakwah yang senang sahaja, sebaliknya, dalam kerja dakwah juga ada tahap-tahap sebagaimana tahap dalam permainan telefon bimbit yang kita mainkan. Dakwah ini kerja Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam dan para nabi yang terdahulu. Kita diminta Allah s.w.t. untuk menyambungnya kerana kita ini ummat yang terakhir dan tidak ada perutusan rasul lagi selepas Baginda wafat. Oleh yang demikian, adalah menjadi tuntutan untuk kita semua berdakwah sama ada kita memilih untuk lakukannya secara kecil-kecilan atau besar-besaran, usaha itu mesti dijalankan. Pastilah kerja dakwah ini dinilai pada tahap keupayaan kita dan untuk anak muda juga begitu. Pada waktu kita memulakan usaha kecil, ada mereka yang sedang berusaha pada yang lebih besar dan akan sampai waktunya nanti, anak muda juga akan melakukan dakwah yang lebih besar. Anak muda tidak pernah terkecuali dari tugas ini bahkan seharusnya mereka disediakan untuknya. Anak muda juga mesti berdakwah. Tanggungjawab dakwah tetap ada atas bahu siapapun dan perlulah sedar serta melaksanakannya. Sampaikanlah walaupun cuma satu ayat.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang