Guru kami, Mr. Kay atau Khaeril Anuar Darus dan dibantu oleh Cikgu Zamzuri Abdullah membawa kami memahami ilmu ini dengan amat baik serta amat menekankan agar ia diaplikasi khusus untuk diri sendiri sebelum boleh dibawa kepada orang lain. NLP ini pada nilaian saya adalah ilmu kehidupan cuma telah disikapi dengan teliti dan penuh disiplin sehingga terhidang dihadapan para penuntutnya segala kerukunan serta proses-proses perlaksanaannya. Jelas sekali, banyak yang diperkatakan guru kami itu telahpun dilakukan atau menjadi kebiasaan dalam pekerjaan dan kehidupan saya secara peribadi sebagai seorang motivator, fasilitator dan penceramah juga sebagai seorang aktivis masyarakat. Mungkin, oleh kerana ramai dari kalangan guru-guru yang membimbing saya ke dunia latihan dan kesukarelaan ini memiliki latar belakang pengetahuan yang hampir sama.
NLP ini adalah ilmu memahami manusia berdasarkan beberapa sumber pemerhatian serta petunjuk yang telah disusunkan menjadikan seseorang NLPer itu dapat segera berkomunikasi dengan berkesan dan memberikan impak lebih besar kepada orang yang mereka temui. Terpulang kepada kita untuk melihat kemahiran-kemahiran yang dihidangkan melalui NLP dimana kegunaannya. Sepanjang seminar kami, oleh kerana penyertaan ramainya dari kalangan warga pendidik, maka fokus perbincangan guru-guru kami juga tertumpu kepada bagaimana untuk membantu para pendidik memahami dan memanfaatkan potensi yang sememanngnya terbaik yang ada pada manusia. Saya amat gemar bercerita tentang pembangunan generasi khususnya di sekolah kerana mereka ini kerap kali diberikan penilaian secara buta sehingga dinafikan ruang perkembangan mereka serta tidak menjurus kepada pembangunan EQ tetapi lebih tertumpu kepada IQ. Ya, di awal perbincangan seminar ini juga dijelaskan tentang EQ yang jauh lebih berperanan besar berbanding IQ dalam kehidupan seseorang manusia. Kehidupan orang yang berjaya adalah ditentukan berdasarkan bagaimana mereka memberikan reaksi kepada sesuatu perkara yang berlaku.
Kami juga melalui ujian VAKOG, Skor saya menunjukkan yang saya seorang auditori. Saya telah tahu hakikat ini lama. Tandanya juga jelas. Saya lebih senang mendengar berbanding melihat, membaca atau berbuat sesuatu. Selain auditori adalah visual dan kinestatik. Pernah saya diperingatkan oleh seseorang pada firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Mulk ayat 23 yang bermaksud;
"Katakanlah, 'Dia lah yang menciptakan kamu, dan menjadikan pendengaran, penglhatan dan hati nurani bagi kamu. Sedikit antara kamu yang bersyukur.”
Penjelasan Allah s.w.t. ini adalah suatu amaran bahawa tidak ramai dikalangan manusia yang benar-benar memanfaatkan sumber hidayah yang utama ini. Mata, telinga dan hati adalah sumber hidayah yang sentiasa menjadikan manusia itu lebih baik dari yang sebelumnya. Melihat jadi pengalaman, mendengar jadi pengajaran dan hati belajar dari kesalahan dan kesilapan. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-A'raf ayat 79 yang bermaksud;
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami dan mereka mempunyai mata tidak dipergunakan untuk melihat dan mereka mempunyai telinga tidak dipergunakan untuk mendengar. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”
Hati untuk memahami, mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar hidayah dari Nya. Jelas sekali dalam ujian VAKOG, dapat diperhatikan ketika markah dikumpulkan, tiada seorangpun dikalangan peserta yang mendapat skor 0 pada salah satu dari tiga sumber itu. Maka, saya ambil pengajaran bahawa, sememangnya, ketiga-tiga itu adalah sumber dan ia mesti dimanfaatkan pada waktu dan ketika yang bersesuaian. Hanya kita yang akan mengetahui bilakah waktunya itu. Seorang NLPer perlu menghidupkan hatinya dengan tidak dirosakkan oleh penyakit hati, sama ada sakit hati, kecil hati atau ambil hati. Mata perlu dibuka luas melihat setiap insan itu adalah mereka yang perlu dibantu atau dapat diambil contoh darinya. NLPer hanya melihat yang baik dan mendengar yang baik. Jauhkan diri dari berada dikalangan manusia yang sentiasa bercakap tentang orang lain, menghina atau memperkecilkan mereka. Itu akan menjejaskan hati kita untuk menjadi manusia yang seimbang. Saya amat teruja didedahkan dengan pelbagai ilmu dalam NLP ini ditambah dengan perkongsian yang sangat bermanfaat oleh rakan-rakan peserta yang lain. Pengalaman, pengetahuan serta perkongsian yang pastinya akan memberikan 1001 macam pemahaman kepada kami yang mendengar. Apapun, Allah telah mendahuluinya dengan peringatan dan itulah sumber yang terbaik. Jika ilmu itu tidak menyanggahinya, maka ilmu itu baiklah untuk kita tekuninya.
NLP juga adalah sebuah kemahiran komunikasi yang amat berkesan. Semua kita telah pun berkomunikasi sangat lama. Tetapi kerap kali kita berhadapan dengan kegagalan dalam komunikasi hanya kerana kita gagal melihat satu sudut pandangan yang dibawa oleh pendidikan NLP ini iaitu, semua insan punya peluang untuk melakukan yang terbaik. Kegagalan untuk jadi yang terbaik adalah kerana kegagalan kita untuk memahami proses pemikiran serta tata cara memberikan maklum balas yang terbaik. Kita juga kerap kali menghadapi sesuatu masalah bukan dengan minda ingin membantu tetapi lebih mengutamakan masalah itu sendiri.
Saya ucapkan setinggi penghargaan buat guru-guru NLP kami, rakan peserta kursus serta mereka yang terlibat dalam menganjurkan seminar ini. Kata Imam Al-Ghazali, ilmu tanpa amal adalah gila. Amal tanpa ilmu adalah perbuatan sia-sia. Maka bila dah belajar, perlulah amal, baru melekat dalam kepala kita. Saya masih baru dan secara peribadi, terlalu banya juga yang saya perlu betulkan sebelum benar-benar boleh angkat diri sebagai NLPer. Apapun, gelar itu bukan yang utama, tetapi ilmu untuk diamal itu yang pasti akan ditanya nanti.
Syukur! Alhamdulillah.
Comments