"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, 'Bukankah Aku Tuhan kamu?' Mereka semua menjawab, 'Benar, kami menjadi saksi!' Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak; "Sesungguhnya kami adalah lalai tentang ini."
Namun selepas perjanjian ini, manusia dibenarkan hidup di dunia mengikut jalan masing-masing walaupun pada hakikatnya ia ditakdirkan Allah s.w.t.. DIA telah menetapkan keimanan buat kita, DIA tahu hala tuju kehidupan kita dan DIA tahu bagaimana pengakhiran hidup kita. Namun, tugas manusia ialah untuk berusaha sedaya upaya untuk menjadikan diri yang terbaik khususnya dalam amalan dan perhubungan antara diri dengan Maha Pencipta dan antara diri dengan makhluk yang diciptakan. Seba itulah, adalah rahmat yag terbesar buat kita apabila dilahirkan dalam keadaan Islam. Ini bukanlah bermakna, kita akan selamat pada hari akhirat kelak kerana tiada jaminan keselamatan untuk mereka yang Islam melainkan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t.. Pelbagai perintah dijelaskan dalam ayat-ayat 'wahai orang yang beriman' di dalam Al-Quran sebagai panduan untuk keselamatan ketika hari perhitungan nanti. Islam tanpa memahami kitab rujukan ini, hanya akan mengundang padah. Begitu juga dengan seruan ketaqwaan yang diawali dengan suruhan dan perintah yang seharusnya menjadi perhatian orang-orang beriman.
KeIslaman adalah kita adalah tiket yang memudahkan sahaja, tetapi ia bukan jaminan, kerana jaminan itu hanya ada dalam pengetahuan Allah s.w.t. dan untuk kita mendapatkan pengesahan itu, hanyalah bergantung kepada usaha untuk kita menjadi yang terbaik sebagai hamba dan sekaligus sebagai khalifah di muka bumi Allah s.w.t. ini. Ia umpama kita membeli tiket untuk menonton konsert. Harga tiketnya berbeza berdasarkan kelebihan-kelebihan yang diperolehi si pembeli. Jika yang paling murah, ia umpama sekadar dapat masuk, berasak-asak, duduk bercampur, tiada hak persendirian dan perlu berhadapan dengan pelbagai karenah yang mungkin menyakitkan. Agaknya, Islam kita akan memasukkan kita ke syurga tetapi terpaksa berhadapan dengan berbagai rintangan sehingga benar-benar mencukupi syarat ke syurga. Amat berbeza untuk pemegang tiket yang paling mahal, pintu masuknya berasingan dari orang lain, dipenuhi para pengawal untuk mengelakkan dari gangguan persendirian, bilik yang selesa, tidak bercampur dengan orang yang menyakitkan bahkan mungkin disediakan minuman sebagai tanda penghargaan pada harga tiket yang mahal. Jika kita berkesempatan untuk mendapat tiket terbaik ini untuk syurga kita, maka pastilah ada pintu khusus buat kita ke syurga kerana maqam diri dikalangan orang beriman dan bertaqwa.
Pasti berbeza nasib mereka yang bukan Islam. Mereka masih belum memegang kunci untuk masuk ke syurga. Sewaktu di dunia, apabila kita sebagai orang yang memasuki pintu khas, pasti memandang mereka ini sebagai golongan yang hina atau setidak-tidaknya kita merasakan bahawa kita berada dpada nasib yang lebih baik. Namun hakikatnya, pada pandangan Allah s.w.t., tidak sama sekali. Mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa, adalah mereka yang beramal dengan apa yang diperintahkan sebaik mungkin. Maka, apabila memandang mereka yang bukan Islam, pandangan mereka akan jatuh pandangan kasih dan sayang. Pandangan yang mencintai setiap makhluk ciptaan Tuhan itu sebagai peluang amal yang luas untuk mendapatkan tiket lebih mahal untuk masuk ke syurga. Oleh sebab yang demikianlah, orang yang beriman akan mengambil kesempatan untuk mengajak mereka yang bukan Islam, bahkan yang telah Islam untuk terus memahami tentang konsep keimanan serta memilih untuk berdakwah mengajak mereka kepada jalan kebenaran. Benarlah firman Allah s.w.t. di dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud;
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, ‘Sesungguhnya aku adalah daripada kalangan orang Muslim (yang berserah diri)?”

Comments