Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

NILAI KECENDERUNGAN ANAK-ANAK MELALUI AKTIVITI HARIAN


Sebahagian dari kalangan ahli masyarakat khususnya ibu bapa dan penjaga semakin keliru mengenai bagaimana pendekatan yang harus mereka pilih untuk membina kecemerlangan kepada anak-anak mereka. Ada pendapat menjelaskan mengenai kecemerlangan dinilai dan bergantung kepada kecemerlangan akademik. Kecemerlangan akademik membolehkan anak-anak membuka peluang untuk dirinya berada di tempat yang lebih baik berbanding orang lain dan dapat menyediakan peluang pengakhiran yang menggembirakan untuk mereka jika dibandingkan dengan mereka yang tidak memiliki kecemerlangan akademik. Pendapat lain pula menjelaskan tentang peluang itu sama rata sama ada cemerlang akademik atau tidak kerana ia bergantung kepada sikap diri mereka dalam meneruskan cara hidup mereka. Penilaian akademik yang cemerlang tanpa sikap yang betul juga boleh mengakibatkan kegagalan dalam usaha seterusnya apatah lagi jika tidak punya sikap yang betul bersama dengan pencapaian akademik yang lemah. Ada juga yang berpendapat, penilaian akademik cuma rutinan untuk menentukan penguasaan seseorang terhadap apa yang mereka pelajari, bagaimana mereka memahami serta kesungguhan mereka untuk menguasainya. Tidak lebih dari itu. Apabila kembali kepada soal menjalani kehidupan, pencapaian akademik tidak banyak memberikan kesan kepada cara hidup kehidupan seseorang itu kerana kecemerlangan akademik tidak boleh mengelakkan dirinya dari menjadi seorang penjenayah bahkan kegagalan akademik juga bukan bukti yang menghalang mereka dari menjadi seorang dermawan dan berjaya dalam kehidupan.

Setiap anak kita adalah unik dan mereka mempunyai potensi dan kecenderungan yang amat berbeza antara satu sama lain. Ada di kalangan mereka yang sangat petah berkata-kata tetapi amat lemah dalam ilmu kira-kira. Ada pula yang bijak dengan bunyi-bunyian tetapi tidak berminat dengan aktiviti yang menggerakkan fizikalnya secara optimum. Tidak kurang pula anak-anak yang mempunyai kemahiran lukisan yang mengagumkan tetapi rendah dari sudut keupayaan menguruskan diri, berdisiplin dan mengikut peraturan. Begitu juga ada di kalangan mereka yang amat tinggi nilai kesedaran persekitarannya, prihatin dengan haiwan dan tumbuhan namun, susah untuk memahami hati nurani dan perasaan sesama manusia. Segalanya ini menjelaskan kepada kita betapa perlu ada penerimaan terbuka oleh ibu bapa mengenai keadaan yang pelbagai pada anak-anak kita dan sudah tentunya tidak ada yang sempurna. Bermula dari premis ini, barulah kita mampu untuk membimbing diri kita untuk mula menilai kecenderungan anak-anak kita. Penilaian kecenderungan ini pula tidak boleh kita lakukan melalui paksaan selain dari membenarkan mereka atau menggalakkan mereka untuk melakukan perkara yang mereka sukai dalam kehidupan yang dilalui. Penilaian itu pada peringkat awal boleh dibahagikan kepada lima fokus utama iaitu kecenderungan jasmani, kecenderungan emosi, kecenderungan rohani, kecenderungan intelektual dan kecenderungan sosial. Maka bidang pengetahuan ibu bapa juga perlu ditambahi bagi memastikan kita benar-benar dapat memahami setiap ruang kecenderungan ini.

Jasmani amat terkait dengan kegiatan fizikal anak-anak. Mereka gemar melakukan aktiviti yang fizikal dan fokus apabila melakukannya. Cepat faham dan mudah melakukan aktiviti yang menggunakan tulang empat keratnya. Kecenderungan begini kita akan dapat lihat pada anak-anak yang berminat dengan sukan, aktiviti lasak, pertukangan, perkebunan dan yang seangkatan dengannya. Kecenderungan emosi menjadikan anak kita begitu terkesan dengan drama dan lakonan, muzik dan pada lukisan dan pemandangan. Perwatakan mereka akan menjadi lembut hati serta mudah terkesan pada kata-kata yang dilontarkan kepada mereka. Sedikit berbeza dengan mereka yang mempunyai kecenderungan rohani, mereka mudah untuk menilai sesuatu kesan baik dan buruk apabila kita melakukannya. Jiwanya mudah rasa bersalah dan cepat cenderung kepada hal-hal yang terkait dengan nilai-nilai kemanusiaan yang universal. Kasihkan haiwan, suka pada tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Kecenderungan intelektual menjadikan anak-anak itu menyukai bahan-bahan bacaan serta perkara yang menguji keupayaan minda mereka. Suka bertanyakan soalan serta senang kepada aktiviti membaca dan menulis. Ada juga anak-anak kita yang sangat gemar bersosial. Peramah, mudah bergaul, kurang rasa malunya serta petah bercakap dengan orang yang mereka baru kenali. Mereka juga tampak punya daya kepimpinan kerana mereka biasanya menguasai ruangan permainan bersama rakan-rakan sepermainannya. Tetapi, harus diingat, anak kita tidak semestinya hanya mempunyai satu kecenderungan sahaja. Maka jangan sesekali kita kesampingkan mana-mana kecenderungan hanya kerana kita telah menilai minatnya terhadap sesuatu perkara. Anak-anak kita perlu dibangunkan keupayaannya secara seimbang bukan hanya berat kepada apa yang mereka minati sahaja. Jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial adalah lima elemen pada seseorang manusia. Mana mungkin, manusia itu dibangunkan hanya dengan keupayaan jasmani sahaja dan begitu juga yang lainnya. Maka ibu bapa harus tahu,  pa sahaja yang ingin kita anjurkan kepada mereka mestilah dengan cara memberikan mereka kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan perkara tersebut dalam kehidupan mereka. Di sinilah yang memerlukan daya kreativiti yang tinggi dari ibu bapa untuk mengaitkan antara minat kecenderungan dan keperluan untuk sesuatu perkara itu dipelajari.

Pangkal utamanya adalah belajar. Anak yang mempunyai kecenderungan jasmani, perlu belajar juga mengenai kecenderungan yang lain, sebagai contohnya mereka menjadi pemain bole sepak yang terkenal, maka kecenderungan mereka itu turut diimbangi dengan emosi yang baik, rohani yang mantap, cerdas intelektualnya dan tinggi daya sosialnya dalam pasukan. Ini akan meninggikan lagi keupayaannya di sisi rakan sepasukannya. Itulah yang dapat kita lihat contoh pada para pemain bola sepak profesional dunia yang terkenal. Ibu bapa seharusnya melakukan pemerhatian yang berterusan terhadap kecenderungan anak-anak ini dan mengenal pasti setiap perubahan mereka agar tidak berlaku ketidakseimbangan perkembangan mereka. Kita perlu ada kebimbangan kepada anak-anak yang kita paksakan apa yang kita mahu berbanding apa yang mereka minat. Paksaan itu akan memberikan impak negatif yang dapat kita sendiri bayangkan seperti perubahan sikap yang dingin, hilang keyakinan diri serta rosak jati diri mereka hanya kerana mahu memenuhi apa yang ibu bapa mereka mahukan. Pada masa yang sama, pangkal minat mereka kepada belajar juga jangan dipandang remeh. Ibu bapa seharusnya memikirkan bagaimana untuk mendatangkan keseronokan belajar kepada anak-anak melalui perkongsian teknik belajar yang menarik, penyediaan ruang belajar yang menggalakkan, belajar bersama mereka, kerap menimbulkan pelbagai persoalan yang membantu kecerdasan minda mereka, menghasilkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, fahamkan perkaitan belajar dengan minat kecenderungan mereka serta disusuli dengan galakan yang tidak putus-putus kepada apa yang mereka minati.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...