Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

CADANG SEKOLAH TAHFIZ TUTUP?

Kecoh pula pagi-pagi ini saya membaca beberapa pandangan yang mengecam Siti Kasim atas kenyataan yang ditulis di Facebooknya. Pelik benar saya kepada mereka yang berkawan dengan orang seperti Siti Kasim di Facebook. Saya memilih untuk tidaklah berkawan dengannya kerana saya takut akan kerap tersinggung mungkin. Apapun Siti Kasim telah memberikan pandangannya mengenai isu tuntutan pengharaman arak disamakan pula dengan isu pengharaman maahad tahfiz. Saya pun tersinggung membacanya. Siti Kasim menaip, "Alcohol is not the problem. The irresponsible drinkers are the problem. Just like the Tahfiz schools are not the problem. It is the management that managed the schools are the problem. You want to ban alcohol just because it suits you? Then ban Tahfiz schools too for causing much damage to our innocent children.” (FB Siti Kasim)

Panas hati juga bila saya baca sekali lalu pandangan dia ini. Tapi bila dibaca berkali-kali lalu, ada benar juga, tidaklah segalanya itu nampak negatif melainkan buat mereka yang memenuhkan pandangan mereka dengan perasaan mahu pertahankan Islam dengan apa cara sekalipun. Sehinggakan mereka menutup sebelah mata mereka dan tidak mahu terbuka menerima kelemahan yang sememangnya sedang ditanggung oleh umat Islam khususnya di Malaysia hari ini. Sememangnya tidak wajar arak itu disamakan dengan maahad tahfiz, tetapi dalam konteks Siti Kasim ini, dia samakannya dari sudut arahan mengharamkannya dari segi pelaksanaan undang-undang. Saya pun pelik kenapa dia melenting benar soal mengharamkan arak. Siapa yang dia nak pertahankan? Apa kepentingan yang dia ada sampai nak melenting begitu, dan apa yang dimusuhinya sangat dengan institusi Islam ini? Pada saya, dia cuma nak dapatkan 'highlight' saja, bila dapat, ada ruang dan peluang untuk dia sebarkan lagi idea-idea dia, tarik lebih ramai orang yang simpati pada perkara yang sama fahamkan dengannya. Kenapa pulaklah yang kita pun layankan dia? Sebab itulah sebenarnya saya pelik, kenapa orang macam dia, yang kita buat kawan di Facebook tu. Tapi iyalah, kita duduk di negara yang bebas, bebas pilih kawan maka sepatutnya juga kita layankan lah juga bebasnya untuk dia bersuara. Berbicaralah dengan ayat bahasa indah ala-ala percintaan begitu. Jangan api dibalas dengan api. Tapi jika anda berkawan dengan dia la.

Apa yang disuarakan amatlah pahit untuk kita telan. Arak dah lama haram. Jadi tiada isu tentang keharamannya kerana umat Islam yang perlu patuh undang-undang tertinggi itu. Jadi, kena diingatkan kepada semua Muslim, jangan hampiri arak. Tapi hari ini pelbagai budaya dikembangkan dikalangan masyarakat kita. Mereka beradaptasi dengan budaya-budaya luar, tidak lagi budaya ketimuran yang penuh dengan adab kesopanan yang tinggi. Tengok sahaja mereka dengan pemikiran dan apa yang ditulisnya tu, lagak yangyang ditampilkan, fahamkan maksud saya? Tentunya adat ketimuran tidaklah sempurna dan kita bersedia untuk tambah baik, tetapi kesesuaian adat itu perlu selari dengan masyarakat. Begitulah yang berlaku pada arak, cuma ianya adaptasi yang tidak sihat. Sejak zaman berzaman arak ini wujud di Tanah Melayu ini, orang Melayu Islam memandangnya dengan amat jijik sekali. Namun, adaptasi budaya telah berlaku kepada umat yang pada asalnya memandang jijik arak itu yang tanpa sedar ia cuba diresapkan sebagai norma biasa ke dalam masyarakat Melayu. Pemimpin sibuk nak haram atau tidak kilang arak, sampai sekarang belum ada keputusan pun, dalam tempoh sibuk nak mengharamkan, anak bangsa ini juga yang terus menerus terjebak dengan arak. Peranan masyarakat, jangan benarkan arak ini menjadi norma kehidupan, yang Muslim berpegang pada perintah haramnya, yang bukan Islam berpeganglah kepada kajian kesihatan yang arak itu banyak mudharat dari manfaat.

