Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

KENALI DAN BIMBING MINAT ANAK-ANAK

Kitalah pencorak anak-anak kita. Setia[ kali kita memarahi mereka atas apa kesalahan sekalipun, sedarlah bahawa kesalahan mereka itu mungkin atas kelalaian dan kelemahan diri kita. Mustahil anak-anak kecil kita mampu berfikir sebaik orang yang telah dewasa. Mereka hanya melakukan perkara yang pada hemat mereka tiada apa-apa. Pemikiran anak-anak kita penuh dengan angan-angan. Apa yang mereka lihat, mereka dengar dan mereka rasa akan menghasilkan bayangan dan impian mereka. Kita tidak langsung terkejut apabila kita melihat anak kecil kita sibuk ingin menjadi Ultraman, Spiderman dan pelbagai lagi watak adiwira animasi yang dipaparkan di televisyen. Bayangan mereka dari apa yang dipaparkan kepada mereka. Oleh sebab itulah, menjadi keutamaan untuk ayah ibu menjadi tauladan atau hero kepada anak-anak kecil kita sendiri.

Perhatian mesti diberikan kepada mereka, bukan hanya sekadar mahu membesarkannya sahaja. Nafkah bukan hanya makan, pakai bahkan yang memenuhi keperluan 5 yang asas iaitu pemeliharaan nyawa, akal, keturunan, harta benda dan agama. Mohon untuk dijadikan perhatian kita bersama, salah satunya adalah akal mereka. Pemeliharaan akal anak-anak juga sebahagian dari tugas penting ayah ibu. Mereka harus menjadi contoh terbaik buat anak-anak yang sentiasa menagih didikan yang holistik dalam kehidupan. Kehidupan ayah ibu yang disibukkan dengan pencarian harta benda sehingga mengabaikan mereka adalah satu kesalahan yang tidak dapat kita bertolak ansur. Anak-anak bukan bukti kejayaan kita, tetapi saham akhirat kita. Pendidikan mereka harus sesuai dan memenuhi keperluan buat diri mereka yang mampu membantu mereka membina rangkaian asas keperluan lain iaitu pemeliharaan nyawa, keturunan, harta benda dan agama. Gagal kita memberikan tumpuan kepada pembinaan akal mereka akan memungkinkan mereka akan gagal memelihara keperluan yang lain.

Ayah ibu harus memberikan perhatian untuk mula mengenali anak dengan pelbagai keunikan mereka. Anak, walaupun lahir dari rahim yang sama, tetap akan memiliki perbezaan antara satu dengan yang lain. Pada peringkat awal anak-anak, kecenderungan perlu dilihat dari sudut keupayaan mereka terhadap penggunaan deria dan kawalan tubuh mereka. Keupayaan mereka untuk memahami sesuatu, memberikan tumpuan serta bagaimana mereka memproses maklumat yang diberikan kepada mereka. Antara kegagalan utama ayah ibu dalam mendidik anak pada awal usia mereka hari ini adalah dengan memberikan pendedahan gajet pada usia yang terlalu awal. Secara tidak langsung anak-anak akan kurang peka terhadap penggunaan deria mereka, kawalan tubuh yang lemah serta malas berfikir apabila diberikan sesuatu tugasan atau masalah.

Aspek lain adalah dari sudut minat dan kecenderungan anak-anak. Sudah tentu mereka amat suka bermain dengan pelbagai bentuk permainan, tetapi akan tiba pada satu tahap di mana mereka akan mula menunjukkan minat kepada sesuatu dan bersungguh-sungguh dengannya. Perhatikan dan berilah dorongan untuk mereka mencipta hasil dari minat mereka tersebut. Ini sekaligus akan menambah motivasi dalam diri mereka untuk terus melakukan yang terbaik dengan apa yang mereka minati. Namun, harus kita bersama ingati, ke mana sekalipun hala tuju anak-anak kita, ilmu perlu menjadi dasar kepada perkembangan mereka. Apabila mereka sudah mula boleh membaca, pupuklah minat mereka untuk mula membaca dan menambah pengetahuan mereka. Persekolahan tetap penting untuk mereka menguasai asas utama pembelajaran sebelum mereka boleh melakukan apa yang mereka minati.

Dorongan mesti berterusan. Mereka menjadikan  ayah ibu mereka sebagai alasan dalam melakukan sesuatu perkara. Usahlah hampakan harapan mereka hanya kerana kita tidak sependapat denan mereka. Zaman ayah ibu dengan anak-anak amat berbeza. Benarlah pesanan didiklah anak mengikut zamannya. Sebab itulah, ibu bapa juga tidak boleh menafikan betapa pentingnya ilmu untuk mereka. Zaman ini telah berubah dan kita perlu miliki ilmu zaman ini jika kita ingin benar-benar berkesan kepada anak-anak kita. Bimbinglah anak-anak pada setiap peluang yang tersedia. Sekatan, akan merencatkan pertumbuhannya, kawalan berlebihan akan menjadikan mereka takut untuk menghadapi realiti yang ada. Kebebasan yang melampau akan menjadikan mereka liar, kelonggaran yang tiada undang-undang akan menjadikan mereka insan yang tidak tahu menilai perkara-perkara terkait kehidupan. Kenalilah anak-anak kita dan bimbinglah mereka ke arah apa yang mereka impikan dan apa yang kita harapkan akan tercapai.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...