Motivasi boleh datang dari pelbagai keadaan. Sumber utamanya ada tiga iaitu melalui apa yang kita lihat, apa yang kita dengar dan apa yang kita rasa. Melalui tiga sumber utama ini akan melahirkan dorongan atau perbuatan untuk kita pergi atau bergerak ke arah satu perkara atau untuk kita mencapainya. Sebagai contoh, apabila kita berjumpa dengan singa yang liar, maka ketika itu, dorongan utama kita adalah untuk menyelamatkan nyawa kita. Akal waras manusia akan segera berfikir pelbagai cara dan kemungkinan untuk melakukannya demi mencapai matlamat menyelamatkan nyawa. Maka dari situlah disimpulkan sebagai ada motif dan kita beraksi maka adalah motivasi.
Namun antara keduanya itu ada faktor lain juga yang membantu tiga sumber itu untuk menggerakkan kita memberikan maklum balas sama ada terlalu agresif, sederhana atau pasif. Pertama adalah keperluan asasi seseorang. Apa dia keperluan asasi seseorang? Ada lima iaitu agama atau kepercayaan, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Maklum balas seseorang akan sangat agresif apabila mereka berhadapan dengan keperluan asasi ini. Sebab itulah, apabila nyawa kita berhadapan dengan singa yang buas, kita mampu berlari pantas, memanjat pokok, melompot sungai atau mungkin berenang. Motivasi diri kita juga sifatnya begitu. Kebanyakan kita akan rasa kurang bermotivasi atau pasif adalah kerana kurangnya perasaan untuk memenuhi hak asasi tersebut mungkin kerana hak asasi itu tidak berada pada tahap sangat meruncing atau dirasakan tidaklah penting sangat. Mungkin kerana mata pernah melihat keadaan yang lebih susah pada orang lain, mendengar cerita kesusahan orang lain yang lebih dahsyat atau pernah merasai kesusahan yang lebih parah. Maka, motivasinya, jadi sederhana.
Kedua adalah faktor tahu mereka. Apabila seseorang itu tidak tahu bahawa singa adalah binatang karnivor, maka, mungkin perasaan ingin menyelamatkan diri itu tidak agresif. Mereka mungkin takut kerana tidak kenal, tetapi mereka tidak tahu mengenai singa yang memakan daging. Maka, tahu juga penting dalam usaha memotivasikan diri kita juga orang lain. Disinilah peranan ilmu, lebih banyak yang diketahui maka akan lebih risau dan berhati-hati, apabila datang masalah dan mereka tahu akan ada yang menolong, maka mereka 'chill' sahaja. Tetapi sebaliknya, jika mereka tahu lebih dari itu, maka mustahil mereka akan bersahaja menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupannya. Namun, tahu ini bukan bermaksud menilik nasib, sebaliknya, ia adalah hasil perkongsian dari pengalaman orang lain serta pembelajaran dari teori dan praktikal mereka yang mempunyai pengetahuan tentangnya.
Ketiganya adalah faktor ke mana hala ingin di tuju. Kehidupan tanpa tahu sebab, kerana itulah segala motivasi yang diharapkan tidak membuahkan hasil. Buatkanlah beribu kursus motivasi, tetap tidak sampai kepada penghujung kerana pembinaan matlamat itu sendiri sebenarnya tidak pada landasan asas yang benar. Insan ini harus disedarkan tentang peranan yang wajib mereka penuhi di akhirat sebelum menyusun peranan dan kewajiban di dunia. Akhiratnya jelas, dunianya mudah untuk diselaraskan. Tidak kita nafikan, ramai juga insan yang berjaya walau tidak ada matlamat akhirat, itu amat bergantung kepada sistem penilaian yang kita gunakan iaitulah dalam hal faktor yang keempat, iaitu kayu ukur kejayaan itu sendiri. Melepaskan diri dari singa yang mengejar, kayu ukurnya adalah hidup berjaya atau mati selamat atau bagaimana kayu ukurnya itu? Pernah dikisahkan bahawa ketika Ibrahim bin Adham berjalan bersama para muridnya, tiba-tiba seekor singa menghadang. Para muridnya berkata, "Wahai Ibrahim, binatang buas ini menghalangi kita." Ibrahim memandang singa itu dan berkata, "Wahai singa, jika engkau diperintahkan untuk berbuat sesuatu kepada kami, lakukanlah perintah itu! Jika tidak, menyingkirlah!" Singa menggerakkan ekor dan terus melarikan diri. Para muridnya kehairanan kerana singa memahami ucapan Ibrahim. Semoga Allah redha kepadanya dan memberi kita manfaatnya.
Apabila hidup dan mati itu diletakkan pada kuasa Dia yang menghidupkan dan mematikan, maka, hidup mati bukan lagi kayu ukur keselamatan, tetapi ia telah menjadi nilai penerimaan kehidupan dan keutamaannya adalah keizinan dan keredhaan Allah s.w.t. itu sendiri. Hebatkan? Oleh sebab itulah, dalam usaha untuk kita sebagai seorang insan yang ingin memotivasikan orang lain, antara yang boleh kita lakukan adalah;
- Kenali diri kita sendiri dan adakah kita termasuk dalam sebahagian seperti yang kita bincangkan di atas? Ada motif dan adakah kita beraksi dengan agresif atau pasif, faktor-faktor kita kuat atau tidak.
- Keraplah kita berdamping dengan orang yang sentiasa memberikan kita semangat dan kita juga harus menjadi insan yang rajin memberi semangat kepada orang lain. Jadikan diri kita contoh kepada mereka.
- Jadikan diri kita sebagai pemula, bukan penunggu. Tunggu dan lihat. Sentiasalah kita memulakan, kerana pengalaman memulakan akan membina keyakinan diri kita walaupun kita hanya mulakan dengan perkara yang kecil dan mintalah mereka juga untuk mulakan, jangan tanamkan keraguan sekiranya yang mereka hendak mulakan itu terasa kecil. Sebaliknya, galakkan.
- Buatlah yang kecil itu berterusan. Pesan kepada mereka buat sedikit, tapi konsisten. Jangan 'poyo' buat yang hebat tetapi hanya sekali. Buat yang kecil atau sedikit, gagalnya tidaklah sama sakitnya dengan usaha yang terlalu besar. Kita akan mudah untuk memberikan contoh usaha dan jatuh bangun orang lain dengan usaha mereka yang lebih besar dari usaha mareka itu.
- Keraplah kita bertanyakan khabar mereka dan jangan berputus asa dengan mereka. Anggaplah, tiada orang lain akan bantu mereka jika bukan kita.
- Penting untuk kita pastikan, bantuan atau motivasi kita kepada mereka hanya untuk redha Allah, baik mereka, bukan keuntungan kita di dunia sahaja bahkan di akhirat. Inilah nilai keikhlasan yang tinggi yang kita harapkan. Jangan berkira dengan wang ringgit kita, amalan dan usaha kita itu akan jadi sia-sia.
- Berpeganglah bahawa kejayaan itu milik Allah, sama ada kita berjaya atau tidak memotivasikan mereka, ingatlah, kejayaan bukan ditentukan oleh berjayanya mereka begitu juga kegagalan bukan disebabkan gagalnya mereka. Pada mata orang mungkin kita gagal, tapi pada mata Tuhan, mungkin gagal itulah pencetus kejayaannya selepas itu, 'Who knows?'
Comments