Pemimpin, berhentilah sebar janji nak tutup kilang arak. Syor saya, setiap ahli parlimen dan dun yang Muslim, juga kepada yang bukan Islam dan ingin mendapat sokongan dan dokongan orang Islam, sila kenalpasti mana-mana kampung atau taman yang penuh dengan orang Islam, bila komposisi Muslim lebih 60%, maka kempenlah, ambillah tindakan untuk jangan benarkan mana-mana premis yang berada di dalam kampung atau taman itu serta yang berada dalam radius mungkin 5 kilometer dari kampung dan taman itu menjual arak walaupun mereka punyai lesen. Alasannya sangat mudah, majoriti Muslim, Muslim tidak minum arak. Sedar atau tidak, isu arak ini apabila dimarakkan, tak lama kemudian, diam. Entah apa hantu yang ada seolah-olah penjaga kepada arak tu. Tapi, bila ada sahaja perkara buruk yang berlaku di maahad tahfiz, arah tutup, terus tutup. Tiada pihak yang pertahankan kenapa? Ternyata kerana mereka yang tutup itu memang salah dan tidak ikut prosedur. Maka, nak bising macam manakan? Maahad tahfiz ni menjulang nama Islam, jika arak korbankan masyarakat yang banyaknya dalam akhbar melibatkan orang dewasa, lebih teruk lagi, maahad tahfiz benamkan harapan anak muda yang menjadi harapan negara. Maka tindakn lebih agresif telahpun diambil kerajaan. Bacalah akhbar. Sebenarnya banyak dah maahad tahfiz yang ditutup jika nak dibandingkan dengan kedai-kedai jual arak khususnya di Selangor ini. Sebab mereka telah langgar prosedur, jadi untuk itu harus kita beri pertimbangan yang adil. Sudah sampai masanya kerajaan perlu kuatkuasakan peraturannya yang saya percaya telah ada. Kerajaan tidak boleh halang mereka untuk melanggar peraturan sebab negara kita belum pun ada teknologi seperti dalam filem lakonan Tom Cruise, Minority Report. Tangkap sebelum buat dan saya percaya takde negara pun yang boleh. Jadi, peranan terbesar adalah masyarakat yang bersama calon pesalah itu tidak kira peminum arak atau pentadbir maahad tahfiz. Ambillah tindakan, tegur, halang atau laporkan sebarang bentuk keraguan yang kita fikirkan. Kerajaan akan ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang selepas kesalahan dijatuhkan, tapi, agak melulu juga jika kita mencadangkan pengharaman penjualan arak atas kesalahan yang disebabkan oleh kesalahan individu. Tidak wajarlah kerana satu maahad tahfiz langgar prosedur, semua diarahkan tutup. Maksud saya pukul rata.

Saya tidak sokong kilang arak, penjualan arak atau apa sahaja yang terkait dengan arak. Saya tuliskan begini atas dasar kewajaran dan menilai keupayaan semasa kerajaan dan undang-undang. Buat mereka yang mewakili institusi agama Islam. Kerajaan ambil berat, ambil tindakan yang pada pandangan kita itu berat adalah kerana kerajaan mengambil tanggungjawab untuk memelihara kesucian agama Islam itu di negara ini. Mereka berikan kebenaran, namun, kita sendiri sebagai orang Islam, khianat dengan kepercayaan yang diberikan. Kita hanya mahu ambil kesempatan atas agama kerana ia agama rasmi negara tetapi bukan kerana ia amanah dari Allah s.w.t.. Berhati-hatilah, kalian punya bebanan agama yang berat. Begitulah sukarnya untuk mendidik umat. Para nabi dan rasul ribuan tahun berdakwah, yang ikutnya amat sedikit. Paling ramai umat Nabi Muhammad sallallahu'alaihiwasallam. Itupun Allah dah pesan, sikit dari kalangan yang akhir ini akan masuk syurga. Moga kita jadi insan dari golongan yang sedikit itu.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se...

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang...

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai ...