"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Al-Ahzab: 21)
Kita berusaha untuk mengikuti contoh ikutan yang terbaik ini dalam segala hal dan pada banyak masa kehidupan kita. Ambillah contoh dan telusurilah sekian banyaknya kisah-kisah sepanjang Baginda hidup sejak dilahirkan sehingga wafatnya. Latihan dan bimbingan fasilitator percaya bahawa, setiap individu fasilitator adalah insan yang akan memberikan kesan kepada anak buahnya, yang akan dicontohi, yang akan diikuti dan mungkin juga setiap tuturnya akan menjadi ingatan dan ikutan oleh orang lain. Tidak mungkin, insan yang kita harapkan memberikan kesan sebaik ini, tidak digariskan mengenai kepentingan akhlak pada diri mereka. Oleh seba itulah, kita menjadikan akhlak sebagai suatu kemestian bukan hanya syarat yang melengkapkan sesuatu kemahiran fasilitator. Sekiranya Myrick (1987) menggariskan bahawa seorang fasilitator perlu mempunyai sifat-sifat seperti mudah bekerjasama, berkeupayaan membantu orang lain dan bersikap positif, maka apabila kita letakkan syarat seorang fasilitator mestilah berakhlak maka ia secara umumnya akan memenuhikriteria itu bahkan lebih dari itu.
Menurut Wan Norjihan (2003), fasilitator yang efektif adalah disebabkan oleh sikap dan keterampilan peribadinya. Kedua-duanya terangkum sekali di dalam pembangunan akhlak diri sama ada merujuk kepada kualiti keperibadian mereka ataupun keterampilan dalam diri mereka bahkan mereka juga akan sering terkehadapan sebagai orang yang cemerlang serta dilihat cemerlang kerana memiliki tujuh akhlak pelajar atau individu cemerlang (Hasnan Kasan, 2010) iaitu;
- Akhlak terhadap Ilmu
- Akhlak terhadap Allah s.w.t.
- Akhlak terhadap Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam
- Akhlak terthadap ibu bapa
- Akhlak terhadap guru
- Akhlak terhadap jiran tetangga
- Akhlak terhadap rakan
Maka, dengan nilai akhlak yang sebegini sudah tentu akan memudahkan apa yang disampaikan serta menambah keyakinan diri seorang fasilitator dalam berhadapan dengan anak-anak buahnya di dalam kelompok. Kita fahamkan akhlak bukanlah semata-mata hubungan manusia dengan manusia tetapi ia adalah hubungan manusia dengan Pencipta, manusia dengan makhluk hidup yang lain selain manusia serta juga manusia dengan makhluk tidak bernyawa. Apabila seseorang fasilitator itu berharap bahawa mereka akan dapat membantu kelompok mereka, maka yang utama buat diri mereka adalah untuk membantu diri mereka sendiri. Buku Ensiklopedia Akhlak Rasulullah menerangkan, proses pembentukan hati dan akhlak perlu melalui tiga proses iaitu takhalli, tahalli dan tajalli.
Takhalli adalah proses pembersihan diri dari sifat-sifat buruk yang dicela. Sepertimana yang kita maklumi, untuk menghasilkan tindakan yang positif atau baik perlu datang dari pemikiran yang baik dan pemikiran yang positif atau baik terlihat dari perkataan yang kita pilih dalam percakapan kita, jadi perlu sentiasa mulakan perkataan kita dengan perkataan yang positif dan baik. Ini bukan bermaksud, mereka yang berasa dirinya tidak berakhlak dilarang sama sekali menjadi fasilitator. Sebaliknya, mereka semestinya mempunyai keazaman untuk melakukan perubahan terhadap diri mereka. Tiada manusia yang memiliki kesempurnaan akhlaknya selain Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam. Maka, lakukanlah proses pembersihan diri ini agar kita tidak menjadi seorang fasilitator yang hipokrit.
Tahalli pula adalah berusaha menghiaskan diri dengan perbuatan yang baik. Abu Dzar meriwayatkan, Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam pernah berpesan kepadanya, “Bertakwalah kepada Allah di mana pun kamu berada, ikutilah perbuatan buruk dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang terpuji supaya perbuatan baik itu dapat menghapus dosa perbuatan buruk (yang kamu lakukan), bergaullah dengan orang lain dengan menggunakan akhlak terpuji.” (Sunan Tirmizi)
Sifat baik dan buruk ini kita umpamakan seperti padi dan lalang. Lalang, tumbuhnya sendiri, tidak pernah dibajai atau disirami oleh manusia, tetapi ia akan tetap meninggi sehingga menutup pandangan mata manusia. Di dalamnya penuh dengan kemungkinan buruk seperti haiwan berbisa atau mungkin peralatan berbahaya yang tidak dapat dilihat oleh mata. Keindahan sesuatu itu akan tertutup apabila ada lalang bersamanya. Berbeza keadaannya dengan padi. Mesti dibajai dan disirami manusia, Mereka perlu memberikan perhatian kepadanya. Dijaga rapi dari dihinggapi atau didatangi makhluk yang boleh merosakkannya. Dibawahnya tanah lembab yang menyegarkan, terdapat hidupan yang mendapat manfaat darinya. Bahkan semakin berisi, semakin menunduk ia. Rumah yang ditengah sawah bendang itulah, ketika tiba waktu hijau dan menguning, itulah pemandangan yang indah untuk mata memandang. Maka, Takhalli adalah sifat buruk yang seperti lalang, mesti diracun dan ditebas. Tahalli adalah sifat baik yang mesti dibaja dan disiram. Tidak mungkin padi boleh tumbuh jika ada lalang, maka lalang harus dihapuskan dahulu sebelum kita berusaha untuk menanam padinya.
Tajalli adalah kesanya. Diri sudah mula rasa bertuhan. Berasa Tuhan itu sentiasa dekat dan sentiasa melihat setiap tingkah laku kita. Maka, akhlak kita akan bertambah sempurna walau dikala tiada siapa yang melihat kita. Sebagai seorang fasilitator, berakhlak bukan semata-mata untuk dilihat oleh orang lain, walaupun pada awalnya mungkin itulah yang menjadi dasar perubahan diri kita, tetapi sebenarnya, kita berakhlak kerana ingin dilihat Allah s.w.t. dengan akhlak itu dan ia akan menjadi nilaian sebenar diri kita nanti. Kita harus sedar bahawa Allah s.w.t. yang mengatur kehidupan kita, pada waktu kita memilih untuk meninggalkan kebaikan dan melakukan keburukan kerana berasa tiada siapa yang melihatnya, maka Allah s.w.t. boleh menjadikan diri kita dilihat orang yang mengenali kita, menjadikan itu satu kisah sensasi yang tersebar kepada orang lain atau mungkin menjadi bualan dalam diam sehingga timbul perasaa tidak percaya kepada kita.
Apabila kita mahu menjadi fasilitator, kita telah memilih untuk menjadi pembimbing. Bimbingan yang terbaik adalah dari tata cara kehidupan diri yang dicontohkan dengan perbuatan tidak hanya dengan perkataan. Sudah sememangnya, menjadi manusia adalah untuk menyempurnakan akhlak kita dan ini jelas dalam sabda Baginda Rasul sallallahu'alaihiwasallam, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia.” (HR Baihaqi)
Comments