Tuesday, May 19, 2020

IKHLASKAN NIATMU



Ikhlas adalah peranan hati. Keikhlasan adalah suatu kehendak pemberian yang tidak mengharapkan balasan atau maklum balas puji-pujian melainkan keredhaan Allah s.w.t.. Tidak hairanlah jika ada perbuatan baik yang dilakukan insan mulia dan dicerca namun tidak pernah berbalas walaupun dengan perkataan 'saya ikhlas buat'. Jelas kerana perbuatannya bukan untuk perhatian manusia tetapi adalah untuk mendapatkan perhatian Allah s.w.t.. Tidak hairanlah apa sahaja kebaikan yang dibuat tidak disekat-sekat bahkan dibuat dengan bersungguh-sungguh kerana mereka tahu Al-Malikul Quddus yang akan memberikan balasannya. Apa yang orang kata, akan habis hingga ke hujung lidahnya sahaja. Bersabar pada ujian itu yang paling utama kerana setiap ujian tidak serupa antara satu sama lain. Apakah segala amalan kita ini ikhlas hanya untuk DIA? Setiap kali kita bangun dan bersolat malam, membaca Al-Quran, beriktikaf, bersedekah atau melakukan kebaikan kepada orang lain adakah kita ikhlas? Sekiranya kita niatkan untuk mendapat perhatian makhluk maka, kita adalah dikalangan mereka yang rugi. Namun jika niatnya demi Allah dan untuk menghidupkan syariat Baginda Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam, memperbaiki akhlak serta memecahkan kawalan nafsu untuk berbuat jahat dalam dirimu, itulah untung yang seuntung-untungnya untukmu.

Keikhlasan diperhitung Allah s.w.t.. Bukan hak manusia kerana kita disarankan Baginda Rasulullah sallallahu'alaiwasallam hanya menilai apa yang terlihat pada mata kita sahaja. Sebagaimana yang disampaikan oleh Saidina Umar Al-Khattab yang bermaksud; "Daripada 'Abdullah bin 'Utbah, dia berkata, aku mendengar 'Umar bin Al-Khattab berkata, 'Sungguh, orang-orang telah mengambil wahyu pada masa hidup Rasulullah sallallahu'alaihiwasallam dan hari ini wahyu telah terputus. Hari ini kita menilai kalian berdasarkan amal-amal yang zahir. Oleh kerana itu, siapa yang secara zahir menampakkan perbuatan baik kepada kita, kita percaya kepadanya dan kita dekat dengannya, serta bukan urusan kita apa yang tersembunyi darinya, kerana hal itu merupakan urusan Allah s.w.t. dan DIA yang akan menghitungnya. Dan siapa yang menampakkan perbuatan yang jelek kepada kita, maka kita tidak percaya kepadanya dan tidak membenarkannya sekalipun di balik itu ada yang mengatakan baik."

Keikhlasan bukanlah sesuatu perkara yang dapat kita ukur maka awasilah diri kita dari menjadi manusia yang melampaui batasan itu. Hati manusia itu pemiliknya hanya Satu dan hanya DIA yang tahu apa yang tersembunyi di dalamnya. Berhari-hatilah dengan bisikan-bisikan yang akan mendorong kita untuk lebih cenderung kepada keburukan berbanding kebaikan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisa' ayat 60 yang bermaksud;

"Tidaklah engkau memperhatikan orang-orang yang mengaku bahawa mereka telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Tetapi mereka masih menginginkan ketetapan hukum kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari Taghut itu. Dan syaitan berniat untuk menyesatkan mereka kesesatan yang sejauh-jauhnya."

Marilah kita secara istiqamah melakukan setiap amal dan pekerjaan kita hanya untuk mendapatkan keredhaan dari Nya. Kita tidak tahu, yang mana diantara amal kita yang akan diterima oleh Allah s.w.t.. Segeralah ungkapkan keikhlasan itu pada telinga dan hati kita agar ia tertanam sebagai melafaz niat kita. Betulkanlah sekiranya terpesong semasa di dalam perjalanan kerana DIA hanya mahukan perbuatan-perbuatan yang diikhlaskan untuk Nya.

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Al-Bayyinah: 5)

No comments: