Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

TINGGIKAN HEMAHMU DAN LAWANLAH NAFSUMU DAN BUATLAH BEKALAN AKHIRAT


Sebuah kisah diceritakan, seorang ayah telah dikurniakan 3 orang anak. Anak yang sulung diberikan nama Harbe, anak tengah dinamakan sebagai Kaker dan anak yang bongsu dinamakan sebagai Amsol. Keempat-empat merekan menjalani kehidupan yang harus menjadi pedoman buat kita semua. Si ayah merupakan seorang saudagar yang banyak mengembara dalam usaha untuk menyediakan segala yang terbaik untuk ahli keluarganya. Apabila usia anak-anaknya meningkat remaja, si ayah merasakan sudah sampai masa anak-anaknya dipersiapkan untuk mengambil alih semua urusan perdagangannya. Maka, dibawalah Harbe dalam setiap urusan dagangannya mungkin kepercayaannya lebih kepada Harbe disebabkan dia merupakan anak pertama harapan di dalam keluarganya. Maka, semakin hari, Harbe semakin kerap bersama ayahnya berdagang sana sini dan semakin keraplah pula si ayah dan Harbe tiada di rumah atas urusan dagangan.

Lalu si ayah pun berpesan kepada Kaker, "Anakku Kaker, oleh kerana ayah dan abangmu sibuk membuat pelbagai urusan perdagangan, jadi ayah tinggalkan kamu untuk menjadi wakil keluarga sepanjang pemergian ayah dan abangmu berdagang. Kamu binalah hubungan yang akrab dengan ahli keluarga dan jangan lupa juga dengan jiran-jiran kamu kerana mereka juga suatu hari nanti boleh menjadi pelanggan kepada perniagaan kita ini." Kaker senyum dan menganggukkan kepalanya tanda setuju.

"Saya nak buat apa ayah?" tanya Amsol bersuara secara tiba-tiba. "Kamu jaga diri kamu sendirilah. Dah besar panjang, gunalah akal kamu itu sikit. Jangan hanya nak menghabiskan harta ayah sahaja. Mentang-mentanglah kamu anak bongsu, asyik nak bermanja." bentang Harbe kepada adiknya. Ayahnya berlalu tanpa menoleh ke belakang meninggalkan Harbe dan Kaker yang berterusan membebel kepada adik mereka itu. Masa, terus berlalu, Harbe semakin sibuk menguruskan perniagaannya, Kaker pula semakin bijak mengatur semua kenalannya dan melakukan perlbagai perkara bersama ahli keluarganya yang lain dalam memperluas empayar perniagaan bapanya. Amsol walaubagaimanapun, berasa diri seperti terbuang dan tidak diberikan perhatian. Kadang-kadang dia ditertawakan oleh ahli keluarganya kerana hidup dalam keadaan yang serba tidak kena.

Pada suatu pagi yang hening, mereka dikejutkan dengan kematian ayah mereka. Lalu datanglah semua kenalan si ayah dan keluarganya ke rumah. Jenazah diuruskan sehingga siap untuk dibawa ke kuburan. Ketika mayat diusung keluar dari pagar rumah, Harbe berhenti tidak meneruskan langkahnya. "Mengapa abang?" tanya Amsol. "Engkau hantarlah ayah ke kuburan, aku tidak mahu mengikutinya." Jawab Harbe yang tampaknya agak sugul. Lalu diteruskanlah pengusungan keranda sehingga tiba di tepi liang lahad sebelum mayat itu di tanam. "Kita minta anak-anak si mati untuk masuk ke dalam dan sambut jenazah ini," kata si penggali kubur. Amsol tanpa berfikir panjang terus masuk ke dalam dan bersedia, tetapi Kaker hanya kaku di atas dan tidak mahu turut serta. Selesai sahaja pengkebumian itu, bersurailah semua orang ramai termasuk Kaker yang dari tadi hanya berada di tepian kubur itu. Tinggallah Amsol, pemuda kurus kering, pakaian seperti tidak terurus bersendirian dikuburan menemani ayahnya. Dialah yang ditertawakan, dialah yang diabaikan, tetapi dialah yang paling berasa kehilangan.

Ya, apabila meninggal sahaja anak Adam maka, harta bendanya (Harbe) hanya tersekat sehingga pagar rumahnya, kaum kerabatnya (Kaker) hanya mengiringinya hingga ke kubur, tetapi yang akan kekal bersamanya adalah amal soleh (Amsol) yang akan sibuk membantu berhadapan dengan segala persoalan Munkar dan Nakir. Oleh sebab itu, usahlah kita hanya mengutamakan kemewahan yang panduannya adalah hawa nafsu, sebaliknya bimbinglah amal soleh kita yang bertitik tolak dari ketinggian budi pekerti diri kita terhadap yang Maha Tinggi. Kematian hanyalah pada tubuh, tetapi roh memerlukan pembantu yang sasa tubuhnya untuk memberikan perlindungan ketika kita berhadapan dengan ujian di alam sana nanti.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq pernah berkata, "Badan kita itu tidak ubahnya laksana sangkar burung ataupun kandang binatang maka, fikirlah baik-baik untuk dirimu. Dan tentukanlah bagi dirimu, yang mana satu di antara dua perumpamaan ini. Jikalau engkau laksana burung yang terbang tinggi maka ia akan terbang dengan riang gembira apabila mendengar seruan,

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) !" (Al-Fajr: 28)

Mudah-mudahan Allah melindungi engkau daripada menjadi laksana binatang ternak seperti firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A'raf ayat 179 yang bermaksud;

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."

Terbang tinggilah sehingga engkau akan hinggap di puncak pohon-pohonan syurga yang tinggi. Ini sepertimana sabda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam ketika Saad bin Muaz meninggal dunia, 'Telah bergegar 'arasy Allah (kerana kegembiraan) ketika kematian Saad bin Muaz.'"

Menurut sebahagian riwayat juga menceritakan bahawa Imam Hassan Al-Basri pernah pengsan selepas beliau diberikan segelas air sejuk. Beliau pengsan disebabkan teringat nanti ketika di alam akhirat, ahli-ahli neraka akan berangan-angan sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A'raf ayat 50 yang bermaksud;

"Limphkan kepada kami sebahagian daripada air yang ada pada kamu atau apa sahaja makanan dari rezeki yang telah diberi oleh Allah kepada kamu."

Kenangkanlah diri, muhasabahlah segala kelemahan yang ditonjolkan kita selama hari ini yang kerap memberikan keutamaan kepada hawa nafsu sehingga mengabaikan hemah diri yang sebenarnya hanya memalukan diri kita sendiri. Dahulu penilaian akhlak kita hanya tergantung pada cakap orang yang pernah mengenali kita, namun hari ini, akhlak kita boleh diakses secara terus melalui atas talian tanpa perlu diminta keizinan dan tidak perlu berselindung lagi. Maka, hati-hatilah pada setiap yang kita like, share atau subscibe juga pada setiap yang kita baca dan tulis. Moga kita mampu meninggikan hemah diri kita.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...