Seorang ayah dan ibu pastinya mengambil tindakan untuk memastikan anak-anaknya tidak melalui bahagian pada kehidupan mereka yang tersilap atau sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan. Namun, kadang kala, kemahuan untuk anak-anak melaluinya itu menjejaskan proses pembelajaran kehidupan mereka tanpa disedari. Mereka secara tidak langsung disekat daripada berhadapan dengan keadaan dan cabaran yang seharusnya menjadi satu proses pembelajaran dalam kehidupan. Fasa-fasa kehidupan itu harus diberikan segmentasi yang bersesuaian dan dinilai dari segi keperluan dan pembelajarannya. Penilaian ini dalah termasuk dalam perkara faktor yang mampu membantu mereka sama ada ia bersifat luaran atau dalaman. Pemikiran yang berstrategi akan mampu meletakkan pelbagai keutamaan berdasarkan keperluan dan ia amat penting untuk difahami dan dihadami. Hasrat melakukan perubahan bukannya tertakluk kepada faktor penolak atau motivasi yang buta, tetapi ia perlu dikenalpasti melalui beberapa penelitian faktor penolak atau motivasi dari dalaman dan luaran. Sebab itulah, ada perubahan yang disebabkan tekanan dan ada perubahan yang disebabkan oleh kemahuan.
Perubahan yang disebabkan oleh tekanan adalah faktor luaran dari kawalan diri, akan memberikan dorongan kepada dalaman untuk terus kuat berusaha sehingga berjaya mengatasi tekanan tersebut. Tekanan datang dari luar yang mendesak diri untuk menjadi lebih baik. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud;
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
Keyakinan perlu kita tanamkan bahawa segala keadaan yang berlaku adalah dengan izin dari Tuhan. DIA ingin melihat bagaimana kita memberikan reaksi kepada setiap perkara yang direncanakan untuk kita sama ada dalam keadaan kita bersedia atau tidak bersedia. Maka, tekanan dari luar merupakan sesuatu perkara yang sebenarnya diluar kawalan diri kita. Jika kita pernah membaca tentang prinsip 90/10 oleh Stephen Covey, beliau menjelaskan bahawa hanya 10 peratus dari kehidupan yang terbina akibat dari ap yang berlaku kepada kita manakala sebaliknya, 90 peratus dari kehidupan kita pula adalah berkaitan dengan bagaimana kita memberikan reaksi terhadapnya. Maka dalam situasi motivasi yang disebabkan tekanan, secara strategiknya, perlulah kita menilai ia sebagai faktor motivasi luaran yang memerlukan kita mengawal reaksi terhadap tekanan yang dihadapi. Apabila memberikan reaksi yang lebih tertumpu kepada emosi, maka maklum balas kita akan banyak dihabiskan kepada menguruskan emosi berbanding masalah yang sebenar. Jika kita percaya, tekanan itu cuma sedikit, maka jiwa kita lebih besar untuk berhadapan dengannya. Pernah ada sebuah kisah mengenai seorang pemuda yang ditimpa kesukaran di dalam kehidupannya. Lalu, dia mencari seorang guru untuk mendapatkan nasihat sehingga membawanya bertemu dengan seorang pak tua dihujung sebuah kampung. Lalu, pemuda ini menceritakan hampir setiap kisahnya yang sangat menyayat hati dalam keadaan marah dan kadang kala sayu. Selesai bercerita, pak tua pun berkata, "Nak, ini kopi, jemputlah minum." Kering tekak bercerita dapat pula kopi. Terus sahaja diminum oleh pemuda itu. "Pui, pahit pak cik," jerit pemuda itu.
"Pahit? Mari ikut pak cik," kata pak tua sambil melangkah keluar dari pondok usangnya menuju ke sebuah telaga. "Nak, jangan lupa bawa cawan kopi tu sekali," pesan pak tua. Setelah keduanya berdiri bersebelahan telaga tersebut lalu pak tua bersuara lagi, "Nak, tuangkan kopi kamu tu ke dalam telaga ini." Pelik jelas terpancar pada wajah anak muda itu. "Ada apa yang tak berkenan di hati ke pak cik ni?" bisik si pemuda. Namun, tanpa banyak bertanya, dia terus menuangkan air tersebut ke dalam telaga. Kemudian pak tua mencampakkan cebok ke dalam telaga dan menarik keluar semua dengan berisi air. "Bak sini cawan kamu," kata pak tua. Lalu dicurahkan air dari cebok tadi masuk ke dalam cawan pemuda itu dan disuruh pemuda itu minum. Pemuda itu minum dan kemudian pak tua bertanya, "bagaimana, apa rasanya?"
"Kali ni tawarlah pak cik," jawab pemuda itu sambil senyum kambing. Sambil ketawa kecil pak tua pun memberikan kata-kata pesanan yang amat mengesankan, "Nak, begitulah kita, apabila sifat redha kita sekecil cawan ditapak tangan kamu itu, apabila ditimpa masalah, kita akan cepat melatah kerana terasa benar pahitnya, tetapi sekiranya, sifat redha itu sebesar telaga ini, walau besar mana masalah yang datang, tidak akan cepat kita merasa susah, bahkan mudah untuk kita laluinya." Maka, mendepani faktor luaran memerlukan daya kekuatan dalaman dan dari sudut kerohanian menuntut untuk kita memiliki kesabaran terhadapnya.
Sedikit berbeza pula dengan perubahan yang disebabkan oleh kemahuan. Perubahan kerana kemahuan kebanyakan berpunca dari faktor dalaman diri yang menginginkan sesuatu yang lebih baik atau membuat perubahan kepada sesuatu yang baru. Walaupun faktor dalaman diri juga terdorong dari faktor luaran seperti persaingan, keinginan mengubah status kehidupan atau sebagainya, namun, perubahan sebegini kebiasaannya akan memerlukan bimbingan untuk menilai keutamaan-keutamaan sebenar perubahan tersebut. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang bermaksud;
"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya."
Bimbingan itu amat penting kerana manusia ini cenderung untuk melampaui batas dalam setiap tingkah laku amal kita. Oleh sebab itulah, apabila Allah perintahkan kita untuk membuat perubahan diri kita itu, DIA peringatkan agar kita sedar bahawa DIA boleh menimpakan bencana juga buat kita kerana perubahan yang baik menatijahkan kebaikan dengan izin Nya bahkan perubahan yang berakhir dengan melampaui batas maka akan menatijahkan keburukan juga dengan izin Nya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Maidah ayat 77 yang bermaksud;
“Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulu (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.”
Secara kesimpulannya, perubahan itu tidak salah dan kita boleh menilai perubahan itu dari dua sudut sama ada ia berpunca dari faktor dalaman atau luaran. Penyusunan strategi perubahan amat bergantung kepada penentuan kedua-dua faktor ini. Sekiranya telah kita pastikan bahawa perubahan itu disebabkan dorongan tekanan yang berfaktorkan luaran tadi, maka keutamaan adalah untuk membina dalam diri yang kuat agar sabar dan istiqamah melaluinya dan bersamanya perlu ada sifat redha dengan apa yang telah disuratkan untuk diri kita. Namun, bagi penyusunan strategi perubahan yang disebabkan oleh dorongan kemahuan yang berfaktorkan dalaman pula, perlukan bimbingan, perbanyakkan nasihat dan kembalilah kepada petunjuk yang benar agar kita dapat mengelakkan diri kita dari menjadi mereka yang melampaui batas. Moga kita bersama dapat saling ingat-mengingatkan, perubahan diri memang sentiasa menjadi tuntutan kerana ia adalah sifat semula jadi sebaik-baik kejadian, namun ambillah kira faktor dalaman dan luaran ini sebagai kayu ukur agar kita masih dalam radar kehidupan yang benar.

No comments:
Post a Comment