Paling utama dalam melaksana tugas kita sebagai fasilitator adalah menyedari bahawa anda sedang memikul tanggungjawab yang besar dengannya. Ia tampak mudah serta menghiburkan untuk dilaksana, namun apabila kita melakukannya dengan misi dan visi yang jelas, kita akan dapat merasakan betapa fasilitator memainkan peranan yang penting dalam membentuk watak adik-adik di dalam bimbingan mereka. Fasilitator pada hakikatnya mudah tetapi bukan kerja ringan sepertimana yang ramai fahami sehingga mereka mengambil sikap acuh tidak acuh soal persiapan, pembinaan fikiran, kesediaan mental dan sebagainya. Ada juga sebahagian mereka berasa bahawa fasilitator adalah aktiviti mengisi masa lapang atau aktiviti kerja 'part-time' yang menghiburkan. Sebaliknya, bagi para fasilitator yang serius kepada peranan mereka, fokus dan jelas misi dan visi mereka mengenai tanggungjawab terhadap adik-adik bimbingan mereka akan merasakan ianya tugas berat. Fasilitator diberikan masa yang singkat untuk membina persepsi baru, menambah motivasi dalam diri adik-adik peserta, membuka minda serta memperluas dimensi pemikiran mereka yang pastinya bukan dengan hanya goyang kaki sambil bermain gajet, kemudian memberikan pesanan kononnya kehidupan ini mudah untuk kita lalui. Hidup, 'kena enjoy'.
Fasilitator berperanan sebagai ketua yang mengepalai agenda dalam proses aktiviti bersama peserta. Apabila mengetuai agenda, ini bermakna, setiap fasilitator perlu memahami objektif kursus serta aktiviti yang dijalankan dengan sebaik mungkin bagi memastikan hala tuju pembinaan peserta berada pada landasan yang betul. Sebahagian fasilitator profesional mengistilahkan peranan ketua pada seorang fasilitator diibaratkan seperti juruterbang. Kemahiran mereka menguasai kapal terbang, menerbangkannya dan membawanya mendarat adalah penting. Ketika dalam penerbangan, tiada kuasa yang ditunjukkan melainkan diserahkan kepada anak-anak kapal dan penumpang itu sendiri untuk melakukan apa yang mereka mahu selagi mana mereka mengikuti peraturan yang telah ditetapkan. Maka, seorang fasilitator, perlu menetapkan peraturan khusus untuk ahli kumpulannya agar penerbangan dapat berjalan dengan lancar, fokus kepada hala tuju yang sebenar kerana ketika di langit biru, utara, selatan, timur dan barat adalah sama sahaja, cuma juruterbang sahaja yang dapat memastikan ke mana haluannya sehinggalah ia mendarat.
Selain memastikan pendaratan selamat, seorang fasilitator juga harus menjadi guru yang sentiasa mencorakkan pemikiran anak buahnya di dalam kumpulan. Guru dalam erti kata lebih tepat lagi bukanlah mengajar, tetapi memberi tunjuk ajar. Mereka menjadi contoh yang ingin diikuti serta menampilkan diri sebagai seseorang yang jujur, amanah dan bertanggungjawab. Guru berusaha menyampaikan apa sahaja yang mereka ketahui dan menjadi pemangkin kepada ahli kumpulannya untuk meneroka sebarang kemungkinan jika bukan dalam pengetahuan mereka, merekalah yang menjadi penghubung kepada insan yang punya pengetahuan mengenai sesuatu perkara itu. Ini menjelaskan, walaupun fasilitator bertindak sebagai guru, bukan bermakna mereka perlu tahu semua perkara dan apa yang lebih penting, bukan perlu untuk cukup pengetahuan apabila menjadi fasilitator, sebaliknya yang paling utama adalah sentiasa berusaha untuk menambah pengetahuan.
Peranan yang paling utama yang menyebabkan mengapa fasilitator mampu menjadi ejen perubahan seseorang walaupun dalam tempoh masa yang singkat adalah peranan mereka sebagai teman. Bukan 'teman mesra' tetapi teman untuk sentiasa terbuka mendengar cerita suka dan duka mereka. Fasilitator yang menjadi teman menyediakan bahunya untuk disandar namun harus disedari, ia bukan bermakna semua perkara kita turuti. Peranan teman ini adalah sebagai pendengar yang baik serta penasihat yang budiman. Mendengar dengan respon yang merangsang mereka untuk mencari jalan keluar atau membuat penyelesaian yang terbaik. Memberi nasihat dalam keadaan menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berserak. Kemahiran ini menyebabkan seorang fasilitator yang menjadi 'teman mesra' amat berisiko dalam perhubungan dengan ahli kumpulannya. Menyimpan perasaan atau memberikan perhatian lebih akan mengakibatkan seorang fasilitator bersikap berat sebelah yang akhirnya, hanya kerana seorang, kita korbankan yang lainnya. Korban lebih ramai berbanding yang diselamatkan. Bahkan apa yang patut diberikan perhatian adalah niat seorang fasilitator dalam memulakan tugas mereka bersama ahli kumpulan mereka. Ada misi, ada agenda dan ada hala tuju yang perlu diselesaikan, janganlah dirosakkan dengan layanan perasaan yang dikhuatiri berpunca dari hawa nafsu yang tidak terkawal.
Oleh sebab itulah, seorang fasilitator seharusnya memahami hakikat sebenar mengapa mereka menjadi fasilitator dan bagaimana ia memberi manfaat kepada diri dan mereka yang terlibat dengan kita. Mengetahui sebab itu dengan jelas, barulah disusuli dengan peranan sebagai ketua, guru atau teman kepada ahli kumpulan mereka. Jangan mudah berasa selesa dengan keadaan kita yang disukai oleh adik-adik peserta kita. Apabila seorang fasilitator belajar memahami karektor ahli kumpulan mereka, pasti akan tersedar bahawa tingkah laku tertentu memberikan notasi tertenu terhadap sikap dan nilai yang dipertontonkan peserta kepada kita. Bagi seorang peserta, mesra tidak semestinya suka, ketawa tidak semestinya gembira. Malu tidak semestinya tidak tahu, diam tidak semestinya pendam. Jadilah fasilitator yang berkesan dalam memainkan peranan sebagai ketua, guru dan teman.

Comments