"Apa yang kau tahu?" Beginilah herdik kita mungkin kepada anak muda kita apabila mereka cuba menyampaikan suara hati mereka. Mereka selalu cuba untuk jelaskan apa yang mereka fikirkan. Tetapi andaian kita, pandangan mereka itu tidak ke mana-mana. Mengapa? "Alah, budak setahun jagung, apa dia tahu," jawab orang dewasa. Tersinggung anak muda jika yang dewasanya memberikan layanan sebegitu. Seolah-olah mereka langsung tiada upaya untuk membuat pertimbangan dalam kehidupan mereka. Seolah-olah anak muda ini memang selalunya hanya menurut hawa nafsunya sahaja. Bunyinya macam zalim benar pandangan orang dewasa kepada anak muda. Benarkan begitu? Atau sememangnya anak muda ingin mengaku bahawa mereka ada kemampuan untuk berfikir dengan lebih baik dan matang? Atau orang dewasa ingin menafikan pandangan zalim itu? Maka, boleh ke anak muda ini memberi nasihat atau berdakwah?
Pada pandangan Allah s.w.t., nilaiannya bukanlah pada umur kita. Tinggi rendah kedudukan kita disisi Nya adalah tergantung kepada nilai ketaqwaan yang menjadi rahsia Nya. Maka, menilai anak muda dengan pandangan merendahkan itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Persoalannya adakah mereka layak untuk memberikan nasihat kepada orang lain? Bukan mereka tahu sangat pun. Kelayakan berdakwah tidak langsung diletakkan pada nilai atau bilangan umurnya. Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk berdakwah dan tidak dikhususkan dakwah itu kepada siapa pun. Sama ada yang berdakwah itu muda, yang didakwahkan itu dewasa, tiada syarat sah atau batal. Mengapa? Kerana dakwah adalah perbuatan yang dikhususkan untuk memanggil manusia kembali kepada Tuhannya. Siapa yang perlu kembali kepada Tuhan? Bagi setiap insan, pasti ada yang terhampir dengannya yang perlu diselamatkan. ibu, ayah, pak cik, mak cik, adik, kakak atau sesiapa sahaja. Jika dakwah hanya dikhususkan kepada yang dewasa, maka kesedaran yang Allah berikan di dalam hati anak muda itu akan jadi sia-sia dan tidak ada gunanya. Apabila telah datang kesedaran, maka, berdakwahlah dengan segala ilmu yang telah kita ada. Kekurangan ditambahkan, kelemahan diperbaiki.
Budak setahun jagung pun boleh berdakwah. Seorang anak kecil berumur 4 tahun, mungkin bertanya pada ayahnya, "Ayah dah solat?" Apakah anak itu bersalah sedangkan persoalan itu juga adalah satu dakwah yang mengingatkan ayahnya dikala terleka dek kerana bekerja atau sebagainya. Mari kita bayangkan bagaimana seorang raja seperti Nabi Sulaiman, yang memiliki segala kekuasaan mengambil pengajaran dari semut. Sebab itu, dakwah bukan soal siapa yang menyampaikan, setahun jagung atau tua keladi. Tetapi dakwah berkait rapat dengan hidayah. Pesanan dan bebelan seorang ibu tidak langsung berkesan kepada anaknya, tetapi pujukan seorang rakan karib mungkin boleh mengubah keputusan dirinya walaupun hakikatnya, pesanan dari si ibu dan rakan karib itu adalah serupa. Kenapa? Kerana hidayah itu Allah s.w.t. yang punya. Ia bukan milik kita dan bukan kita yang menentukan penerimaan orang terhadap apa yang kita sampaikan. Maka, anak muda jangan pernah berasa diri tidak layak atau belum cukup ilmu untuk berdakwah kerana semestinya ilmu memang tidak pernah cukup. Cuma harus diingati bersama, budak setahun jagung, apabila hendak berdakwah, perlu ada tatacara yang sesuai dengan orang yang hendak didakwahkan.
Maka, jika kita adalah budak yang baru setahun jagung, jangan pula berasa kita lebih tahu melainkan hanya Allah s.w.t. yang tahu semuanya. Ilmu adalah tunjang utama dan tambahi ia sekuat mungkin. Anak muda yang berani menyatakan apa yang difikirkan itu baik, namun perlu berani juga untuk menerima dan mengakui kesalahan apabila ternyata kita telah terlanjur dalam perkataan atau perbuatan. Anak muda harus menghiaskan dirinya dengan sifat berterima kasih dan sentiasa memohon maaf. Ia adalah bekalan dewasa yang amat berharga. Nilai berterima kasih adalah nilai padi, makin tunduk apabila berisi. Peribadi yang sentiasa memohon maaf ibarat pokok buah, dibaling batu dibalas buah. Keduanya adalah nilai kerendahan diri kerana menyedari semuanya datang dari Allah s.w.t.. Usahlah kita terlalu risaukan apa orang kata, tetapi risaulah bagaimana Allah memandang kita. Teguhkanlah lidah kita untuk menyatakan kebenaran yang benar serta melawan kebenaran yang batil. Kebenaran yang batil adalah semudah mengiakan yang biasa walaupun yang biasa ini salah dan kebenaran yang benar adalah membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

Comments