Adakah anda pernah menonton drama lakonan Rosyam Nor, Izzue Islam yang bertajuk Wakaf Dosa? Sekiranya ada, maka pasti dengan mudah anda akan memahami apa yang dimaksudkan dengan wakaf dosa ini. Apabila sesuatu perbuatan kita itu dimulakan, dan ia adalah dosa, kemudian dituruti oleh orang lain hanya selepas kita melakukannya kerana mereka percaya perbuatan itu benar tetapi pada hakikatnya adalah salah atau fitnah, maka selagi mana perbuatan itu atau perkataan itu diulang-ulang maka selagi itulah dosanya kita tanggung bahkan sehinggalah kita meninggalkan dunia yang fana ini. Ia juga amat selari dengan makna wakaf harta yang menjadikan apa sahaja kebaikan yang terhasil dari harta wakaf itu akan berpanjangan sehingga ke hari kiamat. Bahkan bukan hanya pada harta, tetapi termasuklah perkataan baik yang diulang-ulang, perbuatan baik yang dicontohkan serta akhlak mulia yang diceritakan. Pesan Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam melalui riwayat Ibnu Majah,, "Tidaklah seorang penyeru yang menyeru kepada sesuatu perkara melainkan dia akan dihadapkan pada hari kiamat untuk bertanggungjawab atas seruannya walaupun seorang lelaki yang lain."
Begitulah yang didambakan pada susuk tubuh seorang fasilitator. Semua yang dizahirkannya haruslah memberikan manfaat kepada yang melihatnya kerana itulah saham akhirat untuk diri mereka. Oleh sebab itu, amat penting seseorang fasilitator memiliki akhlak yang terpuji yang mana tentunya akan bermanfaat untuk orang yang bersamanya bahkan wakaf kebaikan yang tidak akan putus. Kita mahu melihat dan melahirkan para fasilitator yang mengetuai perubahan-perubahan positif sehingga dapat terhasil pada generasi atau kelompok yang dibimbingnya itu kebaikan-kebaikan dan kemudian ia disambung sebarkan kebaikan itu terus dari zaman ke zaman. Pahala yang tidak akan pernah putus pastinya akan diiringi oleh doa-doa dari para malaikat dan penyambung warisan wakaf kebaikan itu. Pesan Rasulullah s.a.w. lagi daripada Abu Umamah, baginda bersabda, "Aku menjamin dengan istana di sekitar syurgabagi orang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Begitu pula istana di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta meskipun dalam bergurau dan istana di puncak syurga bagi orang yang memperindah akhlaknya," (Riwayat Abu Daud).
Perjalanan seorang fasilitator adalah pada apa yang dicontohkannya bukan sekadar apa yang diperkatakan. Sesuatu yang meninggalkan kesan adalah dari perbuatan, kurang dari perkataan. Perbuatan dan tingkah laku akan membekas di dalam hati, percakapan hanya melintas ditelinga, kadang-kadang sampai ke hati kadang-kadang tidak. Oleh kerana itu, amat penting untuk seorang fasilitator menjadikan dirinya sebagai contoh untuk menjadi ikutan yang baik. Dahulu, pernah ada ketika masyarakat selalu menyebut tentang 'trend setter'. Seharusnya, ibu bapa adalah pilihan terbaik untuk anak-anak, tetapi dalam dunia semakin meluas ini, anak-anak perlu melihat lebih banyak contoh baik yang boleh diteladani dalam kehidupan dan salah seorang dari mereka adalah fasilitator yang walaupun mereka kenali dalam masa yang singkat, tetapi perkenalan singkat itulah pintu kepada perkenalan yang lebih bermakna dan bermanfaat sepanjang hayat kita. Maka, contohkanlah yang bermanfaat.

Comments