Sebuah kisah yang diriwayatkan mengenai seorang lelaki Bani Israel yang telah beribadat selama 70 tahun. Lalu Allah perkhabarkan perkara ini kepada malaikat dan diutuskan kepadanya seorang malaikat untuk memberitahu lelaki itu bahawa walaupun dia telah beribadat selama 70 tahun, masih dia belum layak untuk masuk ke syurga Allah s.w.t.. Selepas lelaki itu mendengar perkhabaran itu maka dia berkata, "Itu bukan urusan aku. Aki diciptakan untuk beribadat kepada Allah. Maka itulah kerja yang mesti saya lakukan. Lalu, kembalilah malaikat bertemu Allah s.w.t. menyampaikan bahkan sudah tentu Allah s.w.t. Maha Mengetahui keadaan itu, lalu Allah s.w.t. berfirman; Apabila hamba-Ku itu tidak berpaling daripada beribadat kepada-Ku, maka Aku membalasnya dengan kemurahan-Ku, Aku juga tidak akan berpaling daripadanya. Wahai para malaikat-Ku bersaksilah kamu semua bahawa Aku telah mengampuni akan segala dosanya."
Kisah ini mengingatkan kita kepada ayat di dalam surah Az-Dzariyaat ayat 56 yang bermaksud;
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.
Maka, tidak syak lagi itulah tugas kita sepanjang kehidupan di dunia. Benar sebagaimana yang kita fahami terdapat juga tugasan kekhalifahan kepada manusia di bumi. Namun, tugas kekhalifahan itu harus bertitik tolak dari sifat kehambaan yang tinggi kepada Allah s.w.t. kerana sebagai khalifah, manusia telah dijanjikan dengan pelbagai kebaikan dan kelebihan bagi memastikan mereka dapat berperanan untuk memakmurkan muka bumi milik Allah s.w.t. ini. Namun, secara jelas pada amatan kita, nilai kekhalifahan apabila tidak diliputi dengan sifat kehambaan melahirkan manusia yang sombong dan bongkak yang akhirnya menjadi perosak berbanding memakmurkan muka bumi ini. Kewajipan kepada kita untuk kembali bermuhasabah, bahawasanya segala amal kebaikan kita yang dilakukan adalah semata-mata kita merupakan hamba-Nya yang taat. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah amalanmu sebelum kamu ditimbang."
Kita harus menyedari bahawa apa sahaja yang kita miliki pada saat ini merupakan pemberian dari Allah s.w.t. yang sesuai dengan apa sahaja kebaikan atau kejahatan yang pernah kita lakukan. Bahkan, Allah menjanjikan lebih kepada mereka yang melakukan kebaikan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Najm ayat 31 yang bermaksud;
"Dan bagi Allah apa yang ada di langit dan di bumi untuk membalas orang yang melakukan kejahatan mengikut apa yang mereka lakukkan dan membalas orang yang melakukan kebaikan dengan ganjaran yang paling baik."
Balasan kejahatan akan diberikan balasan yang setimpal namun pada amal kebaikan, Allah akan melipatgandakan kebaikan buat mereka. Mustahil bagi kita untuk berada di dalam syurga Allah s.w.t. tanpa adanya usaha yang gigih sebagai hambanya yang taat dan adalah satu kesalahan pula untuk kita menilai bahawa sepatutnya kita ke syurga hanya kerana kebaikan yang kita buat. Sebab itulah ramai yang berpandangan bahawa, melakukan sesuatu yang ikhlas adalah dengan tidak mengharapkan pahala pun disisi Allah s.w.t. melainkan hanyalah berharap kepada redha-Nya. Kata Imam Hassan Al-Basri, "Mencari syurga tanpa amalan adalah satu dosa daripada segala dosa. Tanda faham hakikat ilmu itu ialah meninggalkan memperhatikan pahala suatu amalan, bukan meninggalkan amalan."
Marilah kita kebangkan sebuah hadis sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; "Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan sesudah matinya. Dan orang yang bodoh ialah orang yang selalu memperturutkan kehendak nafsunya dan hanya banyak berangan-angan untuk mendapat kemurahan Allah s.w.t.."
Kemurahan Allah s.w.t. adalah atas nilai kehambaan serta ketaatan kita kepada-Nya. Carilah kemurahannya dengan menjadi hamba yang taat, khalifah yang amanah serta makhluk yang memakmurkan.

Comments