Pemimpin yang ikhlas dan prihatin adalah pemimpin yang memiliki kemampuan mempengaruhi dengan kelebihan peribadi mereka. Menurut catatan buku Gaya Kepimpinan Islam yang Berkesan dan Berpengaruh karangan Jamal Hasan Sa'd Madhi, terdapat tiga ciri melalui kemampuan ini iaitu berinisiatif (al-mubada'ah), berjiwa pemimpin (al-qiyadah) dan dipercayai (as-siqah). Apabila segala gerak kerja pemimpin itu tidak untuk memenuhi matlamat peribadinya, sebaliknya mereka sering melebarkan kasih sayang melalui nilai keprihatinannya yang tinggi dan sentiasa menyatukan kepentingan antara individu dengan ahli kumpulan itulah yang dimaksudkan dengan yang dipercayai. Pernah dicatatkan oleh John Fuhrman di dalam bukunya yang berbunyi, "Caring about--without trying to figure out how you'll be rewarded--is the fastest way to achieve wealth and happiness." Pemimpin yang ikhlas dan prihatin tidak akan pernah memikirkan tentang apa balasan yang akan diperolehi tetapi melakukannya sebagaimana yang mereka rasakan perlu melakukannya untuk kebaikan semua.
Pemimpin yang ikhlas dan prihati akan melayani setiap yang dipimpinnya dengan penuh keadilan. Keadilan itu adalah petanda keikhlasan tanpa mengira siapa latar belakang mereka melainkan penilaian itu adalah semata-mata berdasarkan keberkesanan mereka melakukan sesuatu tugasan atau pekerjaan. Mereka mat percaya bahawa, kejayaan orang yang mereka pimpin itu adalah kejayaan mereka dan kegagalan yang dipimpin itu juga adalah kegagalan mereka. Mereka penuhkan di dalam benak fikiran dan dada mereka hanya untuk memastikan orang yang mereka pimpin sentiasa berada di dalan keadaan yang terbaik dan gembira. Kegembiraan sebenar mereka adalah kegembiraan yang dipimpinnya dan kegembiraan itulah yang akan mendatangkan kepuasan kepada diri mereka.
Oleh sebab itulah, pembinaan pasukan yang dipimpin dengan berkesan juga amat bergantung kepada bagaimana pemimpin itu menunjukkan keprihatinannya terhadap ahli pasukannya. Pemimpin itu akan cuba untuk melayani setiap keinginan dan keperluan ahli pasukannya selagi mana ia dinilai dapat membantu moral pasukan. Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam kitab 'Manaqib Amirul Mukminin' menukilkan sebuah kisah mengenai Utbah bin Farqad, gabenor Azerbaijan sewaktu pemerintahan Umar bin Al-Khattab r.a.. Suatu ketika beliau ditawarkan makanan oleh rakyatnya dan ia merupakan suatu kelaziman ketika itu. Beliau dikhabarkan, nama makanan itu adalah 'habish' yang dibuat daripada minyak sapi dan kurma. Setelah menjamahnya, gabenor tersenyum sambil mengucapkan Maha Suci Allah (subhanAllah) kerana manis dan enaknya makanan itu. Lalu beliau meminta agar makanan itu disediakan dengan lebih enak lagi untuk dihantar kepada Khalifah Umar bin Al-Khattab. Setibanya dua orang utusan beliau ke Madinah, mereka langsung bertemu khalifah dan menghidangkan makanan itu kepadanya sambil menjelaskan apakah makanan itu. Lalu Umar bin Al-Khattab pun bertanya sebelum menjamahnya, "Adakah seluruh rakyat Azerbaijan dapat menikmati makanan ini?"
Terkedu kedua-dua perutusan itu dan menjawab, "Tidak. Tidak semua boleh menikmatinya." Tampak berang sekali Khalifah Umar bin Al-Khattab dan segera memerintahkan kepada perutusan tersebut untuk pulang ke Azrbaijan dan diutuskan surat kepada gabenornya,
'.....makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengenyangkan perutmu.'
Begitulah contoh bagaimana keprihatinan seorang pemimpin yang bakal dikasihi oleh orang yang dipimpinnya. Nilai ikhlas dan prihatin ini merupakan seni dalam membina pengaruh kepimpinan. Pengaruh ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengikat hati mereka yang dipimpin untuk terus melakukan kebaikan serta melalui dua nilai ini, seseorang pemimpin itu juga pasti telah bersedia dirinya untuk dipertikai, dinilai dan diberikan teguran. Apabila seseorang itu ingin berusaha untuk menjadi pemimpin yang baik, maka seharusnya mereka mempunyai dua nilai; ikhlas dan prihatin; yang menggambarkan seseorang pemimpin itu memimpin orang lain dengan nilai kasih sayang, teladan serta berintegriti dalam tugasannya. Haruslah diingatkan kepada mereka yang diangkat menjadi pemimpin akan potongan hadis Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam ini yang bermaksud, “Apabila Allah menghimpunkan manusia yang terdahulu dan yang kemudian pada hari kiamat, tiap-tiap orang yang khianat akan diangkat satu panji-panji yang boleh dikenali ramai. Dikatakan kepadanya, Inilah pengkhianatan pulan bin pulan...”
Comments