Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

BERDAKWAH DENGAN KEBAIKAN

Dakwah ini ajak, dari yang buruk ke baik, dari yang baik kepada yang lebih baik. Apa sahaja yang baik pada hakikatnya akan kembali kebaikan itu kepada Allah s.w.t. dan akan diberikan ganjaran kebaikan juga untuk kita. Apa sahaja yang buruk juga akan kembali kepada Allah s.w.t. dan akan diberikan ganjaran keburukan pula. Kebaikan yang kita ajak bukan kebaikan yang merujuk kepada diri atau kemanusiaan tetapi kebaikan yang mendapat penilaian disisi Allah s.w.t.. Maknanya, tidak semestinya baik di mata manusia, baik juga pada pandangan Allah. Kadang-kadang baik pada pandangan kita kerana ada kecenderungan nafsu kita kepadanya. Sebab itu, kita akan biasa sebut perkataan seperti 'tak apalah', 'biasalah tu', 'sikit je tu' untuk melapangkan dada kita menerima keburukan atau kesalahan mungkin atas sebab orang yang melakukannya adalah orang yang kita kasih atau mungkin perbuatan itu kita sendiri pun melakukannya atas dasar keseronokan.

Kerja dakwah ini adalah kerja kebaikan yang mustahil kita boleh campur-adukkan begitu mudah antara hak dan yang batil. Betul, dakwah itu mudah, semudah membuat kebaikan, tetapi bahagian yang sukar adalah untuk memilih antara kebaikan dimata manusia atau kebaikan dari sudut pandang Allah s.w.t.. Selalunya orang yang berdakwah akan berpegang dengan prinsip kebenaran dan keadilan. Mereka perlu berkata benar walaupun ia sememangnya pahit. Mereka perlu berlaku adil walaupun melibatkan orang yang mereka kasihi sendiri. Ini banyak diceritakan contoh-contoh keadilan yang ditonjolkan Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam juga melalui para sahabat baginda. Tidak mungkin kita mampu berdakwah dengan baik jika tidak ditelusuri sirah dakwah mereka sebagai contoh terbaik sepanjang zaman ini. Jika dakwah itu menyebar yang baik, maka seharusnya ia turut disusuli dengan perbuatan kebaikan dan perkataan-perkataan yang baik. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud;

"Serulah kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

Hikmah adalah sesuatu yang telah hilang dari umat Islam hari ini. Hikmah atau kebijaksanaan adalah punca kepada keupayaan para pendakwah untuk memenangkan hati mereka yang didakwahkannya. Bukan dengan keuntungan dunia tetapi dengan membangunkan akhirat mereka. Melalui hikmah, material dijadikan alat untuk menyentuh dhamir mereka serta membentuk pemikiran yang jauh lebih positif buat mereka. Maka, keuntungan untuk mereka bukan material, tetapi perubahan hati dan pemikiran yang menjadi sebab utama kekayaan peribadi mereka di akhirat. Firman Allah s.w.t. lagi dalam ayat berikutnya yang bermaksud;

"Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar."

Kebaikan kepada manusia tidak dijanjikan balasan dari manusia itu kebaikan juga. Janji yang pasti adalah perkiraan Allah s.w.t. terhadap kebaikan yang kita lakukan itu. Sebab itu, walaupun kita telah berkorban pelbagai perkara demi untuk menyampaikan kebaikan kepada orang yang kita lain, maka bersedialah untuk menerima jawapan dalam dua keadaan sama ada berterima kasih atau cemuhan. Kata tadi dakwah itu mudah? Ya, kerja dakwah itu mudah, tetapi cabaran darinya belum tentu lagi bahkan jika ia dilihat terlalu mudah, akan sampai masa kita akan berhadapan juga dengan kesusahannya, bersedialah. Oleh sebab itulah, atas Maha Tahunya Allah s.w.t., difirmankan Nya dalam ayat 127 pula yang bermaksud;

"Bersabarlah dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan."

Dakwah mesti dengan kebaikan. Apabila kita mendahului sesuatu kebaikan, janganlah kita harapkan sangat balasan kebaikan dari sesama manusia. Jika ada, alhamdulillah, jika tiada kita berserah sahaja pada Allah s.w.t. dan bersabarlah. Surah Al-'Asr juga menjelaskan tentang berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran. Kita ingin kekal menyampaikan hal yang benar, maka bersabarlah dengan maklum balas yang akan kita terima. Jangan gusar, keliru atau rasa pelik. Tadi kata dakwah itu mudah. Wahai anak muda! Sememangnya ia mudah sehinggakan kita diperintahkan untuk melakukannya. Allah s.w.t. tidak akan membebankan kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita pikul. Ajak dan seru manusia kepada kebaikan, kepada hidup bertuhan , kepada Islam. Kebaikan itu sendiri mudah untuk dilakukan dan Rasulullah sarankan lakukanlah sesuatu amal kebaikan itu pada kadar yang kamu mampu. Sebagai anak muda, ajaklah atau serulah teman-teman kita kepada kebaikan yang kita turut sama mampu lakukan atau mampu contohkan untuk menjadi ikutan dan amalan istiqamah akhirnya. Berusahalah tinggalkan yang haram sepenuhnya, bukan pula pada kadar yang kita mampu. 

Juga hal ini ada dijelaskan dalam hadis yang ke dua puluh dua kitab Hadis Empat Puluh karangan Imam Nawawi yang direkodkan dari Abi 'Abdullah Jabir bin 'Abdullah Al-Ansari r.a., bahawasanya seorang lelaki telah bertanya Rasulullah sallallahu'alaiwasallam lalu ia berkata, "Apakah pendapat engkau jika aku sembahyang yang wajib, dan aku puasa Ramadhan, dan aku halalkan yang halal, dan aku haramkan yang haram, dan aku tidak menambahkan sesuatu atas demikian itu, adakah aku masuk syurga?" Sabdanya, "Ya!" Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dan makna 'aku haramkan yang haram' ialah beliau jauhinya manakala makna 'aku halalkan yang halal' ialah beliau mengerjakannya dengan i'tiqad halalnya. Hadis ini menjelaskan, sekiranya kita mampu menjadi insan yang berpegang sepenuhnya amal kita secara menyeluruh mengikut perintah boleh dan tidak boleh dari Allah, maka Baginda telah menjanjikan syurga untuk kita, tetapi bagaimana kita dan anak muda hari ini? Bagaimana? Adakah secara menyeluruh? Jom kita muhasabahkan dan Allah s.w.t. berfirman dalam ayat seterusnya yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan."

Telah berkata 'Abdullah bin 'Utbah, "Aku mendengar 'Umar bin Al-Khattab berkata, 'Sungguh, orang-orang telah mengambil wahyu pada masa hidup Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam dan hari ini wahyu telah terputus. Hari ini kita menilai kalian berdasarkan amal-amal yang zahir. Oleh kerana itu, siapa yang secara zahir menampakkan perbuatan baik kepada kita, kita percaya kepadanya dan kita dekat dengannya, serta bukan urusan kita apa yang tersembunyi darinya, kerana hal itu merupakan urusan Allah s.w.t. dan Dia yang akan menghitungnya. Dan siapa yang menampakkan perbuatan yang jelek kepada kita, maka kita tidak percaya kepadanya dan tidak membenarkannya sekalipun di balik itu ada yang mengatakan baik."

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...